Rohana Jalil Nafi Suruh Anaknya Kilafairy ‘Cucuk Muka’




“Saya memang ada terdengar banyak cerita tentang saya buat muka, cucuk sana, cucuk sini. Tapi saya nafikan semua dakwaan itu. Dulu memang saya ada buat suntikan vitamin C. Namun atas nasihat doktor saya tidak lagi melakukannya kerana bimbang ada kesan sampingan. Sekarang ini saya hanya jaga pemakanan untuk kesihatan.
Tentang Kila pula, dia juga tidak pernah menyuruh dia buat sebarang suntikan pada wajahnya. Kila masih muda, jadi tidak perlu buat semua itu. Kalau boleh saya juga mahu dia kurangkan solekan pada wajah. Saya selalu nasihatkan dia supaya pakai bedak dan gincu bibir sahaja,” ujar Rohana yang ditemui di sidang media Bintang RTM kelmarin.
Dalam masa yang sama, penyanyi yang popular dengan lagu ‘Rayuanku’ ini juga memberitahu yang dia sebenarnya tidak begitu menggalakkan Kilafairy menceburi bidang lakonan. Sebaliknya dia mahu anak gadisnya itu menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang nyanyian.
“Saya suruh dia menyanyi sahaja sebab menyanyi ini komitmenya tidak setinggi bidang lakonan. Tetapi, Kila nampaknya lebih berminat dengan lakonan sebab dia suka menjiwai sesuatu watak. Jadi, saya pun bagi kebebasan untuk dia buat pilihan. Biar dia buat perkara yang disukai.
Bagaimanapun, suami saya agak kurang selesa dengan watak-watak yang sering dilakonkan oleh Kila. Maklumlah selalu sangat dapat watak ‘perempuan gedik’. Suami saya kata Kila masih sangat muda, jadi lebih baik bawa watak bersesuaian. Jadi sekarang ini Kila sudah mula memilih-milih watak sebab hendak jaga hati ayahnya,” ujar Rohana lagi.
Dalam perkembangan lain, Rohana memberitahu dia juga bakal muncul dengan single duet bersama anak gadisnya itu.
“Kami memang merancang untuk muncul dengan single duet, tapi buat masa ini belum ada lagu lagi sebab kita masih mencari lagu yang sesuai. Kalau boleh saya mahu lagu yang segar, sesuai dengan selera pendengar sekarang ini. Kemungkinan besar, kami akan minta Amylea AF yang buatkan sebab kebetulan sekarang ini Kila bekerjasama dengan dia bagi menghasilkan sebuah single terbaru,” ujar Rohana.
Pada 28 April ini Rohana Jalil bersama Zur Eda dan Nassier Wahab akan mengadakan satu persembahan istimewa di Hotel UiTM, Shah Alam bermula jam 3.00 petang hingga 5.00 petang.


0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story