Linda Rafar Terperangkap Dalam Lif


Linda Rafar
PETALING JAYA: Penyanyi Linda Rafar yang ingin membeli belah di Plaza Alam Sentral, Shah Alam, pada tengah hari Ahad, cemas apabila terperangkap selama 10 minit di dalam sebuah lif.
Linda berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, dia dan anak ketiganya,Syed Rezzaqiib, 4, ingin turun ke aras bawah, selepas menghantar dua anak lelakinya iaitu Rezzaril, 12, dan Rezzaiman, 10, bermain 'bowling'.
"Selepas menghantar anak saya bermain 'bowling' di aras atas, saya turun ke aras bawah bagi membeli barang-barang dapur.
"Pada kejadian itu, bukan saya dan Rezzaqiib sahaja berada dalam lif, terdapat beberapa orang termasuklah seorang pekerja plaza itu. Agak mencemaskan, kerana masing-masing sukar untuk bernafas," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Ahad.
Tambah Linda, lebih mencemaskan lagi apabila lampu lif tersebut terpadam dan ia membuatkan Linda berasa lebih panik, tambah pula anaknya semakin lemah kerana kesukaran bernafas.
"Sebenarnya, yang membuatkan saya lebih cemas apabila salah seorang daripada kami yang terperangkap ini berkata yang lif berkenaan memang sering bermasalah dan ia dapat dibuka dalam masa satu hari. Gemuruh darah saya dibuatnya.
"Syukurlah, lif berkenaan dapat dibaiki oleh petugas penyenggaraan yang dimaklumkan mengenai kejadian itu," ujar Linda.
Bagaimanapun, kejadian tersebut membuatkan Linda trauma untuk menggunakan kemudahan itu lagi malah katanya, dia sanggup naik turun tangga atau eskalator daripada terperangkap sekali lagi.
"Baru saya faham bagaimana rasanya apabila terperangkap dalam lif. Bila kawan-kawan saya melalui pengalaman begitu sehingga rasa trauma untuk masuk lif, saya sering menganggap ia satu benda yang remeh.
"Namun, apabila saya merasainya sendiri, barulah saya faham, ia mampu membuatkan kita cemas dan tak tentu arah. Mujurlah ada beberapa orang lagi yang terperangkap, sekurang-kurangnya kita dapat berfikir cara untuk menyelamatkan diri," tuturnya.
Ekoran kejadian itu, Linda tidak membuat sebarang tindakan terhadap pihak pengurusan pusat membeli belah itu.
Namun, bekas ahli kumpulan Elite itu menasihatkan kepada semua supaya berwaspada dan pastikan tidak keseorangan apabila memasuki lif, agar tidak berasa panik sekiranya berlaku sebarang masalah.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story