Ijazah pertama Selepas 19 Tahun Belajar Di Universiti





Seorang lelaki dari Yugoslavia, Gac Filipaj, 52 yang langsung tidak boleh berbahasa Inggeris ketika tiba di New York, akhirnya berjaya mendapat ijazah kepujian pengajian klasik daripada Universiti Colombia, selepas 19 tahun mengikuti pengajian di situ.

Universiti Colombia merupakan universiti keempat terbaik di Amerika Syarikat selepas Harvard, Princeton dan Yale.

Filipaj, yang bekerja sebagai penjaga stor di universiti berkenaan, telah berpindah ke Amerika Syarikat pada 1992 selepas tanah airnya berdepan perang saudara.

Pada mulanya, dia hanya mengikuti kelas bahasa Inggeris untuk memantapkan bahasanya.

Selepas tujuh tahun belajar, Filipaj akhirnya berjaya menguasai bahasa berkenaan dengan cemerlang.

Dia kemudiannya, mengambil kesempatan daripada polisi yang ditawarkan Universiti kepada kakitangannya untuk mengikuti pengajian di situ dengan yuran percuma.
Sejak itu, Filipaj belajar pada waktu siang manakala kerja hakikinya dilakukan pada waktu malam.

Setiap semester, dia hanya mendaftar di satu atau dua kelas sahaja.

Menurut Filipaj, kesukaran yang dialaminya ketika belajar, bukannya menyesuaikan diri dengan pelajar lain yang jauh lebih muda daripadanya, sebaliknya terpaksa mempelajari bahasa Greek purba, iaitu subjek yang paling sukar.

Bagaimanapun, Filipaj tidak sempat berkongsi kejayaan itu dengan bapanya yang telah meninggal dunia tiga minggu lalu.

“Bapa saya selalu menyatakan bahawa saya bukan cerdik, jadi dengan adanya ijazah ini, ia akan menukar pendiriannya itu,’’ katanya.

Filipaj kini bercadang untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat PhD.

“Saya kini telah memenuhi sebahagian mimpi-mimpi saya iaitu pengajian di universiti,’’ katanya.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story