KUALA LUMPUR : Sudah enam tahun mendirikan rumah tangga, pelakon kacak Ady Putra masih lagi belum dikurniakan rezeki untuk memiliki anak selepas isterinya, Aida mengalami keguguran kembar tiga pada tahun lepas.
Bagi Ady, setiap insan termasuk dirinya terlalu inginkan mempunyai cahaya mata dalam kehidupan berkeluarga.
Namun, Ady percaya itu semua adalah dugaan dan rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. kepada dirinya dan juga isteri tercinta.
“Saya lebih suka memandang perkara ini sebagai satu dugaan. Belum rezeki saya dan isteri lagi. Bukannya saya tak cuba.
“Soal anak, saya lebih suka menyerahkan kepada takdir. Sekurang-kurangnya, itulah yang akan kita fikirkan oleh akal waras kita. Apabila kita bercakap soal anak, soal zuriat, ia tidak semudah macam kita nak buat sebuah kereta. Kalau Tuhan belum mengurniakannya kepada kita, maka tunggu sahajalah. Hanya Dia sahaja yang tahu,” kata Ady yang dipetik dalam akhbar Mingguan Pancaindera.
Tidak menolak cadangan dari beberapa pihak supaya dia dan isteri mengambil anak angkat, Ady berkata, dia berasa takut tidak dapat berlaku adil kepada anak angkatnya sekiranya dikurniakan anak sendiri satu hari nanti.
“Ramai yang syorkan hal ini pada saya. Jujurnya, saya khuatir, jika saya ambil anak angkat, mampukah saya jadi bapa yang baik pada anak yang kita tahu tidak ada pertalian darah itu? Mungkin hari ini saya kata boleh. Esok lusa kita tidak tahu.
“Memang anak ialah harta. Tapi itu amanah dan tanggungjawab. Saya bimbang tak boleh berlaku adil pada dia jika kemudiannya dikurniakan anak sendiri. Karma itu wujud. Kalau saya tak berlaku tak adil, Tuhan melihat,” katanya.
Bagaimanapun, Ady bersyukur kerana hubungan dia dan isterinya tidak pernah berlaku perselisihan faham apabila soal anak dibicarakan.
“Alhamdulillah, setakat ini tak pernah. Bagi saya, anak tidak boleh dijadikan pihak ketiga dalam perselisihan faham antara suami isteri. Yang penting, bagaimana suami nak mengendalikan rumahtangga,” kata Ady. – My News Hub
0 comments:
Post a Comment