Ketika ini, masing-masing kecoh dengan cerita yang disebarkan di ruang internet, mengatakan bumi bakal bergelap selama 3 hari pada bulan ini.
Tarikh yang dinyatakan dalam cerita itu ialah jatuh pada 23, 24 dan 25 Disember.
Rata-rata dari mereka yang berkongsi dan menyebarkan cerita tentang bumi bakal bergelap pada ketiga-tiga tarikh itu membuatkan ramai pihak yang takut untuk berhadapan dengan tarikh-tarikh tersebut.
Selain itu, jika dibaca ke semua versi cerita itu, mereka menyatakan NASA sudah pun menjangkakan fenomena perubahan alam semesta atau ‘photon belt’ bakal berlaku di mana kegelapan penuh pada bumi.
‘Photon belt’ dijangkakan berlaku pada 21 Disember nanti.
Antara petikan yang penulis baca dan dapati dari blog-blog yang ada ialah:
“Para Saintis NASA menjangkakan perubahan alam semesta dengan kegelapan penuh pada bumi selama 3 hari bermula pada 23 Disember 2012 bukanlah akan berakhirnya usia dunia, tapi ini adalah “Penyejajaran Alam Semesta“, di mana matahari dan bumi akan berada pada satu garis lurus untuk pertama kalinya. Bumi akan bertukar tempat dari dimensi ke 3 ke dimensi 0, lalu bertukar lagi ke dimensi ke 4.
“Semasa proses pertukaran ini, seluruh alam akan menghadapi perubahan besar, dan kita akan melihat dunia yang baru (Dark of the Earth). Dunia gelap tanpa sinar, tanpa cahaya matahari.”
Justeru, ramai yang terus percaya akan cerita tersebut.
Tetapi, benarkah bumi akan bergelap pada ketiga-tiga tarikh iaitu bulan ini juga?
Di laman rasmi NASA, nasa.gov ada jawapan tentang fenomena bumi bakal bergelap atau ‘three days of darkness’ yang digembar-gemburkan oleh orang ramai.
Seorang rakyat Amerika Syarikat telah mengutuskan persoalan mengenai sejauh mana kebenaran tentang kejadian pertukaran alam atau ‘Dark of the Earth’.
Berikuat adalah jawapan dari Astrobiology Senior Scientist, David Morrison.
“Sejak beberapa minggu lalu, emel saya dipenuhi dengan persoalan yang banyak tentang pertukaran alam semesta, ‘photon belt’ dan tiga hari kegelapan yang akan berlaku di bumi yang dikatakan disahkan oleh Nasa sendiri. Ini adalah satu pembohongan yang terlalu bodoh.
“Tidak akan berlakunya pertukaran alam semesta mahu pun bumi akan bergelap selama tiga hari (Bagaimana matahari boleh ‘mati’?). Ia sememangnya bodoh.
“Selepas kononnnya cerita bumi akan bergelap itu disahkan oleh NASA, tiada sesiapa pun yang cuba mengesahkan kenyataan atau fenomena itu akan berlaku di laman rasmi NASA. Juga, tiada seorang pun yang bimbang bahawa berita seperti itu tidak dilaporkan di kaca televisyen mahu pun di surat khabar.
“Saya tidak tahu apa-apa cara untuk menjawab selain daripada memberitahu kebenaran yang mudah, tiada apa-apa yang akan berlaku pada 21 Disember atau tarikh yang seterusnya,” tulisnya.
Justeru, sudah jelas terbukti di mana pihak NASA sendiri sudah mengeluarkan kenyataan seperti di atas.
Oleh itu, janganlah kita mudah untuk mempercayai sesuatu berita tanpa memeriksa sumber dan bukti yang sah.
Oleh: NAIMAH SHAARI
Sumber: nasa.gov
0 comments:
Post a Comment