PELAJAR TINGKATAN 3 SMK PADUKA TUAN MAUT DI GILIS KERETAPI


Ahli keluarga Ahmad Iltizam Khalid di tempat kejadian ..Sumber gambar : NST
SEGAMAT: Seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paduka Tuan meninggal dunia digilis kereta api penumpang ketika menyeberangi landasan kereta api di Kilometer 592, Landasan Segamat dan Genuang di sini, semalam.
Tragedi menyayat hati itu berlaku pada jam 1.20 tengah hari ketika Ahmad Iltizam Khalid, 15, yang juga anak sulung daripada empat beradik melintas landasan melalui pintasan haram.
Lokasi kejadian hanya 200 meter dari sekolah mangsa.
Ahmad Iltizam dipercayai berjalan sendirian menggunakan jalan pintas dengan menyeberangi Jalan Genuang untuk pulang ke rumahnya di Jalan West, Bukit Siput selepas tamat sesi persekolahan.
Ketika melintas landasan itu, kereta api Ekspres Sinaran yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Woodland, Singapura melalui laluan sama.
Iltizam diseret sejauh 50 meter dan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan manakala buku sekolah pelajar itu bertaburan di sekitar landasan. Kereta api itu turut berhenti berhampiran lokasi kejadian, tetapi perlu mengambil jarak 800 meter sebelum berhenti sepenuhnya sejurus kemalangan. Ia meneruskan perjalanan selepas polis menyelesaikan siasatan di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Hanafi Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
“Mangsa menggunakan pintasan di landasan kereta api itu untuk pergi dan pulang dari sekolah setiap hari. “Laluan sama turut digunakan penduduk untuk melintas setiap hari. Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Segamat untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Kanan Komunikasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Fazil Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian pada jam 1.30 tengah hari.
“Kejadian seumpama ini boleh dielak jika orang ramai tidak menggunakan pintasan haram untuk melintas landasan kereta api. “KTMB sudah banyak mengeluarkan peringatan berkaitan bahaya menyeberangi landasan kereta api serta mengadakan pelbagai kempen kesedaran.
“Ini kerana, sebaik dilanggar kereta api, kesannya boleh membawa maut. Walaupun mangsa hidup, kecederaan dialami pula teruk. KTMB menasihati orang ramai supaya menggunakan jejantas di sepanjang landasan kereta api,” katanya.
Menurut Fazil, KTMB berkuasa mendenda mereka yang ingkar sehingga RM500 mengikut Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2011.
_____________________________________________________________________
SEGAMAT: Ahmad IItizam Khalid, 15, yang meninggal dunia ketika menyeberangi landasan kereta api di Kilometer 592, Landasan Segamat dan Genuang di sini, semalam disifatkan sebagai pelajar pintar serta aktif di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paduka Tuan.
Guru kelas mangsa, Nurulain Sarji, berusia 30-an berkata, kejadian menimpa IItizam yang pertama membabitkan pelajar sekolah itu.
“Saya terkejut dimaklumkan berkaitan kejadian, IItizam bukan saja memiliki akhlak terpuji malah seorang pelajar cemerlang.
“Iltizam aktif dalam sukan terutama kriket dan pernah mewakili sekolah hingga ke peringkat daerah,” katanya.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi lokasi kemalangan apabila bapa mangsa yang bertugas di Pejabat Tanah dan Daerah Segamat serta ibunya, dilihat pilu serta longlai sejurus melihat jasad anak kesayangan mereka mereka terbujur kaku di tengah landasan kereta api berkenaan.
Malah, ibu bapa mangsa yang ditemui di lokasi terkejut dengan kejadian yang menimpa anak sulung daripada empat beradik itu.
Bagaimanapun, bapa mangsa hanya mahu dikenali sebagai Khalid, berusia 40-an menyifatkan pemergian mengejut Iltizam sebagai ketentuan Ilahi.
Jenazah Iltizam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jementah selepas solat Asar, semalam.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story