Cadang Wakil R’yat Isytihar Harta Setiap 3 Tahun

Isytihar Harta

KUALA LUMPUR – Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) mencadangkan supaya semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat pengisytiharan harta setiap tiga tahun kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan integriti dalam pentadbiran kerajaan.
Pengerusi PPPR, Datuk Johan Jaaffar berkata, langkah itu juga bagi memastikan komitmen Ahli Parlimen dan ADUN dalam perang menentang rasuah dan dapat menghindari keraguan terhadap pertambahan aset sepanjang mereka memegang jawatan.
“Pengisytiharan harta ini diharap dapat menunjukkan ketelusan kerajaan dalam soal pemilikan harta menteri dan keluarga terdekat mereka serta menjaga kepentingan mana-mana pihak sekiranya terdapat sebarang tuduhan berhubung kedudukan atau kekayaan masing-masing sepanjang mereka memegang jawatan dalam kerajaan.
“PPPR bagaimanapun menyokong sepenuhnya tindakan pengisytiharan harta oleh anggota kabinet dan anggota pentadbiran kerajaan hanya kepada SPRM,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Cadangan pengisytiharan harta tiga tahun sekali kepada SPRM tersebut antara tiga langkah yang dikemukan PPPR dalam usaha menepis tohmahan pihak tidak bertanggungjawab yang menuduh kerajaan tidak telus, tidak bersih dan tidak berintegriti.
Johan berkata, PPPR turut mencadangkan anggota pentadbiran kerajaan pada peringkat pusat dan negeri termasuk jemaah menteri dan timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri, serta exco kerajaan negeri serta anggota keluarga terdekat mereka tidak melibatkan diri dalam permohonan atau membida kontrak kerajaan.
Jelas beliau, cadangan itu bertujuan untuk mengelakkan berlaku konflik kepentingan dan menutup ruang dan peluang daripada rasuah berlaku serta mengelakkan pandangan serong rakyat terhadap mereka yang berada dalam kedudukan yang mempunyai kuasa dalam mempengaruhi keputusan kerajaan.
Menurut beliau, amalan mana-mana menteri atau menteri besar dan ketua menteri yang “meninggalkan mesyuarat” dan tidak mengambil bahagian dalam proses membuat keputusan apabila agenda mengenai syarikat yang mempunyai milik keluarga dibincangkan tidak lagi boleh diterima pakai.
“Panel ini mencadangkan hal ini dilaksanakan serta merta pada peringkat pusat, negeri dan juga kerajaan tempatan atau lain-lain agensi kerajaan,” katanya lagi.
PPPR dalam masa sama mencadangkan tempoh bertenang (Cooling-off Period) untuk mana-mana penjawat awam yang telah bersara sebelum memegang jawatan korporat diwujudkan kerana amalan waktu ini tidak menetapkan tempoh tertentu bagi membenarkan penjawat awam yang telah bersara memegang jawatan korporat atau pengamalan profesional dalam sesebuah syarikat atau firma.
Jelas beliau, keadaan itu boleh menimbulkan konflik kepentingan kerana bekas penjawat awam terbabit boleh memanfaatkan pengetahuan, pengaruh dan peranan ketika berkhidmat dalam kerajaan untuk kepentingan masa pencen.
Tambahnya, risiko kesalahan rasuah juga boleh berlaku kerana pegawai yang bakal bersara itu berpeluang memanfaatkan kedudukan awamnya untuk melobi jawatan atau faedah peribadi tertentu bagi dirinya apabila dia bersara kelak.
Bagi mengelakkan daripada berlakunya konflik kepentingan, panel ini menyarankan agar satu tempoh bertenang selama setahun ditetapkan sebelum penjawat awam yang telah bersara dibenarkan memegang jawatan korporat atau menyertai amalan profesional, kata Johan.
“Salah satu isu besar yang dibangkitkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) baru-baru ini adalah berhubung soal rasuah. PPPR berpendapat kerajaan harus mengambil kira semua pandangan, kecaman dan tuduhan yang dilemparkan walaupun sebahagiannya tidak mempunyai asas yang kuat atau sekadar persepsi tetapi cukup untuk digunakan sebagai modal bagi menuduh kerajaan tidak telus, tidak bersih dan tidak berintegriti,” katanya. – mynewshub.my


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story