PERNIKAHAN ANA RAFALI DAN AHMAD AZNAIM SAH AKAN DIADAKAN PADA 25HB FEB 2012


KUALA LUMPUR 31 Jan. – Penyanyi Ana Raffali hari ini mengesahkan bakal mendirikan rumah tangga dengan sahabat baiknya, Ahmad Aznaim Abdullah di Masjid Al-Hidayah, Taman Melawati di sini pada 25 Februari ini.
Pasangan itu yang sudah berkenalan sejak enam tahun lalu akan dinikahkan sendiri oleh bapa Ana, Mohd. Raffali Mohd. Nor pada hari itu.
Ana, 26, atau nama sebenarnya Ana Nur Hidayah Mohd. Raffali berkata, majlis pertunangan akan diadakan sejam sebelum acara pernikahan berlangsung.
“Apabila sudah nekad untuk mendirikan rumah tangga, saya rasa tidak perlu ada lagi tempoh suai kenal atau pertunangan. Tetapi disebabkan untuk menghormati adat, majlis pertunangan diadakan satu jam sebelum acara akad nikah.
“Majlis resepsi juga akan diadakan pada hari yang sama dan di tempat yang sama iaitu di Masjid Al-Hidayah. Kami mengadakan acara di tempat itu untuk memudahkan jemputan bertandang,” katanya.
Dia berkata demikian pada majlis minum petang bersama Ana Raffali dan media bagi mengumumkan tarikh pernikahannya di PNB Darby Park di sini hari ini.
Turut hadir ibu Ana, Halijah Rashid, Ahmad Aznaim dan kedua-dua bakal mertua, Abdullah Mat dan Adilah Abdul Mutalib.

Ana berkata, tarikh pernikahannya itu dipilih bersempena sambutan ulang tahun ke-30 bakal suaminya yang disambut sehari sebelum majlis akad nikah.
Beliau berkata, dia bersedia untuk bergelar isteri dan menjadi suri hidup Ahmad Aznaim atau Naim kerana telah menemui pilihan hati yang tepat, lebih-lebih lagi jejaka itu seorang yang penyabar dan tulus membantunya selama ini.
“Sepanjang kami berkawan, dia sentiasa menyokong dan membantu saya. Malah dia adalah tempat untuk saya mengadu segala masalah.
“Persahabatan kami bertukar menjadi lebih rapat pada 8 Oktober 2008 apabila telefon bimbit saya hilang. Dia adalah orang pertama yang saya hubungi untuk mengadu masalah.
“Dari situ, saya dapat rasakan dia adalah teman jiwa saya,” ceritanya.
Ana dan Ahmad Aznaim yang bakal mengenakan pakaian pengantin warna kelabu pada hari pernikahan kelak, bagaimanapun enggan menyatakan jumlah wang hantaran.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story