KUALA LUMPUR – Jika muzik adalah santapan jiwa, maka penyanyi nombor satu Malaysia; Dato’ Siti Nurhaliza berjaya melakukan lebih daripada itu apabila bergabung bakat dan tenaga dengan beberapa lagi penghibur tempatan untuk mengumpul dana berjumlah RM150,000 untuk disumbangkan kepada Persatuan Kebajikan Barah Payudara Malaysia (BCWA) dan juga program amal Gleneagles Kuala Lumpur (GKL) iaitu ‘A Heart for A Heart’, yang membantu kanak-kanak yang menghidapi komplikasi jantung sejak dilahirkan.
Dihoskan oleh Harith Iskander, majlis gala ‘Pink Jazzy Affair’ yang dianjurkan GKL mendapat sambutan hangat apabila semua tiket untuk majlis itu habis dijual.
Diva jazz tempatan Atilia Haron dan Donny Ray Radford dari kumpulan The Platters turut ‘meminjamkan’ suara mereka bagi tujuan murni itu dan menghiburkan lebih 400 hadirin dalam majlis makan malam yang penuh gilang-gemilang. Majlis ini dirasmikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang dan Duli Yang Maha Mulia Sultanah Pahang.
“Kami amat berbesar hati untuk membawa perubahan kecil seperti ini bagi memerangi barah payudara. Muzik mempunyai keupayaan untuk menyatu-padukan umat manusia tanpa mengira perbezaan warna kulit, kepercayaan atau latar belakang mereka. ‘Pink Jazzy Affair’ adalah cara kami untuk menyebarkan maklumat dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai penyakit ini melalui sentuhan sejagat muzik,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Serantau Gleneagles dan Ketua Pegawai Eksekutif Gleneagles Kuala Lumpur, Amir Firdaus Abdullah.
BCWA menerima cek berjumlah RM100,000 yang akan disalurkan untuk membantu pesakit barah payudara disamping memberi pendidikan sebagai usaha untuk menggalakkan pencegahan di kawasan pedalaman. Manakala cek selebihnya yang berjumlah RM50,000 telah disumbangkan kepada program amal GKL ‘A Heart for A Heart’.
“Setiap tahun, GKL menerima lebih dari 50 rayuan daripada keluarga yang mempunyai anak menghidapi komplikasi jantung sejak dilahirkan dan kami akan sentiasa mengumpul dana untuk membantu kanak-kanak ini mendapatkan rawatan yang mereka perlukan untuk terus hidup,” kata Amir.
Gleneagles Kuala Lumpur (GKL) juga turut melancarkan Ambulans Merah Jambu yang pertama di Malaysia di majlis amal itu. Ambulans Merah Jambu adalah hasil kerjasama diantara GKL dan juga First Ambulance dan bertujuan menggalakkan lebih banyak sokongan kepada pesakit barah payudara dan juga ahli keluarga mereka ketika mengharungi kesukaran memerangi penyakit itu.
“Ambulans Merah Jambu adalah sebahagian dari bukti komitmen jangka panjang kami bagi meningkatkan kesedaran mengenai barah payudara. Ia akan beroperasi di sekitar Lembah Klang dan sebahagian dari bayaran yang dikutip untuk perkhidmatan ambulans itu akan disumbangkan kepada pelbagai persatuan berkaitan barah payudara,” kata Amir lagi.
Tambah beliau lagi ambulans gred A itu dilengkapi dengan kemudahan perubatan, paramedik dan jururawat terlatih. Ia diwarnakan merah jambu untuk menarik perhatian orang ramai bagi memupuk kesedaran mengenai barah payudara.
- Kenyataan media disediakan bagi pihak Gleneagles Kuala Lumpur oleh Cik Dini Nurdayana
0 comments:
Post a Comment