Lebih 51% Pengundi Pulau Pinang Adalah Wanita

Lebih 51% Pengundi Pulau Pinang Adalah Wanita

GEORGE TOWN – Golongan wanita merupakan pemilih majoriti di Pulau Pinang apabila mereka mewakili 51.39 peratus daripada 834,711 pengundi biasa berdaftar dan layak mengundi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) ini.
Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya negeri Morat Pora berkata kaum wanita juga adalah majoriti bagi kesemua 13 kawasan parlimen di negeri ini.
Daripada jumlah pengundi yang diwartakan untuk PRU-13 itu, kawasan Parlimen Bukit Gelugor mencatatkan jumlah pengundi tertinggi iaitu sebanyak 81,897 orang berbanding 65,614 orang pada PRU-12 dan daripada jumlah itu juga sebanyak 43,516 pengundinya atau 53.14 peratus adalah kaum wanita.
Kawasan parlimen yang disandang oleh Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh itu juga mencatatkan peningkatan jumlah pengundi baharu yang tertinggi di negeri ini iaitu sebanyak 16,283 orang.
Morat memberitahu Bernama di sini hari ini, Pulau Pinang mempunyai 11,397 pengundi awal iaitu 5,631 undi anggota tentera serta pasangan manakala 5,766 undi lagi adalah anggota polis serta pasangan dan 124 undi luar negara.
“Secara keseluruhannya, Pulau Pinang mempunyai 846,232 pengundi iaitu termasuk 834,711 pengundi biasa, 11,397 undi pos dan 124 undi luar negara,” katanya.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 130,428 pengundi berbanding 704,283 pengundi pada PRU-12.
Kawasan Parlimen Balik Pulau mencatatkan jumlah pengundi terkecil iaitu sebanyak 48,966 orang. Bagaimanapun, jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 9,201 orang berbanding 39,765 pengundi pada PRU-12.
Morat berkata sebanyak 135,369 orang adalah pengundi muda iaitu berusia antara 21 dan 29 tahun dan 14,338 daripadanya berdaftar sebagai pengundi bagi kawasan Parlimen Bayan Baru.
Kawasan Parlimen Tanjong pula mempunyai jumlah pengundi warga emas terbanyak iaitu 807 orang daripada 51,487 pengundi, yang berumur lebih 90 tahun.
Pulau Pinang mempunyai 13 kawasan parlimen – enam di sebelah pulau, tujuh di Seberang Perai dan 40 kawasan Dewan Undangan Negeri iaitu 19 di sebelah pulau dan 21 lagi di Seberang Perai. – Bernama


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story