Rakyat M’sia Di London Teruja Mengundi

Rakyat M'sia Di London Teruja Mengundi

LONDON – Lebih 70,000 warga Malaysia kini berada di United Kingdom (UK). Ada yang sedang menuntut di kolej atau universiti dan sebahagian besar lagi bekerja.
Ramai juga yang datang merantau bersama keluarga dan ada dalam kalangan mereka ini yang menetap di UK sejak lebih sedekad yang lepas.
Dengan tanggal pengundian Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ditetapkan pada 5 Mei, dan rakyat Malaysia di perantauan buat julung kali dibenarkan mengundi sebagai pengundi pos, warga Malaysia di Britain sudah bersedia untuk menunaikan kewajipan mereka.
Wartawan Bernama berkesempatan meninjau persiapan warga Malaysia di London untuk menghadapi PRU13 sebagai pengundi pos dan pengundi tidak hadir.
“Setakat 24 Mac, 2013, seramai 839 warga Malaysia berdaftar sebagai pengundi pos di UK, satu persiapan awal untuk menghadapi PRU13,” jelas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Britain Datuk Seri Zakaria Sulong kepada Bernama ketika ditemui di London baru-baru ini.
Dan angka ini adalah jumlah terbesar untuk satu-satu pusat pengundian yang terletak di luar negara.
Cara mengundi pos
Inilah kali pertama dalam sejarah pilihan raya negara, rakyat Malaysia dibenarkan mengundi dari negara yang mereka bermastautin. Sebelum ini, peluang sebegini hanya bagi penjawat awam yang bertugas di luar negara dan bukan bagi warganegara biasa yang menuntut mahupun bekerja.
Zakaria menjangkakan angka pengundi yang bakal mengundi di pusat pengundian luar negara di London akan meningkat.
“Pengundi yang berdaftar perlu datang ke pejabat Suruhanjaya Tinggi untuk mengesahkan identiti mereka sama ada dengan kad pengenalan ataupun pasport masing-masing untuk diserahkan kertas undi, pada tarikh mengundi yang ditetapkan untuk mereka di UK nanti,” jelas Zakaria lagi.
SPR menetapkan tarikh mengundi awal bagi pengundi pos dan pengundi tidak hadir pada 30 April.
Pengundi-pengundi pos yang akan mengundi buat kali pertama dari UK akan menerima kertas undi mengikut kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Ada juga kelebihan
Ada juga warganegara yang sebaliknya memilih untuk balik ke Malaysia menjelang PRU13 supaya mereka dapat mengundi terus di pusat mengundi masing-masing.
Bagaimanapun, kemudahan undi pos ini akan dapat mengelakkan perbelanjaan tambang kapal terbang untuk pulang selain terpaksa bercuti panjang semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di PRU13 dan yang seterusnya.
Lagipun, jari pengundi pos di luar negara tidak akan dicalit dengan dakwat kekal menurut Zakaria kerana jumlah pengundi terhad selain satu sahaja pusat mengundi di London, iaitu pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia.
Apa kata rakyat Malaysia di perantauan
Seorang warga Malaysia, Wan Nur Suryani Firuz Wan Ariffin yang ditemui di kampus Kings College di The Strand, London, menunjukkan proses pendaftaran sebagai pengundi pos sangat mudah.
“Malah sekejap sahaja. Saya masuk ke laman SPR sepertimana yang dimaklumkan dan hantar permohonan, kemudian penerimaan permohonan dimaklumkan dalam masa tidak sampai lima minit,” jelas Wan yang telah enam bulan mengikuti kursus Phd dalam bidang kejuruteraan telekomunikasi di kolej berprestij dengan 25,000 orang penuntut.
Apabila ditanya jika permohonannya untuk mengundi secara pos berjaya, Wan mengangguk tersenyum.
“Ya, Alhamdulilah. Saya pasti mahu mengundi dalam PRU13. Saya dan suami yang bekerja di bahagian Imigresen Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini tetap akan menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara,” tambahnya, sambil berjalan menuju ke sebuah restoran untuk minum petang.
Ada yang tidak sabar mengundi
Sementara itu, S.Devina yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan, yang terus bekerja di Britain selepas menamatkan penggajiannya juga berkata pengalamannya mendaftar sebagai mengundi pos juga mudah.
“Bila pilihan raya umum kali ini? Sudah lama saya menantikannya, malah selalu tertanya-tanyakan tarikhnya. Setiap kali saya berjumpa dengan orang kita, saya tanyakan soalan yang sama,” kata Devina sambil tertawa kecil.
Devina yang fasih berbahasa Melayu, bertugas di bahagian Kajian Asia Tenggara dan Afrika atau SOAS, di London University, Bloomsbury, mendapat tahu mengenai laman web yang perlu dilawati untuk proses pendaftaran menerusi laman sosial.
“Saya bersetuju warga Malaysia di luar negara perlu diberi kesempatan untuk mengundi secara pos. Ini satu langkah bijak yang diambil oleh kerajaan Malaysia.
Sebaik sahaja saya mendengar tentang pengumuman kerajaan berkaitan dengan peluang mengundi secara pos dari luar negara, saya menunggu saat laman web diaktifkan dengan penuh rasa teruja,” tambah Devina ketika ditemui di Galeri Brunei, yang terletak berhadapan bangunan SOAS.
Proses pendaftaran yang serupa turut dilalui warganegara Malaysia yang bertugas sama ada untuk syarikat tempatan mahupun antarabangsa di Kuwait dan Arab Saudi baru-baru ini.
Cara kerja pusat undi pos
Sementara pegawai pengurus pilihan raya menguruskan pusat mengundi di tanah air, pusat mengundi di pejabat Suruhanjaya Tinggi akan diuruskan oleh seorang pegawai pengundian dan pembantunya yang dilantik pihak SPR.
Selain itu ejen-ejen calon yang bertanding turut diberi ruang untuk memerhatikan proses pengundian sepertimana di tanah air. Seorang kerani akan ditugaskan untuk menyemak senarai nama pengundi pos yang berdaftar di pusat pengundian di London untuk diserahkan kertas-kertas undian kepada pengundi.
Setelah menerima kertas undi, pengundi boleh terus ke petak undi untuk mengundi dan selepas itu memasukkannya ke karung undi.
Setelah tamat masa mengundi, karung undi akan dibawa oleh pegawai yang dilantik SPR balik ke Malaysia menggunakan enerbangan terus secepat mungkin.
“Dari lapangan terbang Heathrow di London, ada dua penerbangan balik ke Malaysia setiap hari, jadi penghantaran balik karung kertas undi dapat dijalankan segera,” jelas Zakaria.
Apabila sampai di tanahair, kertas-kertas undi akan dihantar ke kawasan Parlimen dan DUN masing-masing.
Gunakan kesempatan ini
Pengundi yang telah berdaftar untuk mengundi secara pos di luar negara perlu mengambil kesempatan yang baru diperkenalkan kerajaan Malaysia ini untuk mengundi.
Malaysia telah memasuki kategori sebilangan kecil negara yang membenarkan rakyatnya mengundi di luar negara.
Selain itu, sebarang isu yang terbuku dan membebani pengundi selama ini akan selesai setelah mereka memangkah kertas undi secara sah dan sempurna.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini telah menandatangani satu memorandum bersama dengan ‘Transparency International’ untuk memantau dan memastikan PRU13 berjalan dengan bebas dan adil demi memenuhi kepuasan warganegara Malaysia.- Bernama


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story