Kejadian pada pukul 11.45 pagi di Jalan Kuantan-By Pass dekat Taman Dato Rashid di sini, itu menyebabkan tiga anggota polis parah dan banduan itu melarikan diri.
Anggota polis yang cedera itu ialah pemandu, Konstabel Filyx Lansaver Jinol, 25, Kpl Zulhairi Ramli, 24, dan Kpl Abd Rashid Ahmad, 51. Kesemua mereka kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
Ketua Polis Derah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusuff berkata ketika kejadian, kereta polis berkenaan dalam perjalanan membawa banduan terbabit yang baru dijatuhkan hukuman atas kesalahan mengikut Seksyen 39 A (2) Akta Dadah Berbahaya 1953 dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Berang, Terengganu menuju ke Penjara Penor, di sini.
"Sampai di tempat kejadian banduan terbabit, Roslan Ismail, 32, tiba-tiba bertindak agresif dan bergelut dengan anggota polis sebelum menendang pemandu hingga menyebabkan kereta hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebuah lori rosak yang diletakkan di bahu kiri jalan menghala ke Kuantan.
"Selepas kejadian itu, banduan terbabit bertindak melarikan diri dengan tangan bergari menuju ke kawasan hutan berhampiran taman berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.
Mohd Jasmani berkata seorang saksi yang berada di tempat kejadian cuba mengejar banduan terbabit dan menyuruhnya menyerah diri namun banduan itu tidak mengendahkannya.
Beliau berkata pemandu lori berkenaan, Mohd Zamri Abdul Kadir, 22, yang sedang menggantikan tayar sebelah kiri lorinya yang pancit di situ turut mengalami kecederaan di betis kiri akibat rempuhan itu.
"Polis kini menubuhkan pasukan khas dan membuat sekatan jalan raya melalui 'ops tutup' di sempadan daerah Kemaman, Maran, Temerloh dan Pekan bagi memburu banduan terbabit.
"Banduan yang berasal dari Terengganu itu dijatuhkan hukuman lapan tahun penjara dengan sepuluh sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu bermula 28 Jun lepas," katanya.-BERNAMA
0 comments:
Post a Comment