Showing posts with label Terbakar. Show all posts
Showing posts with label Terbakar. Show all posts

7 Ditahan Bakar Pusat Tahfiz Sebab Dendam Diejek


KUALA LUMPUR – Misteri insiden kebakaran tragik di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat di sini Khamis lalu berjaya diselesaikan pihak polis dua hari selepas kejadian itu.

Ia susulan kejayaan penahanan tujuh remaja lelaki Melayu dalam siri tangkapan dari 6 petang Jumaat hingga 2.30 pagi Sabtu kerana disyaki sengaja bakar pusat tahfiz itu yang mengorbankan 21 murid dan dua warden asrama.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh mengesahkan, kes serius itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan bunuh yang jika sabit kesalahan di mahkamah, boleh dihukum gantung sampai mati.
Malah kes berat tersebut juga disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan jenayah khianat bakar harta benda secara sengaja yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun atau denda jika sabit kesalahan.
Amar turut memberi amaran kepada orang awam agar tidak menularkan mesej tidak benar kerana boleh memberi kesan kepada siasatan dan proses mahkamah. Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 203 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu MYNEWSHUB difahamkan, suspek paling tua dikenal pasti berusia 19 tahun dan berasal dari Kelantan manakala seorang lagi rakannya juga berumur 17 tahun pula tetapi berasal dari Kuala Lumpur.
Tiga lagi disyaki berusia 16 tahun namun masing-masing seorang lagi suspek berumur 15 tahun dan paling muda ialah 11 tahun. Kesemua mereka disahkan berasal dari sekitar ibu negara, menurut sumber MYNEWSHUB.
Suspek dipercayai melakukan kebakaran akibat balas dendam setelah marah diejek beberapa pelajar tahfiz dan mereka ada merancang untuk memecah masuk asrama pusat itu bagi mencuri telefon bimbit milik penghuninya.
Bagaimanapun pada hari kejadian, mereka mengubah rancangan untuk membakar langsung pusat berkenaan setelah berbincang di sebuah restoran bersebelahan ibu pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Premis itu kebetulan terletak berhampiran pusat tahfiz tersebut. Justeru pada jam 4 pagi, dua suspek berkenaan telah membeli petrol dari sebuah stesen minyak berdekatan yang diisi dalam sebotol air mineral bersaiz besar.
Sekitar pukul 4.30 pagi, mereka berkumpul di padang belakang pusat tahfiz itu namun suspek paling muda yang turut menyaksikan perbuatan tersebut dilaporkan memanjat masuk ke pejabat PPIM untuk tidur kerana keletihan.
Suspek lain bagaimanapun memecah masuk sebuah kiosk bersebelahan pejabat PPIM untuk mencuri dua tong gas setelah mendapati pintu masuk ke bilik asrama berkunci. Barang itu diletakkan menghala ke arah pintu bilik itu.
Seorang suspek pula mengambil tilam dari tingkat bawah dan diletakkan di tingkat tiga bangunan pusat itu sebelum api dinyalakan dengan menggunakan pemetik api. Mereka melarikan diri dengan menaiki motosikal balik ke rumah.
Amar ketika sidang akhbar tergempar di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur pada Sabtu malam mengesahkan kesemua suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah di Jalan Duta untuk perintah reman selama tujuh hari bagi bantu siasatan.
Beliau juga menyatakan bahawa air kencing enam daripada suspek disahkan positif dadah. Ada suspek dikesan pernah memiliki rekod jenayah lampau termasuk curi kenderaan. Antara mereka ada juga tidak lagi bersekolah.
Kes berkenaan ujar Amar masih lagi disiasat polis. Suspek ditangkap hasil maklumat risikan dan bantuan daripada rakaman kamera litar tertutup yang kebetulan terdapat di sekitar pejabat PPIM. – Mynewshub.cc/HAA






Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

‘Memang Nombor Akaun Bank Ittifaqiyah’



PIHAK pengurusan Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah mengesahkan nombor akaun CIMB Bank yang tular menerusi media sosial adalah nombor akaun rasmi mereka.

Wakilnya, Mohamad Affandi Hamzah mengesahkan perkara itu susulan pihaknya menerima banyak aduan daripada beberapa pihak memberitahu konon nombor akaun itu adalah palsu.
“Nombor akaun 8602299587 atas nama Darul Quran Ittifaqiyah adalah benar akaun rasmi kami. Memang nombor akaun itu benar tapi kami tidak pernah minta bantuan dan sumbangan daripada sesiapa.
“Namun kalau ada pihak yang hendak derma, kami tetap terima,” kata Mohamad Affandi.
Beliau yang merupakan kerani tahfiz berkata, pihaknya menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai yang ingin mendapatkan pengesahan nombor akaun pusat tahfiz berkenaan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang prihatin membantu kami termasuk orang awam, persatuan dan NGO dari luar Kuala Lumpur yang sanggup datang ke sini,” katanya. – Bernama



Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Saksi Trauma Pelajar Terjatuh Depan Mata


KUALA LUMPUR – “Trauma, tak tahu nak kata apa bila tiba-tiba seorang daripada anak-anak tahfiz itu jatuh depan mata saya, seorang lagi di belakang saya,” kata seorang saksi paling awal yang tiba di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini ketika pusat itu sedang dijilat api awal pagi tadi.
Ahmad Tirmizi Abdul Hamid, 46, sebak menceritakan detik yang tidak mampu digambarkan itu selain tidak menyangka beliau akan berdepan tragedi tersebut sebaik tiba di surau Al Madrasatul Ittifaqiyah yang terletak bersebelahan pusat tahfiz itu kira-kira 5.30 pagi tadi untuk solat subuh.
Beliau yang tinggal tidak jauh dari pusat tahfiz itu berkata ketika hendak berwuduk, beliau terlihat cahaya terang dari arah bangunan pusat tahfiz berkenaan, bagaimanapun tidak menyangka sesuatu yang pelik sedang berlaku.
“Sebaik selesai berwuduk saya pergi intai dari pagar surau ke kawasan asrama (bersebelahan surau). Saya terdengar anak-anak tahfiz menjerit … panas-panas…api-api…. Baru saya sedar ada kebakaran. Saya menjerit pada mereka agar keluar, segera turun sambil saya cuba mendapatkan alat pemadam api dari dalam pejabat tetapi gagal kerana pintunya berkunci.
“Saya cuba merempuh pintu pejabat tetapi gagal. Saya buntu dan tak tahu nak buat apa lagi. Ketika cuba menghampiri perkarangan pusat tahfiz itu langkah saya terhenti apabila seorang daripada anak itu jatuh betul-betul depan mata saya, seorang lagi jatuh di belakang saya dengan api membakar badan mereka,” katanya kepada Bernama.
Ahmad Tirmizi berkata dengan bantuan seorang lagi penduduk yang juga datang bersolat di surau itu, mereka cuba memadamkan api pada badan kanak-kanak itu dengan kain basah.
“Pada masa itu saya langsung tak boleh fikir apa-apa lagi. Dalam masa sama saya juga risau dengan nasib anak-anak tahfiz yang lain yng berada di tingkat atas. Dalam hati, saya tidak putus-putus berdoa agar lebih ramai penduduk menyedari kejadian itu dan turut datang membantu.
“Sebelum bomba sampai, memang penduduk cuba bantu, tapi semuanya berlaku dalam sekelip mata, api makin besar dan kami juga turut terasa panas bahang api yang marak serta terhidu asap tebal kebakaran,” jelasnya.
Ahmad Tirmizi berkata beliau tidak mampu untuk mengingati lebih lagi tentang kebakaran yang berlaku kerana terlalu sedih kerana tidak mampu melakukan apa-apa untuk menyelamatkan lebih ramai pelajar yang terperangkap di tingkat atas bangunan itu.
Kebanyakan jemaah surau berkenaan yang ditemui Bernama turut melahirkan rasa sedih dan terkilan dengan tragedi memandangkan anak-anak pusat tahfiz berkenaan sering mengimarahkan surau itu dengan gelagat mereka yang sopan dan mesra dengan semua orang.
Lebih 300 penduduk kawasan berhampiran serta waris mangsa memenuhi ruang surau berkenaan untuk bersolat maghrib dan isyak secara berjemaah serta mengadakan majlis bacaan Yassin.
Seramai 21 pelajar dan dua guru yang merupakan warden terkorban dalam kebakaran itu yang berlaku 5.15 pagi. – BERNAMA



Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Tahfiz Perlu Turuti Piawaian Keselamatan – TPM


KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tiba di Institut Perubatan Forensik (IPFN), Hospital Kuala Lumpur diiringi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sekitar jam 4 petang tadi.

Zahid bersama Asyraf melawat keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat awal pagi tadi.
Menurutnya, semua pusat tahfiz perlu mengambil berat tentang soal keselamatan premis dan mematuhi piawaian keselamatan yang telah ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mencegah perkara yang tidak diingini berlaku.
“Saya ingin ulangi bahawa kita ada Dasar Pendidikan Tahfiz Negara dan ini harus diikuti walaupun sementara (sedang dirangka). Ciri-ciri keselamatan yang digunapakai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat mesti diikuti,” katanya.
Tambahnya lagi, pihak bomba telah menyediakan latihan kebakaran untuk pusat-pusat tahfiz.
Beliau yang juga melakukan tinjauan di Unit Forensik HKL itu berkata, pengecaman mayat sedang dijalankan.
“Saya telah melakukan tinjauan di Unit Forensik untuk melihat DVI (disaster victim identification).
“Pengenalan mangsa sedang dijalankan menggunakan elemen DNA,” katanya.
Dalam pada itu, pihak kerajaan juga akan memberikan bantuan kepada keluarga mangsa sehingga peringkat pengebumian selesai. – MYNEWSHUB.CC




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Netizen Biadab Hina Kebakaran Pusat Tahfiz



DALAM kesedihan rakyat Malaysia terhadap tragedi kebakaran tragis melanda pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, namun masih ada juga segelintir netizen tak senang duduk dan langsung tiada rasa berperikemanusiaan di dalam diri mereka.

Mana tidaknya, dalam semua kita masih terkejut akan berita tragik ini, ada pula netizen mulut longkang dengan selamba mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya dan tidak sensitif.
Kenyataan yang dikeluarkan oleh individu ini sememangnya tidak menghormati keluarga mangsa dan lebih-lebih lagi mangsa kebakaran itu sendiri.
Apalah dosa anak-anak syurga berkenaan pada mereka ini sehinggakan mereka sanggup berkata sedemikian.
Mungkin niat mereka ialah untuk mendapatkan perhatian percuma daripada netizen yang lain.
Perkara macam ni tak ada siapa yang dapat jangka. Kita sebagai manusia biasa langsung tak punyai kuasa untuk mengelak daripada perkara yang sudah ditentukan oleh Allah S.W.T.
Sedangkan keluarga mangsa sendiri masih lagi bersedih, mereka ini dengan selamba sahaja bercakap macam perkara yang menimpa mangsa itu hanya perkara kecil.
Pihak polis juga masih lagi menjalankan siasatan tetapi individu ini sudah ‘pandai’ mengeluarkan kenyataan ‘bijaknya’ yang tersendiri. Sungguh memalukan!
Ada pula seorang lagi memuat naik posting di akaun Facebooknya yang menghina anak-anak syurga yang terkorban ini. Mana perginya rasa perikemanusiaan sesama manusia?
Kalau ya pun tak ada ahli keluarga anda yang terlibat, sekurang-kurangnya hormat lah keluarga mangsa. Bila dah tular, mula lah dipadam akaun Facebook tersebut. Takut dikutuk agaknya?
Tak cukup dnegan itu, individu tersebut juga telah memuat naik gambar jenazah mangsa yang rentung. Sudahlah anda tak hormat dengan keluarga mangsa, aib mangsa pula anda sebarkan! Manusia apakah ini?
Sanggup membuka aib mangsa semata untuk mendapatkan perhatian atau macam mana? Yelah, sekarang ni kalau nak dapat publisiti memang senang. Tapi cara yang anda lakukan ini sangat salah sama sekali!
Dalam hal ni kita tak boleh salahkan pihak sekolah sendiri. Pihak polis pun masih lagi menjalankan siasatan dan dikatakan dua hari lagi barulah akan keluar kenyataan daripada pihaik berkuasa mengenai punca utama yang menyebabkan kebakaran ini berlaku.
Jadi buat para netizen semua, kalau anda tiada benda elok yang ingin dikatakan, lebih baik anda mendiamkan diri. Ianya bukan sahaja perbuatan yang terkutuk, malah ianya juga menunjukkan diri anda itu kurang bijak!
Sama-sama kita doakan agar semua urusan pengebumian dan pengecaman jenazah berjalan dengan lancar hendaknya. – MYNEWSHUB.CC/Ainaa Hafizah




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Pusat Tahfiz Terbakar: Cuma 14 Murid Selamat




KUALA LUMPUR – Tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini awal pagi tadi menyaksikan hanya 14 murid dan empat guru berjaya diselamatkan.

Menurut sumber bomba, pihaknya dimaklumkan kejadian berlaku kira-kira 5.10 pagi namun mereka menerima maklumat lebih kurang pukul 5.41 pagi dan pasukan pertama dari Keramat tiba di situ sekitar 5.52 pagi.
Setakat ini, maklumat awal daripada pihak pengusaha pusat pendidikan berkenaan mengesahkan terdapat 36 orang penghuni lelaki belajar di situ dengan mereka pula berusia lingkungan antara 13 tahun hingga 17 tahun.
Urusan pemadamam kebakaran mengambil masa sekitar satu jam dan operasi berjaya ditamatkan lebih kurang jam 8 pagi. Bomba kemudian menemui 22 mayat pelajar terbabit dan dua orang dewasa dalam keadaan rentung.
Mangsa dipercayai gagal menyelamatkan diri akibat tingkap berjeriji dengan hanya ada satu pintu akses yang menyebabkan mereka tidak dapat keluar dan ada terpaksa nekad melompat tinggi dari tingkat atas premis.
Sewaktu kejadian, api dikatakan marak dan berlaku dekat pintu keluar masuk. Punca insiden masih disiasat pihak bomba namun siasatan awal menunjukkan ia mungkin akibat litar pintas. – Mynewshub.cc/ Amy




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Uptown Shah Alam Akan Dibangunkan Semula – Azmin


SHAH ALAM – Kompleks bazar larut malam (Uptown Shah Alam) di Seksyen 24 yang terbakar awal pagi tadi akan dibangunkan semula bagi memberi keselesaan kepada peniaga dan pengunjung pusat perniagaan Bumiputera itu.
Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, berkata pembangunan bazar yang juga dikenali Kompleks Muhibah Seksyen 24 itu membabitkan menaik taraf lot perniagaan dan kemudahan letak kereta.
“Mengikut perancangan jangka panjang kompleks ini kita akan bangunkan semula termasuk meningkatkan tahap keselamatan dan kemudahan tempat letak kereta.
“Kerajaan Selangor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menurap kawasan yang lapang bersebelahan kompleks perniagaan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau gerai Uptown Shah Alam yang hangus terbakar di sini, sebentar tadi.
Dalam kejadian kira-kira 2.45 pagi tadi, sebanyak 136 peniaga terjejas akibat kebakaran itu.
Azmin berkata, kerajaan negeri akan memberi sumbangan RM500 dan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM5,000 bagi meringankan beban peniaga yang terjejas.
“Kita juga akan menurap kawasan lapang seluas 6.5 ekar di bawah tanah pusat pembangunan ibu tunggal bagi menyediakan khemah sementara supaya mereka (peniaga) meneruskan perniagaan,” katanya. – BHarian Online

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story