Jerebu: Jokowi malu kepada Malaysia, Singapura

jokowi
Jokowi malu kepada Malaysia dan Singapura yang turut terjejas jerebu akibat kebakaran hutan di Indonesia. Foto oleh Bernama
JAKARTA - Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) berkata, beliau malu kepada Malaysia dan Singapura yang turut terjejas jerebu akibat kebakaran hutan di Indonesia.
"Saya kadang-kadang malu. Minggu ini saya mau ke Malaysia dan Singapura. Tapi, saya tahu minggu kemarin (minggu lepas) sudah jadi 'headline' (tajuk berita), jerebu masuk lagi ke negara tetangga kita. Saya 'check' (semak) jerebu ini apa, ternyata asap," kata Jokowi dipetik media tempatan.
Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Penyelarasan berkaitan Pengendalian Kebakaran Hutan di Istana Negara, semalam.
Jokowi menerusi akaun Instagramnya hari ini pula berkata beliau telah mengarahkan semua pihak berkaitan agar lebih serius menangani kebakaran hutan di negara ini.
Jokowi berkata, beliau tidak mahu kejadian kebakaran pada 2015 yang memusnahkan kawasan seluas 2.6 juta hektar di Kalimantan dan Sumatera kembali berulang.
Berdasarkan data yang disiarkan Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan (KLHK) Indonesia, lebih 42,000 hektar kawasan hutan dan ladang direkodkan terbakar sejak Januari lepas di republik ini.
Ketika ini, beratus-ratus hektar dilaporkan masih terbakar melibatkan enam wilayah dan beberapa daerah (kabupaten) di seluruh Indonesia.
Jokowi dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dan Singapura pada Khamis dan Jumaat ini. - Bernama


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Kuasa Twitter pertemukan 4 beradik

Ciapan jejak kasih yang menjadi viral di media sosial semalam.
Ciapan jejak kasih yang menjadi viral di media sosial semalam.
KUALA LUMPUR - Kuasa Allah dan kuasa media sosial, seorang adik berjaya menemui dua kakaknya dan seorang adik lelaki melalui ciapan Twitter selama 11 jam.
Ciapan jejak kasih ini menjadi viral di media sosial semalam.By
Pada mulanya pemilik akaun @Fdzhx yang berada di Singapura mencari dua kakaknya dan adik lelaki yang berpisah sejak berusia lapan tahun di Pahang.
"Saya berusaha mencari adik beradik di Pahang, Malaysia, kali terakhir berjumpa ketika usia 8 tahun, kakak sulung 24 tahun dan kedua 23 tahun," tulis ciapan @Fdzhx.
Dalam ciapan itu yang dikongsi ramai, @Fdzhx menyatakan pelbagai usaha telah dilakukuan termasuk mencari rekod di Jabatan Pendaftaran Negara dan rekod perubatan selama ini namun gagal.
Selepas ciapan itu dikongsi ramai pengguna media sosial, akhirnya @elyananana yang mendakwa mereka adik beradik yang dicari selama ini.
"Can i just call you adik? Im shaking. Am i your sister? tulis ciapan @elyananana.
Seorang lagi adik mereka iaitu @ameranajeha turut membuat ciapan telah berjumpa adik mereka dari Singapura yang telah lama dicari. - K! ONLINE

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Mahathir dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat oleh Universiti Jepun


mahathir
Mahathir (kanan) dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat oleh IUJ bagi menghargai sumbangan beliau terhadap hubungan Malaysia dan Jepun.
FUKUOKA, Jepun - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Rabu dianugerahkan Ijazah Doktor Kehormat oleh Universiti Antarabangsa Jepun (IUJ)  bagi menghargai sumbangan beliau terhadap hubungan Malaysia dan Jepun.
Mahathir menerima 'Ijazah Kehormat Doktor Falsafah, honoris causa' daripada Presiden IUJ, Hiroyuki Itami dalam majlis yang diadakan di sebuah hotel di Bandaraya Fukuoka, bersempena lawatan kerja tiga hari beliau ke wilayah itu.
Pada majlis penganugerahan ijazah doktor kehormat itu, Itami menegaskan bahawa Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan Mahathir, mempunyai impak besar kepada pendidikan tinggi di negara anggota ASEAN.
"Sememangnya diakui dan diiktiraf  bahawa ramai anak muda Malaysia yang belajar di luar negara di Jepun telah menyumbang kepada pembangunan di Malaysia pada hari ini di bawah dasar ini (Dasar Pandang ke Timur)," menurut kenyataan IUJ yang dikeluarkan bersempena penganugerahan itu.
Dalam ucapan sanjungannya, Itami berkata, Dasar Pandang ke Timur telah menjadi asas kepada hubungan akrab antara Malaysia dan Jepun.
Di bawah Dasar Pandang ke Timur, kerajaan Malaysia telah menghantar beratus-ratus pelajar dan pelatih korporat ke Jepun.
"Apabila kembali ke Malaysia selepas menamatkan pengajian dari universiti atau tamat program di syarikat di Jepun, pelajar Malaysia telah memainkan peranan yang aktif dan utama dalam membangunkan Malaysia serta sebagai jambatan antara Jepun dan Malaysia," katanya.
Menurut beliau, IUJ telah mendidik lebih 20 pelajar Malaysia yang dihantar oleh kerajaan Malaysia sejak 1990-an.
Itami berkata, IUJ turut melancarkan Program Pembangunan Jepun-Global (JGDP) tahun lepas bagi menawarkan peluang pembelajaran kepada bakal pemimpin terkemuka dari Jepun, Asia termasuk Malaysia, Afrika dan Amerika Latin mengenai pengalaman orang Jepun dalam bidang ekonomi serta pembangunan masyarakat sejak era pemulihan Meiji dan kewajaran di sebalik perkembangan ini.
"IUJ mengalu-alukan penyertaan pelajar dari Malaysia dalam JGDP," katanya.
Itami juga menyatakan harapan bahawa hubungan dua hala yang lebih erat antara Jepun dan Malaysia akan berkembang di bawah Dasar Pandang ke Timur dalam era baharu ini.
"Kami percaya Universiti Antarabangsa Jepun akan memainkan peranan penting dalam Dasar Pandang ke Timur Mahathir dan dalam mengukuhkan hubungan antara Jepun dan Malaysia," katanya. - Bernama

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Dana SRC: "Tak perlu bimbang, mulai hari ini, jangan terlibat," - Najib

Ahmad Husni
Ahmad Husni hadir pada hari ke-49 perbicaraan kes Najib yang didakwa membabitkan dana SRC.
KUALA LUMPUR - "Kamu tidak perlu bimbang, Husni, mulai hari ini, jangan terlibat, saya tidak mahu kamu campur tangan,".
Itu kata-kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada bekas Menteri Kewangan II ketika dinasihati mengenai risiko perancangan pelaburan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dalam bidang minyak dan gas dalam syarikat PetroSaudi International Ltd.

Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, 67, berkata, beliau menyuarakan kerisauan itu pada hujung 2009 sejurus mengetahui 1MDB, yang merupakan syarikat di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) ingin melabur di dalam syarikat perkhidmatan dan pengeluaran minyak itu.

"Saya telah bertemu Najib dan menyuarakan kerisauan saya mengenai risiko pelaburan itu. Saya beritahu beliau, kita (kerajaan) tidak boleh melabur dalam PetroSaudi kerana ia masih baru dalam proses cari gali minyak. Sekiranya minyak tidak dijumpai, seluruh wang pelaburan itu akan habis.

"Selain itu, kakitangan 1MDB juga tiada pengalaman dalam bidang minyak dan gas. Saya beritahu Najib, kenapa tak suruh Petronas (Petroliam Nasional Berhad) sahaja melabur di dalam syarikat itu kerana Petronas lagi tahu mengenai bidang itu. Tapi beliau cakap: ‘Kamu tidak perlu bimbang, Husni, mulai hari ini, jangan terlibat’," katanya.

Saksi pendakwaan ke-56 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan pada hari ke-49 perbicaraan kes Najib yang didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Saksi itu berkata, beliau juga bertemu Najib sebelum itu selepas mengetahui Ahli Parlimen Pekan itu ingin menubuhkan 1MDB.

"Saya beritahu Najib, kita tidak boleh menubuhkan syarikat tanpa melakukan kajian kemungkinan, kita perlu mempunyai unjuran kewangan antara 10 hingga 20 tahun untuk memastikan syarikat itu berdaya maju.

"Najib bagaimanapun berkata, "saya tahu apa yang saya lakukan, saya akan teruskan," kata Ahmad Husni sambil menambah saat itu beliau menyedari penglibatannya tidak diperlukan.

Menyifatkan dirinya sebagai 'budak pejabat', Ahmad Husni berkata, penglibatannya hanyalah untuk menandatangani dokumen dan tidak dirujuk untuk membuat keputusan besar.

Saksi itu berkata, pada 2010, beliau menghantar surat peribadi kepada Najib dalam usaha menasihati bekas perdana menteri itu, bagi menyatakan kebimbangannya terhadap pembukaan syarikat 1MDB yang boleh mendatangkan kontroversi dan kesannya kepada kerajaan dan Najib sendiri.
Dalam surat tersebut, beliau menyatakan beberapa elemen kerisauan antaranya, akauntabiliti, prosedur, pengurusan, risiko operasi selain kakitangan 1MDB yang tiada pengalaman dalam risiko minyak dan gas.

“Pada 2010, oleh kerana saya sayang kepada pemimpin, dalam bulan Ogos saya hantar surat pada Najib surat peribadi dengan pembukaan saya kata ‘saya risau,” katanya .

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Khamis. - K! ONLINE

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Najib sepatutnya tahu wang dideposit ke akaunnya

Najib. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI
Najib. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI
KUALA LUMPUR - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa adalah mustahil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan wang yang depositkan ke dalam akaunnya tanpa pengetahuannya.
Bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 48, yang mengendalikan akaun Najib berkata, sebagai pemegang akaun, bekas perdana menteri itu sepatutnya tahu apa yang berlaku terhadap akaunnya terutamanya apabila mengeluarkan beberapa cek.
Saksi pendakwaan ke-54 itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram pada hari ke-49 perbicaraan Najib melibatkan salah guna dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42  juta.
Sithambaran : Sebagai pegawai bank, melihat kepada fakta kes ini, adakah mungkin pemegang akaun menggunakan dana tanpa pengetahuan? Kamu perlu tahu yang kamu memerlukan dana (mencukupi) untuk mengeluarkan cek.
Joanna : Tidak. 
Sithambaran : Adakah terdapat sebarang aduan mengenai mana-mana cek yang dikeluarkan bukan daripadanya (Najib).
Joanna : Tiada.
Sithambaran : Adakah Jho Low (ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho) menggunakan cek daripada Najib?
Joanna : Saya tidak tahu kerana saya tidak mengetahui semua maklumat daripada cek tetapi daripada apa yang saya lihat setakat ini, tiada.
Sirthambaran : Ada cek yang dibayar kepada Jho Low?
Joanna : Tiada.
Sithambaran : Adakah bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil mengeluarkan wang daripada akaun ini?
Joanna : Tidak.
Sithambaran : Adalah kamu memindahkan sebarang wang untuk faedah kamu?
Joanna : Saya tidak berbuat demikian.
Sithambaran juga menyoal sama ada Najib pernah bertanya mengenai sumber wang dan saksi itu menjawab: "tidak."
Kepada soalan sama ada mungkin bagi seseorang mengetahui sekiranya terdapat RM395 juta (di dalam akaun), Joanna berkata: "Jika seseorang menulis sekeping cek, dia tentunya tahu terdapat dana yang mencukupi,"
Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.
Perbicaraan dihadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali bersambung. - Bernama

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Lelaki gila seks menyamar doktor sakit puan dijel 2 bulan


gila seks
Mohd. Fauzi (kiri) mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya. 
KUALA KUBU BHARU - Perbuatan keji seorang lelaki yang menyamar sebagai doktor sakit puan dan membuat gangguan seksual melalui panggilan seksual akhirnya berbalas apabila dia dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas empat pertuduhan melakukan perbuatan itu terhadap dua wanita Jun lalu.
Hakim Nurul Madhiah Mohammed Redza menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Fauzi Abd. Ghani, 39, selepas tertuduh yang bekerja sebagai pembantu operasi di Jabatan Vaterinar Kuala Terengganu itu mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya. 
Mahkamah turut memerintahkan kesemua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 13 Julai lalu.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa dengan sengaja melakukan perbuatan mengaibkan kehormatan dua wanita yang kedua-duanya berusia 21 tahun yang dengan cara menghubungi mangsa melalui telefon dan menyuruh mangsa membuat aksi lucah .
Kesalahan terhadap kedua-dua mangsa itu  didakwa dilakukan di Bandar Utama Ligamas Batang Kali, pukul 12.57 tengah hari pada 13 Jun lalu dan sebuah premis di Antara Gapi, Serendah,  pukul 9.27 malam pada 25 Jun lalu. 
Kesalahan itu dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa telah memperkenalkan diri sebagai doktor dan doktor sakit puan terhadap kedua-dua mangsa yang sama sehingga menyebabkan mereka mempercayai tertuduh adalah penjawat awam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tarikh,tempat dan masa yang sama mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua mahkamah menjatuhkan hukuman penjara masing-masing dua bulan manakala bagi pertuduhan ketiga dan keempat tertuduh dipenjara masing-masing penjara satu bulan. 
Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan kerana merupakan penanggung utama keluarga. 
"Saya pohon hukuman ringan, saya insaf dan saya juga menjaga ibu saya yang tidak berapa sihat," katanya. 
Bagaimanapun Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Sabrina Abd. Rashid memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang lain agar tidak melakukan kesalahan sama. 
Mengikut fakta kes, tertuduh telah menghubungi mangsa melalui telefon bimbit masing-masing pada tarikh 13 Jun dan 25 Jun lalu. 
Dalam perbualan dengan kedua-dua mangsa, tertuduh telah memperkenalkan diri sebagai doktor dan doktor sakit puan.
Dalam kejadian 13 Jun tertuduh mengatakan mangsa telah mengalami kanser payu dara dan telah menyuruh mangsa membuka baju kononnya untuk memeriksa ketulan pada payudara wanita itu. 
Sementara dalam kejadian 25 Jun pula mangsa diarah menanggalkan pakaian sambil menepuk buah dada dan menyuruh mangsa menggosok kemaluan kononnya bagi melancarkan hubungan intim antara mangsa dan bakal suami. 
Tertuduh mematikan perbualan telefon  selepas hanya terdengar suara ahli keluarga mangsa. - K! ONLINE
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Operasi SAR cari remaja Ireland masuk hari ketiga

nora anne
Operasi SAR mencari Nora diteruskan pagi ini dengan kekuatan seramai 159 orang anggota dari pelbagai agensi keselamatan. Foto oleh Bernama
NILAI - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang kini memasuki hari ketiga, diteruskan pagi ini dengan kekuatan seramai 159 orang anggota dari pelbagai agensi keselamatan.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkat,a operasi SAR hari ini, bagi mengesan mangsa yang dilaporkan hilang di The Dusun, Pantai, dekat sini, sejak Ahad lalu, bermula pukul 7.30 pagi tadi.
"Agensi keselamatan yang terlibat antaranya polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih, PGA Batalion 3 unit Senoi Praak, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Perhutanan negeri, Sapura, serta penduduk tempatan termasuk orang orang asli," katanya di sini hari ini.
Satu sidang akhbar akan diadakan pukul 4.30 petang ini, di Balai Polis Pantai berhubung perkembangan semasa operasi SAR.
Ahad lalu, media melaporkan remaja berkenaan disedari hilang daripada bilik penginapannya di sebuah resort di sini oleh keluarganya pada pukul 8 pagi.

Keluarga mangsa juga memaklumkan bahawa remaja perempuan itu mengalami masalah pembelajaran.
Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop menafikan kes itu sebagai kes penculikan seperti dilaporkan media asing.
Katanya, tiada sebarang unsur jenayah dikesan, justeru kes itu masih diklasifikasikan sebagai orang hilang. - Bernama


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Tujuh produk kosmetik dikesan ada racun

Kosmetik yang mempunyai racun berjadual.
Kosmetik yang mempunyai racun berjadual.
KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan hari ini membatalkan notifikasi terhadap tujuh produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata, produk berkenaan ialah 3rd Series Yanko Fade Out Cream Day Cream; 5th series Yanko Fade Out Cream Day Cream; dan 7th Series Yanko Whitening Cream Day dari syarikat Lurveya Sdn Bhd.
Selain itu, produk terlibat ialah Fjura Face Polish Treatment dari syarikat Thefjura Marketing, Dnars Golden Cream (Rohban Trade Sdn Bhd); Glow Glowing N Glowing (Qalbu Ocean Enterprise); dan Apple Diamond Day Loose (Glowing Expert Apple Diamond).
Noor Hisham berkata kesemua produk itu didapati mengandungi merkuri yang dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.
"Merkuri boleh menyerap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit," katanya.
Beliau berkata, penjual dan pengedar produk kosmetik tersebut perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta kerana produk tersebut melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Individu melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya, katanya.
"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," katanya.
Beliau menyarankan kepada orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik tersebut agar segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers. - K! ONLINE

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Ahli perniagaan maut ditembak

maut
Gambar hiasan
KUANTAN - Seorang ahli perniagaan maut akibat ditembak selepas pulang dari sebuah pusat hiburan di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, mangsa yang berusia 63 tahun dipercayai ditembak suspek tidak dikenali antara pukul 1.30 pagi hingga 2 pagi di Jalan Air Putih di sini.
Mangsa, yang tidak didedahkan indentitinya difahamkan sebelum itu berkunjung ke pusat hiburan bersama rakan yang berusia 47 tahun.
"Kejadian berlaku di hadapan rumah sewa rakan mangsa dengan tembakan dipercayai mula dilepaskan apabila rakan mangsa keluar dari kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dipandu mangsa.
"Suspek dipercayai melepaskan tembakan dari luar kereta yang mengenai beberapa bahagian badan mangsa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, hari ini.

Abd Jalil berkata, rakan mangsa melarikan diri sebaik sahaja mendengar tembakan itu manakala mangsa difahamkan terus memandu kereta itu berkemungkinan untuk mendapatkan rawatan.
Mangsa yang berasal dari Johor bagaimanapun tidak sempat berbuat demikian apabila keretanya ditemui orang awam di hadapan farmasi berhampiran.
"Orang awam membawa mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini namun dia disahkan telah meninggal dunia," katanya.
Abd Jalil berkata, polis telah menahan rakan mangsa bagi membantu siasatan dan turut menyiasat motif kejadian sama ada disebabkan gengsterisme, dendam atau perkara lain.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - Bernama

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Pengumuman penutupan siaran TV analog secara berperingkat petang ini


analog
Gambar hiasan
LANGKAWI - Satu lagi sejarah dalam industri penyiaran negara bakal dicatatkan, dengan pengumuman penutupan siaran analog televisyen secara berperingkat, yang bakal membolehkan pengguna beralih ke siaran TV digital myFreeview sepenuhnya.
Pengumuman bersejarah akan dilakukan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, dalam satu majlis di Kompleks Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) Daerah Langkawi petang ini.

Beliau yang berada di sini dalam lawatan kerjanya akan turut melakukan tinjauan kejayaan peralihan sistem siaran tv dari analog ke digital di pulau peranginan ini, yang sudah memasuki minggu kedua pelaksanaan.

Pada sebelah pagi, Gobind akan mengadakan lawatan ke pusat internet Kampung Padang Lalang, Mukim Ayer Hangat, sebelum meninjau bilik operasi ‘Analogue Switch Off’ (ASO) di Kompleks APM Daerah Langkawi.

Terma ‘Analogue Switch Off’ (ASO) merujuk kepada penutupan siaran TV, yang ditawarkan secara percuma kepada rakyat oleh RTM sejak 1963 dan oleh TV3 sejak 1984, menggunakan teknologi lama (analog).

Pengguna di Langkawi mula beralih ke siaran TV digital sejak 21 Julai lalu, selepas pemancaran TV analog dari Gunung Raya, di sini ditutup dan digantikan dengan pemancaran TV digital myFreeview yang boleh memberi liputan siaran TV digital, dengan kualiti siaran yang lebih baik.

Pemilihan Langkawi sebagai kawasan rintis bagi permulaan penutupan siaran TV analog dibuat memandangkan Langkawi telah mempunyai ekosistem TV digital yang mantap, di mana liputan siaran TV Digital adalah menyeluruh, di samping penyelesaian pengagihan dekoder percuma kepada isi rumah Bantuan Sara Hidup (BSH).

Malaysia merupakan negara ketiga di rantau ASEAN yang akan menjalankan penutupan siaran TV analog selepas Brunei serta Singapura, yang telah menutup siaran TV analog mereka sepenuhnya dan bersiaran TV Digital masing-masing pada 31 Disember 2017 dan 1 Januari 2019. - Bernama
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Belum ada petunjuk remaja Ireland hilang

Mohamad Mat (tengah) menunjukkan gambar remaja warga Ireland, Nora Anne Quoririn, 15, yang dilaporka
Mohamad Mat (tengah) menunjukkan gambar remaja warga Ireland, Nora Anne Quoririn, 15, yang dilaporkan hilang sejak semalam.
SEREMBAN - Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih belum menemui sebarang petunjuk berhubung kehilangan seorang remaja perempuan warga Ireland berusia 15 tahun dari sebuah resort desa di Pantai dekat sini sejak pagi semalam.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, polis tidak menemui sebarang petunjuk keberadaan remaja berkenaan selepas memperluas kawasan pencarian seluas 8.09 hektar sehingga pukul 7 malam tadi.
“Operasi mencari masih diteruskan malam ini, namun kami mengecilkan keanggotaan dengan melakukan rondaan di sekitar denai di kawasan resort berkenaan.
“Operasi akan diteruskan esok dengan menambah lebih ramai anggota termasuk menggunakan helikopter Pasukan Gerakan Unit Udara (PGUU) Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya pada sidang media di Balai Polis Pantai dekat sini malam ini.
Dalam pada itu, Mohamad menolak dakwaan media antarabangsa remaja perempuan itu menjadi mangsa culik kerana tiada sebarang indikator yang menunjukkan wujud unsur jenayah dalam kejadian tersebut.
Tegas beliau, polis masih mengklasifikasikan kes itu sebagai orang hilang dan berharap tiada pihak menyebarkan maklumat palsu berhubung kehilangan remaja tersebut.
Kata beliau, polis malah percaya remaja tersebut masih berada di lokasi pencarian dan meminta orang ramai termasuk media supaya tidak menyebarkan berita tidak benar. - K! ONLINE

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Lawatan kerja Mahathir disingkatkan susulan amaran ribut taufan

Mahathir
Mahathir
FUKUOKA (Jepun) - Lawatan kerja Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke Fukuoka, Jepun, disingkatkan kepada dua hari berbanding jadual awal tiga hari, sebagai langkah berwaspada susulan amaran ribut taufan, menurut pegawai dari Pejabat Perdana Menteri.
Katanya, Mahathir kini dijadualkan tiba di Fukuoka pada hari Rabu.
Bagaimanapun, program-program Mahathir yang dijadualkan di Fukuoka masih diteruskan, dengan beberapa perubahan kecil, tambahnya.
Semasa di Fukuoka, Mahathir dijadualkan menyampaikan syarahan di 'Sekolah Pemimpin Masa Depan Jepun' dan di Institut Kepimpinan Asia Kyushu, di samping menerima anugerah ijazah doktor kehormat dari Universiti Antarabangsa Jepun.
Antara perubahan kecil yang dibuat melibatkan jamuan makan malam dihoskan oleh Sekolah Pemimpin Masa Depan Jepun, yang dipinda daripada jadual asal Selasa, kepada hari Rabu. - Bernama

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Kehilangan remaja Ireland timbul tanda tanya

Nora Anne
Nora Anne
NILAI - Kehilangan remaja perempuan warga Ireland yang dikenali sebagai Nora Anne Quoirin, sejak semalam di resort The Dusun di sini bukan sahaja menimbulkan minat kalangan pengamal media baik tempatan mahupun antarabangsa, bahkan turut menimbulkan tanda tanya.
Pelbagai persoalan membelenggu penduduk setempat yang hairan dengan kemampuan remaja berusia 15 tahun itu, yang juga anak istimewa, untuk berada jauh daripada resort tersebut selain menyifatkan ia adalah pertama kali berlaku di kawasan resort berkenaan.
"Kes orang hilang di resort ini adalah kali pertama kerana sebelum ini kalau dengar pendaki Gunung Berembun hilang, ia kes biasa. Sepatutnya kalau dia anak istimewa, tak jauh dia boleh pergi," kata Tok Batin Kampung Kolam Air Pantai Ali Ngongor, 56, kepada Bernama di sini, hari ini.
Beliau yang turut menyertai operasi mencari remaja itu berkata, adalah mustahil mangsa mampu mendaki hutan yang tebal di situ dalam keadaan dirinya yang sebegitu, apatah lagi bertahan dalam tempoh yang agak lama.
"Tetapi tak mustahil juga ada unsur mistik. Resort ini memang tak ada pemantau, semuanya atas risiko sendiri," katanya.
The Dusun yang terletak 16 kilometer (km) dari bandar Seremban adalah resort alam semula jadi persendirian yang bermula dengan sebuah dusun durian sebelum ditanam dengan pelbagai jenis pokok dan dibangunkan sebagai resort dan dibuka kepada orang ramai pada 2009 bermula dengan dua chalet.
Mohd. Syawaluddin Mohd. Zin yang bekerja dengan agensi media antarabangsa berkata, berita kehilangan Nora Anne menarik minat masyarakat luar untuk mengetahui perkembangannya.
"Apatah lagi dia merupakan anak istimewa," katanya ringkas dan memaklumkan dia perlu berulang alik dari Kuala Lumpur ke sini untuk membuat liputan.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian berkata, setakat ini kekuatan anggota mencari dan menyelamat remaja itu telah meningkat kepada 168 berbanding 159 anggota, pagi tadi.
"Satu unit Senoi Praak turut telah digerakkan dalam SAR ini dan setakat ini belum ada sebarang petunjuk dan tiada sebarang unsur jenayah," katanya sambil menambah bahawa kawasan pencarian kini diperluaskan meliputi 12 km dari resort berkenaan. – Bernama

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

28 individu direman lima hari berhubung rusuhan bersenjata di kuil

SERANG POLIS
Sebahagian daripada 28 lelaki yang telah ditangkap sekitar Kuala Selangor dan polis turut merampas lima bilah senjata tajam bersama mereka.
SHAH ALAM - Seramai 28 individu kini direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan rusuhan bersenjata di Kuil Kaliamma, Bestari Jaya, Kuala Selangor malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, perintah reman terhadap kesemua suspek berusia 18 hingga 50-an itu dikeluarkan oleh Majistret Assayidatun Najwa Muhammad Nasution di Mahkamah Majistret Kuala Selangor. 
Katanya, mereka kini ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk siasatan lanjut. 
"Kesemua 28 individu itu dibenarkan reman selama lima hari mulai hari ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 
Terdahulu, dalam kejadian pukul 9.15 malam tadi seorang anggota polis lelaki berpangkat Koperal berusia 34 tahun dari Balai Polis Bestari Jaya cedera di belakang tapak tangan kiri dan menerima enam jahitan. 
Turut cedera adalah seorang pelajar lelaki sebuah kolej berusia 25 tahun yang putus tapak tangan kiri dan dirawat di Hospital Sungai Buloh. 
Fadzil menjelaskan rusuhan dikatakan berpunca daripada pemasangan khemah antara dua kumpulan tersebut secara berhadapan antara satu sama lain semasa perarakan Chariot (perarakan pedati) di kuil tersebut.
"Pada mulanya hanya berlaku pertengkaran sebelum menjadi pergaduhan menggunakan parang. 
"Susulan itu, seramai 28 suspek telah ditahan sejak malam tadi selain turut merampas lima bilah senjata tajam," katanya. - K! ONLINE

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Ucapan romantis Agong zahir penghargaan kepada Permaisuri mencuit hati

agong
Al-Sultan Abdullah (dua dari kanan) dan Tunku Hajah Azizah berkenan bergambar ketika melawat ruang pameran selepas merasmikan Pameran Raja Kita sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Muzium Diraja hari ini.
KUALA LUMPUR - Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mencuit hati jemputan yang hadir pada perasmian 'Pameran Raja Kita' apabila bertitah menzahirkan ucapan terima kasih secara peribadi kepada Raja Permaisuri Agong yang bertungkus-lumus menjayakan istiadat pertabalan Seri Paduka sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Titah Seri Paduka, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah memberikan tumpuan sepenuhnya dan begitu teliti ketika melaksanakan persiapan bagi memastikan semua berjalan lancar.
"Khasnya, secara peribadi beta ucapkan terima kasih kepada isteri beta, isteri yang tersayang kerana banyak memberi tumpuan dan fokus untuk persiapan ini dilaksanakan dengan penuh 'perfection', begitu teliti dan begitu halusi.
"Beta percaya banyaklah kita peroleh daripada Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri," titah Sultan Abdullah sebelum menyempurnakan Pameran Raja Kita, di Muzium Diraja, di sini.
Lebih manis, apabila Seri Paduka turut bertitah memaklumkan hari yang bertuah ini merupakan ulang tahun hari Tunku Azizah diputerikan.
"Beta juga ingin maklumkan di sini, 5 Ogos adalah hari lahir Raja Permaisuri. Sama-samalah kita berdoa supaya isteri beta ini dipanjangkan umur, pandai memasak, banyak lagi kita boleh belajar daripadanya, berada dalam keadaan sihat walafiat dan mudah-mudahan diberkati Allah SWT," titah Seri Paduka.
Pada kesempatan itu, Sultan Abdullah turut bertitah menzahirkan penghargaan kepada barisan menteri  Kabinet, warga Istana Negara serta semua pihak yang terlibat sepanjang tempoh istiadat pertabalan itu.
"Kesempatan ini, untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad), Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail), seterusnya barisan Kabinet, khasnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa yang bertanggungjawab mengurus segala persiapan, pejabat Perdana Menteri, pejabat Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dan juga Istana Negara," titah Sultan Abdullah.
Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara, disempurnakan pada Selasa lepas di Istana Negara secara gilang-gemilang dan penuh adat Kesultanan Melayu.
Sultan Abdullah kemudian menyempurnakan pameran itu, disusuli dengan pukulan gong sebanyak tiga kali oleh Tunku Azizah.
Sebanyak 198 koleksi peribadi Seri Paduka berdua termasuk barang hantaran dan dokumen pernikahan Seri Paduka Baginda berdua serta alat kebesaran diraja yang dipinjam dari Istana Negara, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Muzium Sultan Abu Bakar, Istana Abdulaziz dan Istana Abu Bakar dipamerkan pada pameran itu. - Bernama

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Juara bertahan Piala Malaysia tumpaskan Juara Liga Perdana 3-0

Pemain penyerang import Perak, Ronaldo (kiri) mengelecek bola sambil dikejar oleh Kapten Sabah, Rawi
Pemain penyerang import Perak, Ronaldo (kiri) mengelecek bola sambil dikejar oleh Kapten Sabah, Rawilson Batuil dalam perlawanan pertama Kumpulan C, Piala Malaysia 2019 di Stadium Perak, Ipoh sebentar tadi.
IPOH - Juara bertahan Piala Malaysia, Perak menunjukkan taringnya di halaman sendiri untuk menumpaskan Juara Liga Perdana 2019, Sabah 3-0 dalam perlawanan pertama Kumpulan C, Piala Malaysia 2019 di Stadium Perak di sini sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan bermula garang pada awal-awal babak pertama dengan menyusun gerakan untuk mendapatkan jaringan awal namun berjaya dipatahkan barisan pertahanan masing-masing.Perak hampir mendapat jaringan awal menerusi pemain penyerang importnya, Raianderson Da Costa Morais atau Careca namun tandukannya ke gawang Sabah ditanduk keluar pemain pertahanan lawan pada minit ke-23.
Jaringan yang ditunggu penyokong setia Perak akhirnya terhasil pada minit akhir babak pertama apabila pemain tengah, Brendan Gan menyepak kencang bola dari luar kotak penalti selepas keadaan kelam-kabut di hadapan gawang Sabah.
Bersambung babak kedua, stadium kembali gamat dengan sorakan kegembiraan apabila Careca menghadiahkan gol kedua buat The Bos Gaurus selepas dia menyepak masuk bola ke gawang menewaskan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim pada minit ke-51.
Pelawat cuba bangkit untuk mencari gol melalui beberapa percubaan namun gagal menghasilkan jaringan.
Pada minit akhir perlawanan, pemain tengah, Leandro Dos Santos mengejutkan pelawat selepas mudah menolak masuk bola muntah ke gawang Sabah untuk jaringan ketiga Perak.
Keputusan akhir Perak membenam Sabah 3-0 untuk memungut tiga mata penuh di hadapan lebih 3,000 penyokong kedua-dua pasukan. - K! ONLINE

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Kylie Jenner sewa Equanimity RM5.1 juta seminggu

Kylie menyewa kapal tersebut pada harga RM5.1 juta seminggu.
Kylie menyewa kapal tersebut pada harga RM5.1 juta seminggu.
KUALA LUMPUR - Selebriti Hollywood, Kylie Jenner dikatakan akan menyambut hari jadi ke-22 dengan kapal mewah Equanimity akhir bulan ini.
Kapal yang asalnya dimiliki jutawan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low itu telah dijual kerajaan Malaysia April lalu kepada Genting Malaysia Berhad pada harga RM514.14 juta.
Portal hiburan antarabangsa, TMZ melaporkan, Equanimity yang kini telah ditukar nama Tranquility disewa oleh Kylie pada harga RM5.1 juta seminggu.
Kylie yang merupakan adik-beradik tiri kepada Kim Kardashian merupakan usahawan kosmetik antarabangsa di samping membintangi program realiti Keeping up with the Kardashians.
Sebut TMZ lagi, kapal itu boleh menampung 22 tetamu yang mempunyai 10 kabin, bilik sauna, jakuzi, dan kolam renang.
Sambutan hari haji Kylie itu akan belayar bersamaTranquility di lautan Mediterranean. - K! ONLINE

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

Barang kemas lebih RM1 juta dilarikan 4 perompak bersenjata

samun
Barang kemas bernilai kira-kira RM1 juta dipercayai dilarikan empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang dalam kejadian samun di Jalan Chin Hwa, Taman Chateau di sini awal pagi tadi.
IPOH - Empat perompak bertopeng dan bersenjata hanya mengambil masa kira-kira lima minit untuk melarikan pelbagai barang kemas dianggarkan bernilai RM1 juta dalam satu rompakan di Jalan Chin Hwa di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, dua lelaki masing-masing memandu dua buah kenderaan iaitu Mitsubishi Pajero Sport dan Toyota Fortuner itu sedang dalam perjalanan ke kelantan dengan membawa barang kemas milik majikan mereka.
Bagaimanapun, suspek yang menaiki kepala treler telah bertindak melanggar kenderaan pekerja berkenaan sebelum melarikan empat beg berisi barangan kemas.
Difahamkan, barangan kemas tersebut dibawa dari rumah majikan mereka yang terletak di kawasan perumahan berhampiran.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, sebaik sahaja dua buah kenderaan mangsa dilanggar, suspek yang menaiki kepala treler itu kemudiannya menghampiri mangsa dengan bersenjatakan parang.
Katanya, kesemua suspek yang memakai topeng itu bertindak merampas empat beg mengandungi barangan kemas sebelum melarikan diri dengan sebuah kenderaan yang sedang dikenal pasti.
"Dalam rompakan itu, dua suspek dipercayai menaiki kepala treler tersebut manakala dua lagi menaiki kenderaan yang masih belum dikenal pasti. Siasatan mendapati treler yang digunakan itu adalah kenderaan yang dicuri di Klang pagi tadi.
"Seorang pekerja berusia 30-an mengalami kecederaan setelah terkena serpihan cermin yang pecah akibat dilanggar lori berkenaan dan sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh," katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.
Tambah Anuar, usaha mengesan kesemua suspek serta kenderaan yang digunakan untuk melarikan diri sedang dijalankan dengan menggerakkan semua elemen polis.
"Polis juga akan mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sepanjang lokasi kejadian bagi mengetahui gambaran sebenar kes tersebut.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan gerakan memburu suspek sedang giat dilakukan," katanya. - K! ONLINE

Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story