Bimbang Diancam, Lan Pet Pet Enggan Dedah Kisah Keluarga


Lan Pet Pet
PETALING JAYA: Pelawak Mazlan Ahmad, 43, mengambil pendirian untuk tidak mendedahkan apa-apa tentang kisah keluarga termasuklah soal dia sudah memiliki anak ataupun belum.
Mazlan atau lebih popular dengan panggilan Lan Pet Pet berkata, keputusan itu dibuat bagi mengikut kehendak isterinya iaitu Robithoh Abu Bakar @ Che Wan, 33, yang enggan kisah peribadi keluarga dikongsi dengan orang ramai.
"Minta maaf, saya tidak dapat memberikan sebarang kenyataan berkaitan dengan hal keluarga dan ini adalah permintaan isteri saya.
"Jujur dikatakan, saya tidak kisah jika mahu menceritakan mengenai mereka, tetapi isteri yang tak mahu dan saya faham kenapa dia berbuat demikian. Saya kena akur kehendak dia," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Khamis.
Tambah Lan, keputusan itu turut bertujuan untuk melindungi keselamatan keluarganya yang mungkin boleh diancam oleh pihak-pihak tertentu yang tidak menyukainya.
"Kita lihat sahajalah contoh-contoh yang ada di Internet, kebanyakan artis akan dihentam tanpa sebab walaupun mereka bercerita tentang perkara yang baik.
"Dan hal tersebut juga berlaku kepada saya. Kita buat lawak, tak semua orang suka, ada yang membenci. Jadi jalan terbaik ialah tidak menceritakan apa-apa perkara sekalipun tentang hal-hal keluarga. Cara itu lebih selamat," ujarnya.
Sementara itu, Lan akui dia kini semakin kurang menerima publisiti selain wajahnya jarang muncul di televisyen walaupun sebenarnya dia terlalu sibuk dengan pelbagai projek filem yang masih lagi dirahsiakan judulnya.
Malah, dia bersama kumpulan Senario turut merancang pelbagai projek selain memberi fokus kepada sitkom Senario yang sedang disiarkan setiap Selasa pukul 10 malam di TV3.
Dalam pada itu, Lan Pet Pet turut sibuk sebagai pelatih basikal untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Memang sejak kebelakangan ini saya semakin kurang muncul di televisyen mahupun di akhbar. Tetapi, saya ini diam-diam berisi tau.
"Jadual saya begitu padat dengan projek Senario bersama pihak TV3 selain berlakon dalam pelbagai filem.
"Saya tak kisah tentang hal itu (publisiti), kerana yang penting, biarlah saya muncul tepat pada masanya, iaitu ketika dalam sesebuah projek. Malah kesibukan saya bergelar pelatih lumba basikal ATM membuatkan masa saya agak padat," tuturnya.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story