Seramai 2.2 Juta Tonton TV Alhijrah

Wan Alias (dua dari kanan) bersama barisan artis dan hos TV AlHijrah pada sidang media pelancaran program istimewa bersempena ulangtahun stesen itu yang keempat.
KUALA LUMPUR: Stesen TV AlHijrah meraih purata tontonan sebanyak 2.2 juta berbanding 10,000 tontonan ketika mula bersiaran empat tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Wan Alias Wan Abdullah berkata, angka itu turut mencatatkan peningkatan memberangsangkan sehingga menunjukkan pertambahan sebanyak 50 peratus tontonan sehingga Ogos lalu.

"Secara purata, TV AlHijrah memperoleh jumlah purata tontonan 2.2 juta dan rating terbaik untuk program pernah dicatatkan sebanyak 500 ribu penonton.

"Alhamdulillah respons diberikan penonton sangat baik terutamanya kepada program-program yang diterbitkan sendiri oleh produksi TV AlHijrah dan kami menyasarkan angka tersebut akan terus meningkat pada masa hadapan," ujarnya kepada mStar Online.
Wan Alias ditemui pada majlis pelancaran program istimewa TV AlHijrah bersempena ulang tahun keempat stesen itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Selasa.

Sementara itu, Wan Alias berkata, cabaran utama stesen itu adalah untuk tampil dengan program berkualiti dan pada masa sama masih mematuhi syariah ditetapkan.

"Bukan mudah sebenarnya untuk menghasilkan program-program berbentuk mesra syariah kerana banyak aspek perlu dititikberatkan.

“Namun selepas empat tahun bersiaran, Alhamdulillah perjalanan TV AlHijrah semakin lancar ditambah sokongan penonton yang sentiasa memberikan idea dalam memperkemaskan mutu program kami," ujarnya.

TV Alhijrah juga katanya tidak mengamalkan konsep untuk bersaing dengan mana-mana rangkaian yang turut menghidangkan program berbentuk keislaman sebagai objektif utama bagi meraih rating terbaik di saluran masing-masing.

Bagaimanapun beliau menyeru agar lebih banyak program berbentuk ilmiah kepada penonton beragama Islam diterbitkan dalam memberi faedah dan kebaikkan kepada orang ramai.

"Persaingan tidak pernah menjadi agenda utama TV AlHijrah dengan mana-mana stesen yang membawa konsep sama kerana itu bukan objektif utama kami.

"Malah jika ada lebih banyak stesen atau program-program berbentuk keislaman diterbitkan lebih baik kerana ia untuk kebaikkan ummah di Malaysia," katanya.

Dalam perkembangan lain, Wan Alias berkata, sempena ulang tahun keempat TV AlHijrah pada 25 Oktober ini, pihaknya bakal menghidangkan hampir 20 program istimewa bermula 20 Oktober ini sehingga 2 November depan.

Mengangkat tema ‘TV AlHijrah Kita Untuk Semua’, 12 program istimewa terbitan stesen itu turut disajikan kepada penonton termasuk drama bersiri, dokumentari, program bual bicara dan telefilem.

Antara program menarik yang bakal ditayangkan adalah TV AlHijrah Suatu Realiti, Menu Alam Edisi Ulangtahun, Pentas Dakwah, Dengan Basikal Aku Menjelajah 2 dan Isu Akidah Edisi Ulang Tahun.

Tidak ketinggalan drama bersiri Dalam Iradatmu dan dua buah telefilem istimewa berjudul Seindah Maharku dan The Oversized Coat.-mstar
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story