PETALING JAYA: Pelakon jelita, Lisa Surihani berhasrat untuk bertemu dengan isteri bekas Perdana Menteri ke empat, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali untuk mendekati tokoh wanita itu dengan lebih dekat.
Lisa, 26, berkata, keinginan itu timbul apabila dia membaca skrip untuk pementasan teaterTun Dr Siti Hasmah selepas ditawarkan untuk membawa watak berkenaan menggantikan pelakon Erra Fazira.
"Saya sememangnya mengagumi Tun Siti Hasmah sebagai seorang wanita yang cukup berkaliber dan mempunyai personaliti tersendiri.
"Apabila membaca skrip teater tersebut saya jadi lebih teruja untuk menemui dan mengenalinya.
“Saya berpendapat kehidupan beliau sebenarnya sangat berwarna-warni dengan pelbagai aktiviti yang dilakukan dan bukan sahaja tertumpu kepada peranannya sebagai isteri kepada pemimpin nombor satu negara," katanya kepada mStar Online selepas pelancaran filem-filem terbitan Grand Brilliance 2012 di sini pada Rabu.
Isteri kepada Yusry Abdul Halim ini bakal menggalas tanggungjawab sebagai Tun Dr Siti Hasmah semasa muda.
Teater tersebut yang sepatutnya dipentaskan pada 30 Ogos lalu ditunda kepada satu tarikh yang masih belum ditetapkan.
Dalam pada itu, Lisa mengakui sangat teruja dapat berlakon di pentas teater buat pertama kali kerana sebelum ini jadual penggambarannya agak padat.
Lisa berkata dia tidak begitu gementar untuk beraksi di pentas teater kerana menganggap ia adalah cabarannya sebagai pelakon.
"Saya tahu dan sedar lakonan di pentas teater bukan mudah dan tidak semua pelakon yang pernah beraksi dalam drama atau filem mampu melakukannya,” kata Lisa.
Sementara itu, Lisa berkata, pengarah baru teater tersebut iaitu Erma Fatima memberikan kebebasan kepadanya untuk mengembangkan watak yang digalas.
0 comments:
Post a Comment