Pelakon Raja Hamidah Meninggal Dunia


PETALING JAYA – Seniwati veteran Raja Hamidah Raja Saad meninggal dunia pada usia 80 tahun akibat penyakit barah paru-paru pada kira-kira pukul 7 malam Rabu.
Allahyarham yang juga isteri kepada pengarah filem legenda Salleh Ghani menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Klang Gate Hulu Kelang, dekat sini.
Menurut anak keduanya Zulkiflee, 55, Allahyarham yang semakin uzur sejak dua bulan lalu pada mulanya diserang semput dan sesak nafas selepas menunaikan solat Asar pada petang Rabu.
“Sebenarnya, sejak Ramadan lepas lagi keadaannya sudah tenat apabila dia diserang paru-paru berair dan semput. Keadaan arwah bertambah kritikal selepas dia menunaikan solat Asar petang tadi (Rabu).
“Apabila diperiksa doktor, dia bertambah lemah dan doktor meminta kami agar bersiap sedia pada sebarang kemungkinan terhadap arwah,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, malam Rabu.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sisi 10 daripada 12 anaknya.
Zulkiflee berkata, ibunya yang terlantar sakit di rumah sejak sebelum Ramadan lagi berasa gembira apabila mereka sekeluarga sempat berkumpul pada sambutan Hari Raya lepas.
“Ibu tidak memberikan sebarang reaksi yang pelik tetapi dia agak terkilan kerana tidak dapat membuat persiapan Hari Raya lalu seperti kebiasaannya kerana uzur.
“Namun, dia gembira anak-anak dan cucu-cucunya dapat berkumpul dan makan bersama di rumah keluarga kami pada Ramadan dan Aidilfitri lepas,” katanya.
Ditanya mengenai amanat terakhir Allahyarham, Zulkiflee berkata, ibunya sempat berpesan agar anak-anaknya terus mengekalkan keharmonian keluarga dan hidup bersatu-padu.
“Tiada apa sangat yang dipesan arwah melainkan agar kami anak-beranak terus hidup bersatu-padu,” katanya.
Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di rumahnya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate Baru, Hulu Kelang pada pukul 11 pagi Khamis.
Allahyarham mendirikan rumah tangga dengan Salleh Ghani pada 1955 dan meninggalkan 12 anak termasuklah pengarang di akhbar Harian Metro, Adam Salleh serta 24 cucu.
Raja Hamidah dilahirkan pada 9 Disember 1932 dan berasal dari Johor Bahru, Johor.
Allahyarham menceburi bidang lakonan pada 1948 melalui filem Kampung Sentosa arahan B Reaves E Elliot terbitan Sound Master of New York Ins.
Selain berlakon, Raja Hamidah merupakan penari dan penyanyi latar di Shaw Brothers serta pemimpin kumpulan muzik Seni Wanita.
Filem-filem lain lakonannya termasuklah Musang Berjanggut, Orang Minyak dan Hang Tuah.
Suami Allahyarham meninggal dunia pada 28 Ogos 1986. 

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story