KUALA LUMPUR – Chef masakan terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan melahirkan rasa terkilan tidak dapat bertemu dengan ayahnya untuk kali terakhir.
Ayah Chef Wan, Ismail Md Nor, 79, telah meninggal dunia semalam akibat penyakit kencing manis dan strok di Raub, Pahang.
Chef Wan ketika itu sedang dalam perjalanan ke Sulawesi, Indonesia bagi menjayakan penggambaran program masakan terbarunya di Astro Prima bertajuk ‘ChefWan’.
Menerusi laporan dari portal Murai.com, berita pemergian ayahnya yang diterima ketika dia jauh dari sisi arwah menambahkan lagi rasa sedih dan terkilannya.
“Ayah saya ada penyakit diabetes dan stroke kecil. Sebelum ini, dia pernah dimasukkan di hospital selama seminggu . Apabila saya pulang dari Palestin dan Jordan untuk tujuan amal di sana, saya sempat menjenguknya dan dia sudahpun dikeluarkan dari hospital minggu lalu.
“Jadi bila saya tiba di lapangan terbang di Sulawesi semalam, saya terima panggilan telefon yang mengatakan ayah saya telah meninggal dunia ketika saya berada di atas pesawat,” katanya dengan rasa sedih.
Sebelum itu, Chef Wan pernah berusaha untuk membawa ayahnya untuk tinggal bersama-sama supaya memudahkan dirinya menjaga kesihatan bapanya.
Namun, permintaan Chef Wan ditolak oleh ayahnya berikutan tidak mahu menyusahkan kehidupan anak sulungnya itu.
Walaupun berasa kecewa di hatinya, Chef Wan menerima ketentuan Tuhan dan redha atas pemergian ayahnya itu.
“Saya sempat membawa dua cucu saya bertemunya di Raub dan saya telah memujuknya untuk tinggal bersama saya. Dengan cara itu, saya boleh menjaganya dengan dibantu jururawat. Tetapi dia enggan kerana tidak mahu menyusahkan saya.
“Hancur hati saya. Tapi semua itu telah ditentukan oleh Allah untuk kami tidak dipertemukan lagi buat selama-lamanya.Tetapi sebagai anak, saya sering menjalankan tanggungjawab bukan saja kepadanya tetapi juga kepada ahli keluarga yang lain,” katanya.
Oleh: NAIMAH SHAARI
0 comments:
Post a Comment