Bila PERKASA Bertembung Pakatan Rakyat Pada 29 April Ini


PERKASA Vs Pakatan Rakyat, 29 April Ini
Pada 11 April lalu, seorang doktor bertugas di Balairong Seri Istana Negara bagi majlis pertabalan Yang DiPertuan Agong ke-14, Dr. Abdul Rahman Kadir mendakwa beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah mempersenda dan mempermain-mainkan sebilangan Raja-Raja Melayu yang hadir di majlis itu.
Antara Ahli Parlimen yang dituduh mempersendakan Raja-Raja Melayu pada majlis pertabalan tersebut ialah Tian Chua, Azmin Ali dan beberapa orang lagi Ahli Parlimen pembangkang.
Ekoran itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi menggesa agar sebuah Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan berkenaan yang dianggap mampu mencemar nama baik serta maruah institusi Raja-Raja Melayu di negara ini.
Mungkin tidak berpuas hati dan menganggap penubuhan Suruhanjaya DiRaja itu tidak perlu, timbul pula cadangan dari Pakatan Rakyat untuk mengadakan perhimpunan di depan Istana Negara di Jalan Duta pada 29 April ini bagi membantah penubuhan Suruhanjaya DiRaja tersebut.
Dijangka peserta himpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka yang berlangsung pada tarikh sehari sebelumnya akan turut sama beralih lokasi menyertai himpunan bantahan di depan Istana Negara tersebut.
Semalam, Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) turut membuat permohonan permit dari pihak berkuasa untuk menganjurkan perhimpunan besar-besaran bagi menunjukkan sokongan dan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu.
Himpunan Aman anjura PERKASA itu juga dijadualkan berlangsung pada 29 April, tarikh dan hari yang sama dengan himpunan bantahan Suruhanjaya DiRaja anjuran Pakatan Rakyat itu.
Cuma bezanya, himpunan anjuran PERKASA itu akan mengambil tempat di Padang Merbok atau mengambil alih lokasi himpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka, bergantung kepada kelulusan permit yang dipohon semalam.
Dilaporkan juga bahawa PERKASA menjangkakan penyertaan seramai mungkin dari seluruh negara tanpa mengira kaum dan agama pada himpunan yang bertemakan ‘Ke Titisan Darah Yang Terakhir, Demi Raja Dan Negara’ itu.
Justeru itu, pada 29 April ini rakyat di Kuala Lumpur akan menyaksikan pertembungan himpunan anjuran dua pihak yang bertentangan tujuan dan nilai perjuangan.
Pihak Pakatan Rakyat berhimpun membantah penubuhan Suruhanjaya DiRaja menyiasat pemimpinnya menghina Raja-Raja Melayu, manakala PERKASA pula berhimpun bagi menjunjung daulat dan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu yang dipersendakan pemimpin pembangkang.
Persoalannya, pihak manakah yang akan lebih mendapat sokongan dan lebih ramai penyertaannya?
Perjuangan pihak manakah yang lebih wajar disokong atau disertai rakyat?
Sekiranya berlaku pertembungan antara kedua pihak, sedahsyat manakah ‘percikan api’ yang akan tercetus?
Dan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini pada tanggal 29 April ini, siapakah yang akan menjadi mangsa pertembungan di antara kedua-dua ‘gajah’ tersebut? – Mynewshub.my

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story