Permintaan Bagi Nadir Bumi Di Jangka Meningkat

Permintaan Bagi Nadir Bumi Di Jangka Meningkat, Lynas

MELBOURNE – Lynas Corporation Ltd menjangka permintaan bagi produk nadir buminya akan meningkat dalam jangka sederhana selepas memulakan pengeluaran produk nadir bumi berasingan pertamanya di Kuantan dalam suku tahun Mac.
Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) di Malaysia itu kini telah menghasilkan rangkaian penuh produk nadir bumi dan sedang menggiatkan usaha ke arah pencapaian kapasiti 11,000 tan metrik setahun menjelang akhir suku kedua 2013, kata Lynas dalam satu kenyataan.
Bulan lepas, Mahkamah Persekutuan Malaysia menyokong keputusan mahkamah rendah sebelumnya, yang menolak bantahan oleh pencinta alam sekitar terhadap pembinaan kilang penapisan nadir bumi syarikat itu di Kuantan.
Dalam laporan suku pertamanya, Lynas menegaskan lagi panduan pengeluarannya.
Syarikat itu berkata harga jatuh 13 peratus berbanding suku sebelumnya, dengan mencapai harga purata Mount Weld pada US$37.22 sekilogram dalam suku pertama.
“Lynas mengunjurkan permintaan bagi nadir bumi akan meningkat pada kadar melebihi KDNK dalam jangka sederhana, didorong oleh peningkatan permintaan daripada sektor-sektor utama seperti magnet kekal nadir bumi, autopemangkin dan pemangkin pemecahan bendalir,” kata Lynas.
Ketiga-tiga pasaran ini dijangka menyumbang kira-kira separuh daripada permintaan nadir bumi dunia menjelang 2015.
Menjelang akhir dekad ini, Lynas meramalkan kekurangan bekalan beberapa pasaran unsur nadir bumi seperti Neodimium/Praesodimium dan Lanthanum.
Jumlah pekerja di tapak Malaysia itu susut kepada 1,515 orang pada akhir Mac, daripada 2,300 orang pada pertengahan Disember 2012 dengan semakin hampir selesainya projek itu. – BERNAMA


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story