Setelah tujuh tahun menyepi penyanyi Kasih Tidak Terjamah, Syura muncul kembali dalam industri hiburan melalui sebuah program masakan, MasterChef Selebriti Musim Kedua.
Sejak mendirikan rumah tangga, Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron lebih menumpukan perhatian pada keluarganya dan kini, penyanyi berusia 27 tahun itu sudah pun memiliki tiga orang anak.
Berpeluang menemuinya semalam, Sinar Harian Online dikhabarkan bahawa Syura bakal mula aktif menyanyi semula.
“Alhamdulillah, sekarang Syura dah ada dua orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Memang dari anak pertama hingga ketiga ini, tak pernah ada orang lain jaga. Syura jaga sendiri.
“Sekarang pun anak dah besar, saya rasa ini adalah masa yang terbaik untuk Syura kembali ke industri,” katanya.
Syura berpindah ke Kuala Lumpur pada Disember lalu setelah tujuh tahun menetap di Johor Bahru.
Akui rindu untuk menyanyi semula, namun tempoh berehat selama lebih tujuh tahun itu bukan kerana mendapat halangan suami.
“Setiap kali tengok program-program TV, majlis-majlis berprestij macam Anugerah Juara Lagu, ia membuatkan Syura rasa rindu ketika pernah berada di sana suatu ketika dulu. Sekarang dapat tengok saja di depan TV.
“Suami tak pernah halang saya untuk aktif menyanyi . Malah, dulu pun, dia tak pernah kata suruh Syura berhenti menyanyi. Cuma, Syura sendiri… sebab Syura rasa apabila sudah berkahwin dan ada anak, masa itu kita dah kena pandai mengatur masa,” katanya.
Menolak dikatakan sudah berhenti menyanyi, Syura sempat menjelaskan.
“Kalau orang tanya, Syura berhenti dari industri ke? Sebenarnya, Syura tak pernah berhenti pun. Syura masih menyanyi dan menerima undangan.Lagu-lagu Syura pun berunsurkan etnik kreatif, jadi, orang-orang yang panggil pun untuk majlis korporat.
“Haluan Syura banyak ke arah lagu-lagu kemelayuan. Syura pun faham bila dah duduk Johor, sukar untuk pihak media temu bual atau sesi fotografi dan sebagainya. Jadi, sebab itulah Syura tak keluar akhbar ataupun TV,” katanya yang menjalankan perniagaan butik pengantin di Johor, sebelum ini.
Bercakap soal lagu etnik kreatif yang pernah mencipta fenomena dalam industri seni suatu ketika dulu tetapi kini sudah hampir pupus, Syura melahirkan rasa sedihnya.
“Syura sebenarnya sedih juga. Bukan sedikit… tak ada langsung. Kita dah ketandusan sangat dah. Seolah-olah dah tak ada langsung lagu itu. Ia memberi tekanan juga kepada Syura.
“Walaupun Syura tak aktif di luar, Syura tetap berinteraksi dengan peminat-peminat. Yang saya dengar, mereka kata rindu untuk mendengar lagu etnik. Dulu, AJL ada kategori etnik kreatif, sekarang dah tak ada. Penyeri itu dah tak ada,” katanya.
Akur dengan hakikat tersebut, Syura berharap lagu etnik kreatif tersebut bakal diterima kembali dalam industri tanah air.
“Kita faham, orang luar nak perkara itu tapi ada segelintir pihak seperti stesen-stesen radio yang memang dah tak nak main lagu itu. Kita sebagai penyanyi, langsung tak boleh buat apa dah.
“Jadi, saya akur dengan hakikat itu tetapi Syura mengharapkan satu hari nanti akan diterima kembali,” katanya.
Sementara itu, Syura ada menyentuh tentang hasratnya untuk menyanyi semula, di mana dirinya masih keliru dengan konsep yang bakal dipilih.
“Syura sedang memikirkan apa yang terbaik untuk diri Syura sendiri dan orang luar. Kalau Syura tak buat lagu etnik, semakin pupuslah ia dan andai kata Syura buat, adakah perkara itu akan menjadi. Adakah Syura akan mendapat kerjasama daripada pihak radio? Itu saja masalahnya.
“Cuma sekarang ini, apa yang memeningkan kepala adalah, konsep yang nak dibawa. Macam Pak Ngah, dia tak suka lagu dia ‘dirosakkan’ dengan perkara-perkara seperti rap. Memang itu adalah kolaborasi tapi kalau lihat balik keaslian lagu tersebut, lagu itu macam sudah dirosakkan. Sebab Syura tahu Pak Ngah macam mana,” katanya. - Sinar Harian
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment