Menyamar Saudara Tim.Ketua Polis S’gor

Menyamar Saudara Tim.Ketua Polis S'gor

IPOH – Seorang lelaki yang menyamar sebagai anak saudara Timbalan Ketua Polis Selangor diberkas selepas memalsukan surat tawaran kemasukan kerja sebagai polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Perak Supt Maszely Minhad berkata suspek ditahan di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan Kuala Lumpur pada 9 April lepas kira-kira pukul 11.30 pagi oleh sepasukan JSJK Perak.
Katanya suspek menipu seorang wanita berusia 18 tahun dengan menyerahkan surat tawaran kononnya dia ditawarkan jawatan konstabel wanita.
“Pada 8 Jan kira-kira pukul 2 petang, mangsa ketika di rumahnya di Taman Lawan Kuda Baharu, Gopeng didatangi suspek yang mendakwa boleh membantunya mendapatkan kerja polis.
“Suspek yang sedang dalam usaha mengahwini kakak mangsa kemudiannya menolong wanita itu mengisi borang permohonan polis secara manual,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Maszely berkata suspek kemudian menyerahkan salinan permohonan kepada mangsa tetapi borang permohonan yang asal dikoyak dan dibuang.
Beliau berkata selepas dua minggu suspek membawa surat tawaran kepada mangsa dan menyatakan bahawa dia layak serta perlu menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital kerajaan.
“Suspek telah membawa mangsa dan ibunya pergi ke Pusat Latihan Polis Zon Selatan di Muar, Johor dengan menaiki kereta suspek dan apabila tiba di sana suspek memaklumkan bahawa mangsa gagal dalam ujian kesihatan dan perlu mengambil ujian sekali lagi.
“Suspek kemudiannya membawa mangsa menjalani ujian kesihatan di Klinik Kesihatan Maharani Muar sebelum singgah ke rumah ibu saudara mangsa di Ampang, Selangor,” katanya.
Beliau berkata mangsa kemudiannya menceritakan kepada ibu saudaranya mengenai kegagalan ujian kesihatannya dan menunjukkan surat itu, bagaimanapun ibu saudaranya berasa sangsi dengan surat tawaran itu.
Katanya ibu saudaranya seterusnya membawa pengadu berjumpa Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan (gambar) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor dan menunjukkan surat itu.
“Mangsa membuat laporan polis setelah diberitahu bahawa surat tersebut adalah palsu dan bukan daripada Polis Diraja Malaysia,” katanya.
Beliau berkata dokumen yang dipalsukan ialah ‘Borang Permohonan Untuk Jawatan Dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia’, ‘Surat Tawaran Kemasukan Latihan Polis Wanita’ dan ‘Surat Jawapan Pemeriksaan Perubatan’.
Dalam pada itu, Maszely yang juga jurucakap media pilihan raya umum ke-13 kontinjen Perak berkata sehingga hari ini sebanyak 100 laporan polis diterima mengenai kesalahan pilihan raya.
“Sehingga pukul 12 malam tadi, sebanyak lapan laporan polis telah diterima dan satu kertas siasatan dibuka antaranya melibatkan kejadian mencabut bendera, kain rentang, gambar calon dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap penyokong parti lain,” katanya. -BERNAMA


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story