PETALING JAYA: Penyanyi terkenal, Norzila Aminuddin atau Ella mengesahkan desas-desus yang mengatakan dia bakal berkahwin dengan seorang juruterbang pada 7 Julai depan.
Menurut laporan Harian Metro pada Jumaat, Ella, 46, memberitahu majlis pernikahannya bersama Azhar Ghazali bakal diadakan secara tertutup di rumah keluarganya di Klang, Selangor.
"Alhamdulilah akhirnya apa yang diperkatakan sebelum ini, persoalan bertahun-tahun yang diajukan kepada saya sudah ada jawapannya.
"Doakan yang terbaik dan semuanya berjalan lancar," ujarnya.
Dalam pada itu, Ella berkata, majlis pernikahan itu nanti akan diadakan secara sederhana dan hanya keluarga terdekat kedua belah pihak dan kenalan rapat sahaja diundang.
Ella menjelaskan, pihaknya bukan tidak mahu menjemput ramai orang tetapi menghormati permintaan keluarga yang inginkan kesederhanaan untuk majlis pernikahan tersebut.
"Insya Allah majlis resepsi nanti pada 1 Disember depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya saya akan jemput lebih ramai tetamu," katanya.
Ella bersama Azhar iaitu seorang juruterbang syarikat penerbangan Firefly yang berusia awal 30-an mula mengenali antara satu sama lain sejak sembilan tahun lalu, namun hubungan itu menjadi lebih serius tiga tahun kebelakangan ini.
Menyifatkan Azhar sebagai seorang yang sangat memahami dan menerima dirinya seadanya, Ella yakin jodohnya sudah tiba.
"Sembilan tahun kenal tetapi kerana kesibukan tugas masing-masing membuatkan kami berhubung secara jarak jauh sahaja.
"Hinggalah akhir-akhir ini hubungan itu semakin serius dan kami memutuskan untuk melangkah ke peringkat lebih baik. Lantas pihaknya datang merisik pada 17 Jun lalu di rumah keluarga saya di Klang," katanya.
0 comments:
Post a Comment