Mekanik ‘Eksport’ Ketum Ditahan

Ketum

KUBANG PASU -Taktik licik seorang mekanik mengejar keuntungan segera dengan menjual daun ketum ke Thailand sebagai pendapatan sampingan akhirnya mengundang padah apabila berjaya ditahan, malam kelmarin.
Difahamkan, suspek yang berumur 42 itu mendapatkan bekalan daun ketum daripada penduduk sebelum diedarkan ke luar negara melalui orang tengah.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Ibrahim Mohd Yusoff berkata, sepasukan anggota Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu menyerbu sebuah rumah di Jalan Batu 17, Kampung Pida 6, Mukim Jerlun, Air Hitam setelah melakukan risikan awal.
Menurutnya, semasa serbuan sekitar jam 10.05 malam suspek yang juga bapa kepada tiga orang anak itu sedang berehat di ruang tamu.
“Pegawai serbuan menjumpai dua anak kunci stor dalam poket seluar jeans yang dipakai suspek. Pemeriksaan rapi kemudiannya mendapati stor terletak di tepi sebelah kiri rumahnya dikunci dengan mangga.
“Dalam stor berkenaan polis menemui beberapa longgokan bungkusan plastik lut sinar yang mengandungi daun disyaki ketum seberat 270 kilogram,” katanya kepada media di IPD Kubang Pasu, di sini, semalam.
Ibrahim berkata, longgokan daun ketum itu berjumlah 1,836 bungkusan dengan setiap daripadanya seberat 200 gram.
“Suspek dipercayai berbelanja kira-kira RM4,050 untuk membeli daun ketum itu daripada penduduk tempatan dengan kadar harga RM15 setiap kilogram bagi daun yang masih belum dibungkus menggunakan plastik.
“Dia kemudian akan mengupah beberapa penduduk untuk membungkus daun ketum dengan kadar upah RM3 bagi satu kilogram,” katanya.
Menurutnya, kegiatan mengumpul daun ketum dilakukan dalam tempoh sekitar empat hingga lima hari sekali dan suspek dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran daun ketum antara tiga hingga empat bulan lalu.
“Berdasarkan maklumat awal suspek mempunyai satu rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan pada 2008.
“Dia kini ditahan reman selama empat hari di Lokap Balai Polis Jitra hingga 22 Mei ini,” katanya.
Menurutnya, polis merampas semua barang kes dan kes berkenaan merupakan serbuan daun ketum terbesar di daerah itu sepanjang tahun ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan jika disabitkan kesalahan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Sinar Harian Online


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story