Showing posts with label najib razak. Show all posts
Showing posts with label najib razak. Show all posts

Dana SRC: "Tak perlu bimbang, mulai hari ini, jangan terlibat," - Najib

Ahmad Husni
Ahmad Husni hadir pada hari ke-49 perbicaraan kes Najib yang didakwa membabitkan dana SRC.
KUALA LUMPUR - "Kamu tidak perlu bimbang, Husni, mulai hari ini, jangan terlibat, saya tidak mahu kamu campur tangan,".
Itu kata-kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada bekas Menteri Kewangan II ketika dinasihati mengenai risiko perancangan pelaburan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam bidang minyak dan gas dalam syarikat PetroSaudi International Ltd.

Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, 67, berkata, beliau menyuarakan kerisauan itu pada hujung 2009 sejurus mengetahui 1MDB, yang merupakan syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) ingin melabur di dalam syarikat perkhidmatan dan pengeluaran minyak itu.

"Saya telah bertemu Najib dan menyuarakan kerisauan saya mengenai risiko pelaburan itu. Saya beritahu beliau, kita (kerajaan) tidak boleh melabur dalam PetroSaudi kerana ia masih baru dalam proses cari gali minyak. Sekiranya minyak tidak dijumpai, seluruh wang pelaburan itu akan habis.

"Selain itu, kakitangan 1MDB juga tiada pengalaman dalam bidang minyak dan gas. Saya beritahu Najib, kenapa tak suruh Petronas (Petroliam Nasional Berhad) sahaja melabur di dalam syarikat itu kerana Petronas lagi tahu mengenai bidang itu. Tapi beliau cakap: ‘Kamu tidak perlu bimbang, Husni, mulai hari ini, jangan terlibat’," katanya.

Saksi pendakwaan ke-56 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan pada hari ke-49 perbicaraan kes Najib yang didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Saksi itu berkata, beliau juga bertemu Najib sebelum itu selepas mengetahui Ahli Parlimen Pekan itu ingin menubuhkan 1MDB.

"Saya beritahu Najib, kita tidak boleh menubuhkan syarikat tanpa melakukan kajian kemungkinan, kita perlu mempunyai unjuran kewangan antara 10 hingga 20 tahun untuk memastikan syarikat itu berdaya maju.

"Najib bagaimanapun berkata, "saya tahu apa yang saya lakukan, saya akan teruskan," kata Ahmad Husni sambil menambah saat itu beliau menyedari penglibatannya tidak diperlukan.

Menyifatkan dirinya sebagai 'budak pejabat', Ahmad Husni berkata, penglibatannya hanyalah untuk menandatangani dokumen dan tidak dirujuk untuk membuat keputusan besar.

Saksi itu berkata, pada 2010, beliau menghantar surat peribadi kepada Najib dalam usaha menasihati bekas perdana menteri itu, bagi menyatakan kebimbangannya terhadap pembukaan syarikat 1MDB yang boleh mendatangkan kontroversi dan kesannya kepada kerajaan dan Najib sendiri.
Dalam surat tersebut, beliau menyatakan beberapa elemen kerisauan antaranya, akauntabiliti, prosedur, pengurusan, risiko operasi selain kakitangan 1MDB yang tiada pengalaman dalam risiko minyak dan gas.

“Pada 2010, oleh kerana saya sayang kepada pemimpin, dalam bulan Ogos saya hantar surat pada Najib surat peribadi dengan pembukaan saya kata ‘saya risau,” katanya .

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Khamis. - K! ONLINE

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Najib sepatutnya tahu wang dideposit ke akaunnya

Najib. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI
Najib. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI
KUALA LUMPUR - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa adalah mustahil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan wang yang depositkan ke dalam akaunnya tanpa pengetahuannya.
Bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 48, yang mengendalikan akaun Najib berkata, sebagai pemegang akaun, bekas perdana menteri itu sepatutnya tahu apa yang berlaku terhadap akaunnya terutamanya apabila mengeluarkan beberapa cek.
Saksi pendakwaan ke-54 itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram pada hari ke-49 perbicaraan Najib melibatkan salah guna dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42  juta.
Sithambaran : Sebagai pegawai bank, melihat kepada fakta kes ini, adakah mungkin pemegang akaun menggunakan dana tanpa pengetahuan? Kamu perlu tahu yang kamu memerlukan dana (mencukupi) untuk mengeluarkan cek.
Joanna : Tidak. 
Sithambaran : Adakah terdapat sebarang aduan mengenai mana-mana cek yang dikeluarkan bukan daripadanya (Najib).
Joanna : Tiada.
Sithambaran : Adakah Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho) menggunakan cek daripada Najib?
Joanna : Saya tidak tahu kerana saya tidak mengetahui semua maklumat daripada cek tetapi daripada apa yang saya lihat setakat ini, tiada.
Sirthambaran : Ada cek yang dibayar kepada Jho Low?
Joanna : Tiada.
Sithambaran : Adakah bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil mengeluarkan wang daripada akaun ini?
Joanna : Tidak.
Sithambaran : Adalah kamu memindahkan sebarang wang untuk faedah kamu?
Joanna : Saya tidak berbuat demikian.
Sithambaran juga menyoal sama ada Najib pernah bertanya mengenai sumber wang dan saksi itu menjawab: "tidak."
Kepada soalan sama ada mungkin bagi seseorang mengetahui sekiranya terdapat RM395 juta (di dalam akaun), Joanna berkata: "Jika seseorang menulis sekeping cek, dia tentunya tahu terdapat dana yang mencukupi,"
Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.
Perbicaraan dihadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali bersambung. - Bernama

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Isu tempat duduk Najib: 'Itu istana punya kerja, bukan saya' - Tun Mahathir


Isu tempat duduk Najib: 'Itu istana punya kerja, bukan saya' - Tun Mahathir

MAHATHIR: Saya tidak tahu dan saya tak nampak apa-apa pun.
PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak terlibat dalam penentuan kedudukan tempat duduk bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Negara semasa istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Selasa lepas.

Perdana Menteri berkata urusan berkaitan kedudukan tetamu dan jemputan ke istiadat itu dikendalikan pihak Istana Negara.

"Saya tidak tahu dan saya tak nampak apa-apa pun, itulah tempat dia kot. Itu istana punya kerja bukan saya," katanya kepada media di sini selepas menghadiri Majlis Jamuan Malam Amal dan pelancaran Tabung Jasamu DiKenang Ex-Kota Bharu Teacher's College, di sini, malam ini.
Dr Mahathir ditanya mengenai dakwaan Najib bahawa beliau tidak dapat hadir ke istiadat itu setelah menerima panggilan pada 6.30 pagi bahawa tempat duduknya yang sepatutnya di tempat ke-10 sebagai bekas perdana menteri mengikut protokol istiadat ditukar pada saat akhir ke tempat duduk Orang Besar Pahang.

Menurut Najib, pakaian istiadat untuk Orang Besar Pahang dan pakaian bekas perdana menteri tidak sama dan beliau tidak sempat untuk mengambil pakaian istiadat Orang Besar Pahang dari Pekan, Pahang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang Pengerusi Jawatankuasa Khas Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, dilaporkan berkata tempat duduk Najib pada istiadat itu telah ditetapkan dan tidak dialihkan pada saat akhir seperti didakwa.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS,) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bahawa ahli GPS dijemput oleh beliau untuk mengadakan 'pertemuan rahsia'.

Katanya, memang beliau ada membuat pertemuan dengan pemimpin Sarawak namun enggan memperincikan siapa yang membuat jemputan berkenaan.

" Saya dah jumpa dengan dia (pemimpin Sarawak), tidak ada rahsia pun," katanya.

-- BERNAMA



















































































Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Najib Bertemu Theresa May Di London


LONDON – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Britain, Theresa May di 10 Downing Street di sini, Khamis.

Pertemuan Najib dengan May diadakan pada minggu sama pemimpin Malaysia itu mengadakan perbincangan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di White House pada Selasa.
Najib tiba di 10 Downing Street, kediaman dan pejabat rasmi perdana menteri Britain itu, pada 5.05 petang waktu tempatan Khamis (1.05 pagi waktu Malaysia).
Ketibaan Najib disambut mesra oleh May dengan kedua-dua pemimpin itu saling berjabat tangan sambil jurufoto dan jurukamera merakam gambar mereka.
Ini disusuli dengan sesi memperkenaIkan anggota delegasi di hadapan Front Hall di alamat London yang terkenal itu.
Najib diiringi Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Ahmad Rasidi Hazizi dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.
Najib berlepas ke London dari Washington DC selepas melakukan lawatan kerja tiga hari ke Amerika Syarikat atas undangan Trump.
Pemimpin Malaysia itu berlepas pulang ke tanah air selepas pertemuannya dengan May. – Bernama




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Pertemuan Mesra Trump-Najib Bukti Hubungan Kukuh..



WASHINGTON DC – Kata orang bijak pandai: ‘Biarlah gambar berbicara.’ Namun foto ini yang turut disiarkan luas media antarabangsa tentunya menyebabkan pembangkang Malaysia kecewa habis!

Detik kemesraan antara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di lobi White House di sini pada Selasa nyata cukup mengejutkan pelbagai pihak di seluruh dunia sendiri.
Ia tentu mengecewakan kalangan yang berusaha bersungguh-sungguh hingga ke saat akhir memutar belit menerusi pelbagai cara termasuk media di AS memperlekehkan pertemuan penting dalam hubungan kedua-dua negara itu.
Trump malahan turun menyambut sendiri ketibàan Najib menaiki sebuah kenderaan rasmi tetamu negara pada pukul 11.45 pagi (11.45 malam waktu Malaysia) di pintu masuk West Wing gedung tersebut yang dikawal ketat.
Sebaik sahaja keluar dari kereta tersebut dan bersalaman, Trump yang sentiasa mengukir senyuman kemudian memperkenalkan setiap anggota pentadbiran Kabinetnya seorang demi seorang sebelum Najib dibawa masuk.
Mereka seterusnya mengadakan pertemuan empat mata di Oval Office iaitu ruang eksklusif pejabat Presiden AS bertugas sebelum diikuti dengan mesyuarat penuh delegasi antara kedua-dua negara dalam Cabinet Room.
Ini berbeza ketika era bekas perdana menteri, Mahathir Mohamad bertemu George Bush, sudahlah terpaksa melobi ejen, bahkan tidak dijemput pun di pintu kereta dan staf White House juga tidak berbaris untuk diperkenalkan.
Najib ketika ini dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari ke ibu negara kuasa besar dunia itu atas undangan Trump sempena menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Washington DC-Putrajaya sejak 1957.
Najib menyifatkan perbincangan dengan Trump sebagai “pertemuan yang positif dan mesra”. Dua pemimpin itu gembira berjabat tangan beberapa kali dan memaut lengan masing-masing semasa berjalan masuk dan keluar.
“Kali terakhir kami berjumpa beberapa tahun lepas, kami bermain golf satu pasukan. Ia pertemuan yang berjaya kerana pasukan kami menang. Perbincangan kami tadi banyak tertumpu kepada hubungan kedua-dua negara.
“Ia boleh berjaya dengan kerjasama erat,” katanya pada jamuan malam Majlis Perniagaan AS-ASEAN dan Dewan Perniagaan AS di Hotel St. Regis. Trump, tokoh perniagaan dilantik sebagai Presiden AS pada 20 Januari lalu.
Tidak sampai setahun berada dalam pentadbiran, Trump memberikan penghormatan kepada Najib dengan jemput beliau hadir ke White House; layanan istimewa yang tidak pernah diberikan kepada mana-mana ketua negara.
Pegawai yang berada di Rumah Putih berkata Trump mengiringi Najib hingga ke pintu untuk mengucapkan selamat jalan, di luar kelaziman beliau yang hanya hantar pemimpin berkunjung ke pejabat beliau, setakat di lantai utama.
“Trump diingatkan seorang pegawainya mengenai perkara itu tetapi beliau memberitahu akan iringi Najib sehingga ke tingkat bawah untuk ucap selamat jalan, Trump berkata beliau (Najib) sahabat saya,” menurut pegawai tersebut.
Delegasi Malaysia terdiri antaranya Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Duta Besar Malaysia ke AS, Tan Sri Zulhasnan Rafique.
Turut serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Jeneral (B) Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin. Delegasi AS pula Naib Presiden, Mike Pence dan Setiausaha Negara, Rex Tillerson.
Barisan kepimpinan utama AS ketika pertemuan di White House itu dikatakan jelas mengambarkan bagaimana kuasa besar tersebut memberi perhatian penting dalam hubungan dengan kerajaan Malaysia diterajui Najib.
PM-TRUMP
“Kita perlu mengembalikan tahap interaksi kerana terdapat peluang besar bagi kedua-dua negara untuk meneroka lebih luas dan meraih manfaat daripada hubungan perdagangan dan pelaburan yang lebih erat,” kata Najib.
Bernama yang membuat liputan tersebut melaporkan perdana menteri berkata tahun lalu sahaja, syarikat-syarikat AS membawa masuk RM5 bilion, atau lebih daripada AS$1 bilion, pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.
AS merupakan pelabur asing kelima terbesar di negara ini dengan jumlah FDI bernilai RM36 bilion atau AS$8.5 bilion. Sepanjang tahun lepas, perdagangan antara Malaysia dan AS hanya berjumlah hampir AS$33 bilion.
Hadir sama pada jamuan itu ialah Presiden Majlis Perniagaan AS-ASEAN, Alexander Feldman; Naib Presiden Kanan Dewan Perniagaan AS Sektor Asia, Tami Overby dan Duta Besar AS di Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir.
Apa yang pasti, pertemuan bersejarah Trump-Najib ternyata ‘mematikan’ tohmahan jahat pembangkang Malaysia selama ini mendakwa konon perdana menteri akan ditangkap CIA, FBI, DoJ di AS! – Agensi/Mynewshub.cc/HAA



Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

PM Utamakan Laksana Janji Rakyat Mengisi Kemerdekaan




KUALA LUMPUR – Tiada hadiah yang lebih istimewa kepada rakyat, sebagai pengisian sebenar sebuah kemerdekaan, melainkan menjadi kerajaan yang mampu menyampai serta melaksana janji-janji yang dibuat untuk kepentingan rakyat dari semasa ke semasa, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana menteri berkata pentadbirannya tidak mahu membuang masa untuk terjebak dan melayan tohmahan, sebaliknya komited dan bertekad menumpu sepenuh kudrat dan usaha merencana agenda kepesatan ekonomi demi maslahah rakyat terbanyak.
“Kisah kemerdekaan Malaysia terus diisi dengan pelbagai kejayaan dan pencapaian yang disegani oleh kawan dan lawan,” katanya dalam Perutusan Hari Kebangsaan 2017.
Malaysia, katanya, kini dirujuk ramai sebagai negara yang sedang maju membangun, berteraskan pendirian yang amat jelas dalam hal-hal seperti menolak ideologi dan fahaman melampau, khususnya dalam membanteras ancaman Daesh.
“(Raja Arab Saudi) Raja Salman Abdulaziz Al-Saud telah berkenan untuk memilih Malaysia sebagai Pusat Keamanan Antarabangsa,” kata Najib.
Perdana menteri menyebut beberapa kejayaan terkini negara seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua tahun ini mencatat pertumbuhan memberangsangkan pada kadar 5.8 peratus, antara yang tertinggi di dunia.
Majalah Forbes pula, katanya, meletakkan Malaysia pada kedudukan paling atas antara semua negara Asia untuk pelaburan asing manakala agensi penarafan antarabangsa Fitch Ratings juga mengekalkan penarafan kredit Malaysia dengan unjuran stabil pada skor A-.
Menyentuh kedudukan rizab antarabangsa Bank Negara, Najib berkata ia kini bertambah kepada RM431 bilion, jumlah rizab yang semakin kukuh.
“Lalunya, bagaimana mungkin sesetengah pihak sesuka hati menuduh bahawa, Malaysia sekarang ini sebagai sebuah negara gagal, atau a failed state, sedangkan pada era 90-an, di mana kedudukan rizab yang jauh lebih rendah sebenarnya waktu itu, tidak pula dikatakan sebagai negara yang gagal,” katanya yang jelas merujuk kepada tohmahan pembangkang.
Najib berkata pentadbirannya percaya dalam ikhtiar mengkhidmati rakyat, ia harus bersifat melangkau politik dan berorientasikan kepentingan rakyat.
Najib berkata pentadbirannya sejak lapan tahun lalu tidak pernah berlengah-lengah sejak awalnya, bahkan amat komited dengan pelbagai dasar serta inisiatif demi memakmur negara dan mensejahterakan rakyat.
Berpaksikan falsafah 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, perdana menteri berkata kerajaannya akan terus mengutamakan projek-projek Infra-Rakyat seperti MRT (Mass Rapid Transit) yang jelas bertaraf dunia dan memberi impak kepada 500,000 pengguna setiap hari.
Menurut rekod, projek MRT itu dapat membantu mengurangkan kos sara hidup dengan menyediakan sistem pengangkutan yang selesa dan lebih murah di samping mengurangkan kesesakan lalu lintas, mengurangkan masalah tekanan dalam kalangan orang ramai, membantu alam sekitar di segi pengurangan pelepasan karbon dan mempergiat lagi kegiatan ekonomi di koridor berkenaan.
Begitu juga projek-projek East Coast Rail Link, Lebuhraya Pan-Borneo serta High Speed Rail yang sedang rancak dan bakal dibina, katanya.
Di samping itu, kata Najib, inisiatif dan bantuan kepada golongan raykat yang memerlukan akan terus diperuntuk serta dipergiatkan demi kebaikan mereka.
Antaranya BR1M, Kedai Rakyat 1Malaysia, Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia, PRIMA, Klinik 1Malaysia, Kad Diskaun Siswa 1Malaysia dan bantuan-bantuan kepada para petani, pekebun kecil, nelayan serta para peneroka Felda.
Najib berkata Malaysia turut tidak terkecuali dibelenggu kemelut ekonomi global sejak beberapa tahun kebelakangan, namun melalui perancangan yang strategik lagi berhemah serta pentadbiran dan pelaksanaan yang cekap dan sistematik telah menjadikan ekonomi negara terus kekal berdaya tahan.
Beliau berkata perayaan kemerdekaan negara tahun demi tahun semakin mantap dan mendalam maksudnya.
“Dalam erti kata lain, tiap kali menjelangnya sambutan, ia menjadi satu momentum yang menganjak kita jauh ke hadapan sebagai sebuah negara bangsa yang berjati diri.
“Nikmat kemerdekaan seiring dengan tema pada tahun ini, iaitu “Negaraku: Sehati Sejiwa” seharusnya melimpah-limpah dari Semenanjung hinggalah ke Sabah dan Sarawak.
Lantaran itu, marilah sama-sama kita mensyukuri nikmat kemerdekaan, kita bersatu dan berganding bahu, membina matlamat, merencana hala tuju, demi mencapai impian 1Malaysia Negaraku.
“Merdeka! Merdeka! Merdeka! – BERNAMA



Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story