Air mata sebelah mayat anak


PILU...anggota keluarga mangsa tidak dapat menahan sedih  melihat jenazah Faizah di tempat kejadian.
PILU...anggota keluarga mangsa tidak dapat menahan sedih melihat jenazah Faizah di tempat kejadian.
MELAKA: Hasrat seorang pelajar perempuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menghadiri kelas tambahan berakhir tragedi apabila maut selepas motosikal dibonceng bergesel dengan sebuah lori di Jalan Kampung Gelam, Tanjung Kling dekat sini, semalam.
Kejadian jam 10.28 pagi, Faizah Masbak, 17, yang membonceng motosikal Modenas Kriss bersama rakannya, Nurliyana Md Yusoff, 17, terjatuh.

Faizah maut di tempat kejadian selepas cedera parah di tengkuk dipercayai digilis lori berkenaan manakala rakannya, Nurliyana yang cedera parah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.
Lokasi kejadian bertukar pilu apabila ibu mangsa, Rabiah Ahmad, 53, yang tiba tidak dapat menahan kesedihan selepas melihat jenazah anaknya terbujur kaku.

Menurut kakak mangsa, Afifah, 23, adiknya yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist di Tengkera keluar rumah kira-kira jam 8 pagi bagi mengikuti kelas tambahan di sekolahnya.

“Ibu kata, pagi tadi (semalam) Faizah minta izin ke kelas tambahan dengan membonceng motosikal rakannya yang menjemput adik di rumah.
“Namun, tidak lama selepas rakannya datang ke rumah dan memaklumkan Faizah kemalangan, pada awalnya ibu dan ayah menyangkakan ia kemalangan kecil,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.

Menurutnya, bagaimanapun apabila tiba di lokasi mereka terkejut melihat orang ramai berkumpul dan jenazah adiknya sudah ditutup.
Katanya, arwah yang juga anak kelima daripada enam beradik tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian.

“Adik tidak menunjukkan perubahan, namun malam tadi (kelmarin) dia yang gemar memasak sempat menggoreng nasi goreng cili padi untuk kami sekeluarga.

“Ketika pengecaman mayat hanya ayah yang melihat kerana saya sedih dan tidak sanggup selepas dimaklumkan terdapat kesan tayar di bahagian tengkuknya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa dari Tanjung Kling ke Tangga Batu bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah sama.

“Akibat bergesel dengan lori yang nombor pendaftarannya masih belum dikenal pasti, kedua-dua pelajar ini dipercayai gagal mengawal kenderaan itu lalu terjatuh ke atas jalan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

“Faizah yang berasal dari Kampung Padang, Jalan Pokok Mangga maut serta-merta di tempat kejadian, manakala rakannya yang cedera parah kini dirawat di ICU Hospital Melaka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, sehingga kini, pemandu lori berkenaan belum membuat laporan polis dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi polis untuk membantu siasatan.sumber

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story