BAIK Yuna atau Najwa Latif, masing-masing punya aura tersendiri dan mereka berdua bukanlah bintang kelahiran program realiti TV seperti kebanyakan penyanyi kini, sebaliknya lahir dari medium hiburan jalur lebar.
Jika Yuna atau nama sebenar, Yunalis Zarai, 24, popular menerusi lagu Dan Sebenarnya, Najwa Latif, 16, mencetus fenomena menerusi lagu nyanyiannya, Cinta Muka Buku menerusi laman YouTube dengan mencatat jumlah tontonan antara yang tertinggi lebih empat juta peminat.
Tidak dinafikan dunia seni tanah air sejak beberapa tahun kebelakangan ini dimeriahkan dengan kemunculan ramai bakat baru dan indie (bergerak bebas). Bukan hanya menyanyi, malah kebanyakan mereka mampu menulis lirik sendiri. Secara tidak langsung mewujudkan satu persaingan sihat dalam dunia seni tanah air.
Bagaimanapun, kehadiran Najwa Latif membuatkan ramai yang membandingkan mereka berdua kerana banyak persamaan antara mereka seperti menyanyi dengan lagu ciptaan sendiri, penampilan mereka bertudung dan tidak lekang bersama gitar setiap kali menjayakan persembahan.
Dalam pertemuan ketika hadir menjayakan Malam Mesra MACP pada 29 November lalu, Yuna dan Najwa kelihatan mesra ketika digandingkan bersama. Walaupun Yuna sudah mencipta nama, malah fesyen tudungnya juga menjadi ikutan, nyata sebagai kakak, Yuna turut memberi pandangan dan nasihat buat Najwa.
Katanya, kehadiran bakat baru seperti Najwa Latif sememangnya satu yang positif buat industri seni tanah air. Kemunculan bakat baru sepertinya harus disokong dan diberi galakan.
“Banyak orang samakan saya dengan Najwa (Latif), tetapi muzik dan penampilan kami memang berbeza. Cuma kami berkongsi minat yang sama iaitu menjadikan muzik sebagai hobi.
“Perjalanan seni kami juga berbeza. Saya mula mempertaruhkan karya lagu saya menerusi myspace manakala Najwa pula menerusi Youtube. Tidak dinafikan, Najwa seorang yang berbakat besar.
“Saya rasa tidak adil jika orang menyamakan kami berdua. Dia harus diberi peluang untuk membuktikan bakatnya. Dia juga ada identiti dan muzik tersendiri. Sudah pasti lagunya juga mempunyai peminat tersendiri,” katanya.
Yuna yang kini mengorak langkah ke peringkat antarabangsa dengan menghasilkan album di Amerika Syarikat, makin popular dengan lagu, Come As You Are yang pernah dipopularkan legenda rock antarabangsa, Nirvana. Lagu yang dinyanyikan dengan cara tersendiri itu menarik perhatian banyak pihak.
Katanya, lagu yang disampaikan Najwa mempunyai tarikan tersendiri biarpun muziknya kedengaran masih ‘muda’ bagi penyanyi belasan tahun sepertinya.
“Buat masa ini lebih elok jika Najwa memberi tumpuan kepada apa yang hendak dilakukannya terlebih dahulu dalam dunia seni. Duta jenama Canon ini tidak menolak kemungkinan akan berkerjasama dengan Najwa pada masa hadapan.
Mereka juga akan berentap pada kemuncak Anugerah Juara Lagu 26 (AJL26) yang akan berlangsung pada 29 Januari nanti. Ini juga kali pertama kemaraan Najwa di AJL menerusi Cinta Muka Buku manakala Yuna kali ketiga selepas Dan Sebenarnya, tahun lalu dengan Cinta Sempurna dan tahun ini mempertaruhkan dua lagu, Gadis Semasa dan Penakut.
Najwa pula sedar sebagai artis baru, dia tidak layak dibandingkan dengan artis senior yang lain. Padanya, kemunculan untuk memeriahkan industri tanah air kerana didorong minat yang mendalam pada dunia muzik.
“Yuna seorang penyanyi yang hebat. Dia berani membawa nama negara ke peringkat antarabangsa. Saya pula masih baru. Saya perlu mengasah bakat dalam nyanyian dan masih banyak yang perlu saya belajar.
“Mungkin kami mempunyai persamaan dari segi penampilan bertudung dan menggunakan alat muzik yang sama iaitu gitar. Begitupun, muzik kami memang berbeza,” kata Najwa, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Temenggong Ibrahim, Batu Pahat, Johor.
Mengulas kolaborasi bersama artis lain termasuk Yuna sendiri, Najwa memaklumkan buat masa ini dia belum memikirkan kerjasama dengan Yuna sebaliknya untuk single terbaru dia bakal berkolaborasi bersama artis luar negara. Buat masa ini, dia tidak dapat memaklumkan mengenai lagu berkenaan kerana masih dalam perbincangan.
Mengenai persaingan AJL26 pula, Najwa memberitahu dia berasa seronok dan teruja dapat bersaing di pentas akhir. Baginya ia satu pengalaman baru dan saat yang ditunggu-tunggu.
“Ini satu pengalaman baru buat artis baru seperti saya. Seronok apabila berpeluang beraksi di pentas yang sama dengan artis berpengalaman yang lain seperti Faizal Tahir dan Anuar Zain, termasuk Yuna sendiri.
“Saya tidak meletakkan harapan tinggi. Sebaliknya berharap dapat menjayakan persembahan pada malam itu dengan sebaik mungkin,” katanya.
PROFIL
NAMA PENUH: Imratul Najwa Abdul Latif
NAMA KOMERSIAL: Najwa Latif
TARIKH LAHIR: 23 Mei 1995
TEMPAT LAHIR: Batu Pahat, Johor
STATUS: Pelajar SMK (P) Temenggong Ibrahim, Batu Pahat, Johor
HOBI: Menghasilkan lagu dan bermain peralatan muzik gitar, dram dan piano
LAMAN SOSIAL: http://www.najwalatifs.blogspot.com/
Facebook Fanpages: najwalatif
YOUTUBE: www.youtube.com/najwa595
NAMA PENUH: Imratul Najwa Abdul Latif
NAMA KOMERSIAL: Najwa Latif
TARIKH LAHIR: 23 Mei 1995
TEMPAT LAHIR: Batu Pahat, Johor
STATUS: Pelajar SMK (P) Temenggong Ibrahim, Batu Pahat, Johor
HOBI: Menghasilkan lagu dan bermain peralatan muzik gitar, dram dan piano
LAMAN SOSIAL: http://www.najwalatifs.blogspot.com/
Facebook Fanpages: najwalatif
YOUTUBE: www.youtube.com/najwa595
PROFIL
NAMA SEBENAR: Yunalis Zarai
NAMA KOMERSIL: Yuna
TARIKH LAHIR: 14 November 1986
TEMPAT LAHIR: Alor Setar, Kedah
HOBI: Menonton filem
IDOLA: Fiona Apple (penyanyi luar negara yang pernah dikenali sekitar 1990).
NAMA SEBENAR: Yunalis Zarai
NAMA KOMERSIL: Yuna
TARIKH LAHIR: 14 November 1986
TEMPAT LAHIR: Alor Setar, Kedah
HOBI: Menonton filem
IDOLA: Fiona Apple (penyanyi luar negara yang pernah dikenali sekitar 1990).
Facebook (Yuna) dan twitter (@yunamusic)
sumber: hmetro.com.my
0 comments:
Post a Comment