Petang semalam beberapa wartawan dan jurugambar melawat Bob Kuman, 41 tahun, di rumahnya di Seksyen 11, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Turut berada di lokasi sama, Naib Ketua Biro Muda SENIMAN, Elyas Iskandar, 37 tahun.
Saya kemudian menerima pesanan ringkas, SMS, dihantar Naib Presiden SENIMAN.
Berikut antara kandungan utama SMS terbabit.
'Sazali anak Allahyarham P. Ramlee terjatuh basikal sewaktu balik dari kerja dan menurut doktor tisu lututnya koyak dan tulang lutut tercedera. SENIMAN melalui Biro Muda SENIMAN membuat surat sokongan kepada pihak kementeriaan ... dana RM10,000 disampaikan kepada Sazali di The Curve, Mutiara Damansara, jam 11.30 pagi tadi'
Syukur.
Saya berharap, semua insan bergelar artis mampu dibantu jika mereka berada dalam kesusahan namun mereka harus mendaftar menjadi ahli SENIMAN terlebih dahulu. Suara persatuan tentunya lebih didengari berbanding laungan artis secara individu sewaktu ditimpa bahana.
Terfikir, jika artis itu Aaron Aziz, bagaimana? Oh! Barangkali Aaron bukan antara 5,000 ahli SENIMAN justeru tidak timbul sebarang isu.
"Ramai orang beranggapan syarikat Nur Lizz, NL tidak membantu saya sewaktu susah. Sebenarnya NL menjelaskan bayaran rawatan hospital saya dan membelikan saya mesin oksigen tetapi mesin itu rosak," ujar Bob.
Kisah dikongsikan oleh Bob petang semalam bakal dipaparkan oleh program Melodi pada hari Ahad minggu ini. Pelbagai soalan dikemukakan wartawan bertugas dan dijawab oleh Bob dengan tenang.
Hari ini, wajah Bob kelihatan sedikit ceria dan sesekali sempat bergurau bersama wakil media menemuinya. Namun saya percaya, banyak lagi hal terbuku di sanubarinya, hanya sebahagian diluahkan kepada media.
"Sudah dihubungi Maybank?," soal saya kepada isteri Bob, dinikahinya pada 8 April lalu.
Wanita berasal dari Mukah, Sarawak, berusia 28 tahun itu kelihatan tenang menyediakan makan malam untuk suaminya.
"Saya telah menghubungi Maybank pagi tadi tetapi setakat ini akaun masih disekat," ujarnya.
Saya difahamkan, Bob juga bercakap dengan kakitangan institusi kewangan terbabit.
"Abang (Bob) tidak boleh berjalan, dia tidak mampu untuk pergi ke bank," tambah isterinya.
Jika kakitangan pengurusan atasan Maybank terbaca entri ini, saya memohon mereka membantu orang ramai menghulurkan sumbangan kepada Bob.
TOLONG AKTIFKAN SEMULA AKAUN BANKNYA.
"Bob, mungkin ada sebilangan peminat atau orang ramai hanya menghulurkan jumlah wang tidak seberapa melalui akaun awak tetapi itu bukti jelas, mereka sayang kepada awak," ujar saya.
"Tidak ada masalah bang. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua sudi membantu," celah Bob.
Saya difahamkan lebih banyak pihak berhasrat menghulurkan pelbagai jenis bantuan kepada Bob. Hanya Allah mampu membalas jasa mereka.
Di entri ini, saya juga ingin merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada semua kerana sudi menyebarkan maklumat berhubung musibah menimpa Bob.
"Ini masa saya (susah), InsyaAllah kalau saya sihat, kita bersama akan membantu insan lain berada dalam kesusahan," kata Bob.
Selepas menziarahi Bob, kami semua membasahkan tekak di Restoran Bestari Maju.
Kru 666, Adam merakamkan gambar di bawah.
"Huh! Masuk blog abang Mazidul aku kali ini. Kali pertama dahulu sewaktu kami menunggu di lokasi kes bunuh," Gaddafi Musli berseloroh.
Gadaffi (kanan memakai beg silang), wartawan New Media, Harian Metro.
"Saya pun selalu menonton awak di laman Harian Metro online, ada kotak macam televisyen di sebelah kanan," usik saya.
Apapun, saya akui, blog picisan ini tidak begitu dikenali berbanding akhbar Harian Metro tetapi cukup memberikan ruang untuk saya berkongsi kisah hitam putih kehidupan bersama pembaca setia.
0 comments:
Post a Comment