KUALA LUMPUR, 10 MEI 2012: Pengalaman pertama menjadi ibu sejak lima bulan lalu kepada Uwais Alqarni membuatkan penyanyi, Siti Sarah Raisuddin seronok dan teruja untuk melihat perkembangan putera sulungnya itu membesar.
Kata Siti Sarah, kehidupannya kini lebih bermakna kerana dapat menguruskan serta melihat anaknya membesar di hadapan matanya sendiri bersama suami tersayang, Shuib Sepah.
“Saya akan pastikan anak saya sentiasa bersama saya hampir setiap masa di rumah.
“Saya juga yang akan menguruskan dari semua perkara dan seboleh-boleh tidak akan membiarkannya bersama pembantu rumah.
“Lagipun seronok melihat Uwais membesar kerana dia semakin bijak dan aktif,” katanya selepas tayangan perdana Man Sewel Datang KL, di Curve, malam semalam.
Walaubagaimanapun, Siti Sarah memberitahu ada kalanya dia terpaksa meninggalkan anaknya bersama pembantu rumah jika dia dan dan Shuib mempunyai hal atau kerja yang menuntut mereka keluar.
Semakin seronok menjalani kehidupannya sebagai isteri dan ibu kepada Uwais, Siti Sarah berkata dia dan Shuib tidak mahu merancang, sebaliknya mahu menimang cahaya mata lagi jika dimurahkan rezeki.
“Walaupun saya melahirkan Uwais dengan cara tidak normal iaitu pembedahan, namun saya tidak serik untuk menimang cahaya mata lagi.
“Lagipun Shuib pernah menyatakan hasratnya kepada saya yang dia mengidamkan empat cahaya mata dalam keluarga kami dan saya hanya berserah kepada rezeki daripadaNya,” luahnya lagi.
Agak lama berehat daripada bidang nyanyian sejak berumahtangga dan melahirkan putera sulungnya, Sarah memberi tahu dia bakal kembali ke studio untuk merakamkan single terbaru.
“Material untuk single terbaru saya sudah ada dan saya sekali lagi memilih karya Aidit Alfian.
“InsyaAllah tidak lama lagi saya akan merakamkannya untuk single terbaru yang dijangka keluar tahun ini,” tambahnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Siti Sarah bakal muncul dalam sebuah filem Man Sewel Datang KL bersama-sama suaminya Shuib yang akan berada di pawagam pada 31 Mei ini.
0 comments:
Post a Comment