Ciri-Ciri Isteri Derhaka Menurut Rasulullah


Kita jangan keliru, apabila wanita disebut sebagai isteri, bukanlah untuk merendahkan taraf wanita itu. Ia adalah sebagai suatu jaminan hak supaya mereka itu dipelihara, dilindungi dan dibela dengan baik oleh suami.
Seorang isteri tentulah mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap suami.
gambar sekadar hiasan 
Tanggungjawab ini adalah suatu perkara yang serius dan tidak boleh diabai-abaikan. Isteri yang mengabaikannya senang mendapat laknat dan dikhuatiri termasuk ke dalam kategori isteri derhaka.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah Radhiallahu Anha bermaksud:
“Aku pernah bertanya kepada Baginda: “Siapakah orang yang paling berhak ke atas isteri ?” Baginda menjawab: “Orang yang paling berhak kepada isteri ialah suaminya”.

Kemudian aku bertanya lagi : “Dan siapakah orang yang paling berhak ke atas suami?” Baginda menjawab:” Orang yang paling berhak ke atas seorang suami ialah ibu kandungnya.”
(Riwayat Bazar dan al-Hakim)

Dalam sebuah hadis yang lain pula Baginda bersabda bermaksud:
“Sekiranya aku dibenarkan untuk memerintahkan seseorang bersujud kepada orang lain nescaya aku perintahkan seorang isteri bersujud kepada suaminya.”
(Riwayat Tirmizi dab Ibnu Hibban)

Jika ada para isteri yang tidak menunaikan tanggungjawabnya kepada suami dengan sebaik-baiknya, dan menganggap tanggungjawab terhadap suami itu hanya membebankan dan menyusahkan dirinya, maka isteri yang sedemikian itu dikhuatiri termasuk di dalam kategori isteri yang menderhaka atau nusyuz.

Apakah ciri atau tanda isteri yang derhaka itu? Ini perlu diketahui semata-mata untuk dijadikan langkah waspada agar para isteri terhindar daripadanya.

Berikut diketengahkan antara ciri atau tanda isteri derhaka:

1. Tidak mensyukuri kebaikan yang dilakukan suami

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bermaksud:
“Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita.

Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam ditanya: “Mengapa demikian ya Rasulullah?”

Baginda menjawab: “Wanita mengkufurkan suaminya dan mangkufurkan ihsannya. Jikalau engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum merasa berpuas hati dan merasa cukup.”
(Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda bermaksud:
“Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri daripada kaum wanita.” Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka: “Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir ?” Baginda menjawab : “Tidak, mereka ini ialah mereka yang menggunakan lidah menyakiti hati suami dan tidak bersyukur akan nikmat yang disediakan oleh suaminya.”
(Riwayat Muslim)

Ibnu Asakir pula menyebut:
“Apabila seorang isteri berkata kepada suaminya, aku belum pun melihat atau merasa nikmat pemberian daripadamu, maka ketika itu gugurlah segala pahala amalan kebajikannya.”

2. Menyakiti hati suami

Isteri yang suka menyakiti hati suami akan menerima balasan buruk sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:
” Seorang wanita menyakiti suaminya, maka isterinya yang bidadari itu berkata: Janganlah kamu menyakitinya semoga Allah mengutukmu, kerana dia (suami) itu disampingmu hanyalah sebagai orang asing yang akan berpisah denganmu menuju kami.”
(Riwayat Ibnu Majah)

3. Puasa sunat tanpa keizinan suami

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:
“Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat, jika suaminya ada dirumah, serta tidak dengan izinnya dan tidak boleh memasukkan seorang lelaki ke rumahnya dengan tidak izin suaminya.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Keluar rumah tanpa izin suami

“Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali.”
(Diriwayatkan oleh Thabarani di dalam al-Awsat)

5. Meminta cerai daripada suami
Sabda Rasulallah sallallahu Alaihi Wasallam bermaksud:
“Mana-mana isteri yang meminta suaminya menceraikannya dengan tiada sebab yang dibenarkan oleh syara haram baginya bau syurga.”
(Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

6. Isteri yang tidak menunaikan hajat suami 

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:
“Apabila memanggil suami akan isterinya ke tempat tidur, tetapi ditolaknya sehingga marahlah suaminya, maka akan tidurlah wanita itu di dalam laknat malaikat sehingga ke pagi.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Demikian sebahagian daripada ciri-ciri atau tanda isteri derhaka dan balasan buruk yang akan diterima di akhirat nanti. Semoga ianya akan memberikan manfaat dan kesedaran bagi kita semua, khususnya kaum isteri.

kredit: nizarazu

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story