SEBELUM ini, nama pelakon Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 27, sering menjadi tumpuan ramai gara-gara pelbagai kontroversi yang melanda dirinya, terutama yang membabitkan kisah bersama kekasihnya, Ammar Alfian.
Mengambil iktibar daripada pengalaman lalu, Puteri Sarah membuat keputusan untuk mengambil sikap mengelakkan diri daripada sebarang publisiti agar tidak lagi dihimpit dengan sebarang kontroversi murahan.
Ikuti temu bual bersama pelakon yang dikenali menerusi drama bersiri Asmaradana itu yang ditemui pada majlis pelancaran drama Indera Joned di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Kosmo!: Sudah lama kisah anda jarang dipaparkan media. Adakah anda sudah tidak aktif berlakon sekarang?
PUTERI SARAH: Saya masih lagi bergiat dalam bidang seni sehingga ke hari ini. Cuma kisah mengenai diri saya sekarang semakin jarang dipaparkan media. Sehingga ada peminat yang menyangka saya sudah tidak lagi aktif berlakon.
Saya mengambil keputusan untuk bersikap low profile bukan bertujuan hendak melarikan diri daripada mana-mana pihak, tetapi ini adalah langkah terbaik agar tidak timbul lagi sebarang cerita negatif mengenai diri saya.
Selain berlakon, apa lagi aktiviti yang anda lakukan?
Mungkin ramai yang tidak tahu sepanjang tempoh setahun ini, saya sibuk menyambung pelajaran di Kolej Olympia, Petaling Jaya, Selangor. Di kolej tersebut saya mengikuti kursus peringkat ijazah dalam bidang Pengurusan Perniagaan dan pengajian sudah tamat pada bulan April lalu.
Ini merupakan ijazah yang kedua kerana pada awal Januari 2011, saya telah menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti Kolej Taylor, Kelana Jaya.
Apa yang menyebabkan anda mengambil dua ijazah?
Pada usia yang masih muda ini, seharusnya saya mengambil peluang untuk menimba sebanyak ilmu pengetahuan. Lagipun, dua ijazah yang saya ambil ini berlainan bidang dan dengan cara itu pelbagai pengetahuan dapat saya peroleh menerusi kedua-dua bidang tersebut.
Adakah anda mempunyai sebarang perancangan selepas menamatkan pengajian?
Sebenarnya saya mempunyai cita-cita untuk membuka sebuah hotel sekiranya tidak lagi berlakon. Jadi, saya mahu bekerja dalam bidang perhotelan untuk menimba pengalaman terlebih dulu.
Kalau diikutkan, saya sudah merancang untuk berhijrah ke luar negara, sama ada ke Amerika Syarikat atau Australia selepas tamat belajar dan bekerja dengan mana-mana hotel dalam tempoh empat atau lima tahun.
Mengikut perancangan awal, saya akan pergi sebaik sahaja tamat pelajaran, tetapi jadual lakonan yang padat membuatkan saya terpaksa menangguhkannya. Mungkin saya akan pergi pada tahun hadapan.
Kenapa anda mahu bekerja di hotel luar negara, sedangkan di Malaysia sudah banyak hotel yang bertaraf lima bintang?
Sudah tentu cara kerja di Malaysia dan negara lain mempunyai banyak perbezaan. Maka, dengan segala pengalaman yang saya peroleh di luar negara nanti akan dapat membantu saya untuk membuka hotel sendiri di negara ini pada masa akan datang.
Memang saya berkeinginan besar untuk merasai suasana kehidupan di negara lain. Lagipun, semua adik-beradik saya telah berpeluang menyambung pelajaran di luar negara, kecuali saya sahaja yang belum lagi ada peluang.
Bagaimana pula hubungan anda dengan Ammar?
Buat masa ini dia masih lagi kekasih saya, dan kini sudah empat tahun kami bercinta. Namun, kami berdua belum terfikir mengenai perancangan untuk mendirikan rumah tangga kerana saya mahu memberikan tumpuan terhadap apa yang saya rancang sekarang ini. – Kosmo
0 comments:
Post a Comment