TAWAU – Kerajaan Filipina akan melantik peguam dari negara ini untuk mewakili 19 rakyatnya bagi menghadapi perbicaraan atas pelbagai pertuduhan berhubung pencerobohan di Lahad Datu.
Peguam James Y P Tsai yang mewakili kedutaan negara itu memberitahu pemberita bahawa beliau akan mengemukakan permohonan ad-hoc untuk melantik peguam Datuk N. Sivananthan mewakili kesemua tertuduh.
Pada prosiding hari ini, Tsai hanya bertindak sebagai pemerhati untuk kerajaan Filipina dan dua peguam telah dilantik oleh Persatuan Undang-undang Sabah iaitu Y S Lo Yun Sin dan Syahrulnizam Salleh sebagai pemerhati kepada semua tertuduh.
Bagi kes dua tertuduh, Atik Hussin Abu Bakar dan Basad Manuel yang menghadapi tuduhan melancarkan perang dan menjadi anggota pengganas, disebut di hadapan Hakim P. Ravinthran hari ini, masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika dan Ram Singh.
Kedua-dua peguam berkenaan dilantik oleh mahkamah setelah kes itu dipindah ke Mahkamah Tinggi pada 21 Mac lalu kerana tuduhan berkenaan membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Tertuduh lain tidak diwakili peguam dan kesemua tertuduh masih belum membuat pengakuan terhadap pertuduhan masing-masing.
Sementara itu, Al Wazir Osman @ Abdul yang turut menghadapi pertuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi anggota pengganas memberitahu mahkamah bahawa beliau ingin mewakili dirinya sendiri.
Dia memberitahu perkara berkenaan dalam bahasa Suluk dan diterjemahkan oleh jurubahasa mahkamah selepas pertuduhan dibacakan.
Hakim Ravinthran bagaimanapun menasihatkan tertuduh supaya tidak bertindak demikian kerana ia melibatkan hukuman mati.
“Mahkamah tetap akan melantik peguam untuk tertuduh walaupun dia masih enggan. Pada peringkat ini mahkamah tidak akan menimbang permintaan tertuduh. Tertuduh boleh membela diri jika diperintah berbuat demikian di akhir pendakwaan nanti,” katanya.
Kesemua peguam terlibat dalam kes ini turut memberitahu mahkamah bahawa mereka masih belum menemu bual tertuduh sejak dilantik dan disebabkan itu Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail memohon mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes bagi membolehkan peguam berbuat demikian.
Mahkamah menetapkan 14 Mei untuk menyambung prosiding. – BERNAMA
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment