KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM)menjangkakan cuaca panas dan kering pada monsun barat daya yang akan melanda negara bermula Mei hingga September depan tetapi ia tidak seteruk tahun-tahun sebelum ini.
Timbalan Ketua Pengarah Aplikasi JMM, Alui Bahari berkata keadaan cuaca kini yang sering berubah-ubah dan tidak menentu adalah disebabkan berlakunya peralihan monsun dan dijangka kembali normal menjelang penghujung bulan ini.
“Keadaan suhu laut yang normal bagi monsun barat daya ini banyak mempengaruhi perubahan cuaca menjadikan keadaan panas kering bagi monsun kali ini dijangka tidak seteruk tahun-tahun lepas,” katanya kepada Bernama di Forum Iklim Kebangsaan Monsun Barat Daya di sini, Rabu.
Beliau berkata cuaca panas dan kering kali ini diramal mencapai suhu maksimum sehingga 34 darjah celcius dan suhu minimum adalah 23 darjah celcius.
Alui berkata cuaca panas dan kering mampu mencetuskan keadaan berjerebu dan ia tidak dapat dielakkan namun ia mampu dikurangkan sekiranya masyarakat tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka.
Beliau berkata rakyat tidak perlu risau dengan keadaan panas kering pada bulan depan kerana perubahan monsun berlaku setiap tahun dan masyarakat digalakkan untuk sentiasa minum air dengan banyak bagi mengelakkan keadaan yang terlalu panas.
“Taburan hujan dijangkakan baik dan masih mencukupi untuk menampung keperluan air sepanjang musim panas,” katanya.
“Bagi menghadapi musim panas kering bermula Mei ini, masyarakat terutamanya kanak-kanak kecil dinasihatkan untuk minum air dengan banyak seperti yang disyorkan terutamanya pada bulan puasa,” katanya.
Beliau berkata sekiranya keadaan semakin berjerebu, masyarakat dinasihatkan untuk sentiasa memakai penutup muka (mask) bagi mengelakkan sebarang kemungkinan penyakit seperti sesak nafas. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment