Hantar SMS Mahu Mengamuk

Mengamuk

KUALA TERENGGANU – Seorang adik tergamak mengamuk dengan merosakkan peralatan di rumahnya dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS), gara-gara berang permintaannya untuk mendapatkan wang tidak dipenuhi oleh abangnya.
Bagaimanapun, perbuatan Mohd Hilmi Roslan, 23, dari Taman Perumahan Gong Badak 4, di sini, menerima pembalasan selepas dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret, semalam.
Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Hilmi mengaku bersalah melakukan khianat dengan memecahkan pinggan mangkuk kaca dan cermin almari dengan menyebabkan kerugian sebanyak RM500 di Taman Perumahan Gong Badak 4, di sini, kira-kira jam 10.50 pagi, pada 7 April lalu.
Selain itu, Mohd Hilmi mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mahu mengamuk dan memecahkan peralatan yang ada di rumah bagi menakutkan Muhammad Zamri, 27, di alamat, waktu dan tarikh sama.
Dengan itu, dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Bagi setiap pertuduhan, Rozianti menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan dan memerintahkan kesemua hukuman berkenaan dijalankan secara berasingan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming manakala Mohd Hilmi tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, Mohd Hilmi menghantar SMS kepada mangsa mengatakan dia mahu mengamuk dan memecahkan peralatan yang ada di rumah.
Sebaik sampai, mangsa mendapati bahagian ruang tamu dan dapurnya dipenuhi serpihan kaca sebelum membuat laporan di Balai Polis Gong Badak.
Susulan laporan dibuat, Mohd Hilmi ditahan sepasukan polis di tepi jalan Perumahan Gong Badak 4, di sini pada 11 April lalu.
Sebelum ini, Sinar Harian ada melaporkan seorang lelaki bertindak mengugut mahu mencederakan ahli keluarganya dengan parang selepas berang permintaannya untuk mendapatkan wang tidak dipenuhi. – Sinar Harian Online


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story