Kutipan Mael Lambung RM4.5 juta

Sehingga Ahad lalu (1 Julai 2012), filem arahan Ahmad Idham, Mael Lambong berjaya mengutip sebanyak RM4.5 juta. Filem itu mula berada di pawagam pada 21 Jun lalu.

Mael Lambung menampilkan Zizan Raja Lawak sebagai teraju utamanya di samping Juliana Evans (sebagai Maria), Taiyudin Bakar (Tai) dan pelakon baru, Shenthy Feliziana (Rozie).

Mael Lambung Poster

Idham bersyukur kerana filem terbitan syarikatnya, Excellent Pictures Sdn Bhd terus mendapat sambutan walaupun ia bukan ditayangkan ketika musim cuti sekolah.

Pada waktu sama, Mael Lambung bersaing dengan tiga filem lagi iaitu Hanya Aku Cinta Kau Seorang, Aku, Kau dan Dia dan Baik Giler yang juga menampilkan Zizan sebagai hero. Bagaimanapun, khabarnya Baik Giler agak kurang mendapat sambutan.

Menurut Idham, dia sendiri sukar untuk menentukan cerita apa yang penonton suka.

"Saya akui dalam industri ini, ada pasang surut. Hari ini apa yang penting produser kena ada strategi pemasaran yang betul dan kejayaan sesuatu filem itu bukanlah terletak sepenuhnya pada pengarah ataupun pelakon filem itu. Adakala dalam sesebuah filem itu, semua pelakonnya bagus belaka, tetapi kalau jalan ceritanya tak bagus, orang tak datang tengok juga.

"Tiada satu formula khas dalam menentukan kejayaan sesuatu filem. Kalau memang benar kejayaan filem itu kerana pengarah dan pelakonnya, ia adalah penyebab saja. Untuk setiap filem saya, saya menyediakan strategi pemasaran yang agresif sehingga membuatkan orang tak sabar menontonnya.

"Penggiat seni tidak boleh berputus asa dan saya sendiri sentiasa mencari idea baru serta mencuba segala yang ada untuk memancing peminat filem Melayu. Sebagai orang industri kita tidak boleh patah semangat. Walaupun ada orang yang cuba menjatuhkan saya, saya akan terus bergerak. Orang di luar sana tak faham perjalanan industri yang sebenarnya.

"Kalau orang lama seperti saya cepat putus asa, habis industri kita. Sebelum ini, Finas (Perbadanan Kemajuan Perfileman Nasional Malaysia) pernah mengumumkan untuk memberi dana kepada orang muda sebagai penggerak industri tetapi saya tengok masih orang lama juga yang terus rancak berkarya.

"Bagaimanapun, saya tengok kebanyakan produser baru ini tiada hala tuju dan mereka tak faham apa itu industri filem yang sebenarnya. Justeru, ramai produser yang baru muncul dan ramai juga yang kecundang di tengah jalan," katanya.

Kembali bercakap mengenai Mael Lambung, Idham tak pasti sampai bila filem itu akan bertahan di pawagam, namun dia berharap hujung minggu yang akan datang ini dapat meningkatkan lagi kutipan filem itu.

"Euro 2012 pun sudah berakhir dan semoga perhatian peminat bola sepak beralih ke panggung pula. Saya selalu mengharapkan setiap filem terbitan saya dapat mengulangi kutipan filem Hantu Bonceng iaitu RM8.5 juta. Filem itu dilakonkan oleh Zizan dan Juliana Evans.

"Saya bernasib baik kerana sentuhan komedi saya boleh diterima peminat sehingga sekarang. Berdasarkan trek rekod filem komedi saya sebelum ini seperti Senario, Jangan Pandang Belakang Congkak, Adnan Sempit, Hantu Bonceng dan sekarang Mael Lambong, penonton dapat terima konsep komedi yang saya bawa. Saya juga tidak bergantung kepada seorang pelakon saja.

"Walaupun ia filem komedi, tetapi ia bukanlah dibuat secara semberono kerana peminat tak mahu lagi menonton filem lawak bodoh. Kerjasama dengan Zizan berjalan baik dan dalam kerjasama itu, kami saling 'menang' di mana filem saya menjadi 'box office' dan Zizan pula menikmati laluan sebagai pelakon yang popular serta menjadi rebutan pengarah," katanya. 

Sinopsis Mael Lambung

Mael Lambung mengisahkan Mael Lambong seorang penarik kereta yang cukup dikenali di Kuala Lumpur. Hidupnya mula berubah dan menjadi kelam-kabut apabila bertemu Maria yang meminta pertolongan daripadanya untuk menyelamatkan diri daripada penjahat.

Pelarian mereka untuk menyelamatkan diri membawa Mael dan Maria ke Terengganu yang juga kampung halaman Mael. Rupa-rupanya Mael sudah lama meninggalkan negeri kelahirannya itu kerana membawa diri.

Di kampung, Mael bertemu semula dengan bekas kekasih, Rozie, yang kini bergelar tunangan kepada Tiger (Taiyudin Bakar). Konflik mula timbul apabila Tiger tidak menyenangi kepulangan Mael kerana cemburu dengan hubungan yang pernah terjalin di antara Mael dan Rozie sebelum ini.

Penjahat memburu Maria kerana mereka mahukan mikrocip yang mengandungi maklumat tender projek kerajaan itu akhirnya dapat menjejaki mereka di Terengganu.sumber

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story