WINTER SPRINGS, Amerika Syarikat (AS) – Seorang lelaki, James King menyatakan, tuhan membantunya menemui budak berumur 11 tahun, Nadia Bloom yang hilang di satu kawasan paya sejak empat hari lalu dekat Tasik Jessup di sini, lapor sebuah akhbar kelmarin.
“Tuhan yang menunjukkan saya arah kepadanya (Nadia),” kata King, 44, beberapa jam selepas dia menemui budak perempuan itu dalam keadaan selamat tetapi amat letih kerana kekurangan air dekat tasik tersebut yang terkenal sebagai sarang buaya.
Nadia, 11, yang menghidap autisme ringan ditemui sedang duduk di atas sebatang kayu balak di tengah paya berkenaan kelmarin setelah dia didapati hilang dari rumahnya pada Jumaat lalu manakala badannya berbintik akibat gigitan serangga.
“Nadia memberitahu dia keluar bersiar-siar dan sesat. Namun dia pasti akan terdapat orang yang akan menyelamatkannya,” kata King, 44.
Setelah memberikan sedikit makanan kepada mangsa, lelaki itu yang turut menyertai pasukan mencari Nadia menghubungi polis dengan menggunakan telefon bimbitnya yang dilengkapi sistem pengesanan lokasi (GPRS).
Nadia kini beransur sembuh di sebuah hospital manakala King disoal siasat polis berhubung penemuan Nadia tetapi dia dibebaskan kemudian.
Menurut King, polis mahu mengetahui bagaimana dia boleh mengetahui lokasi Nadia bagi mengelak sebarang keraguan yang mencurigakan terhadap dirinya berhubung kehilangan budak itu. – Agensi
0 comments:
Post a Comment