KUALA LUMPUR – Situasi cuaca panas dan kering yang melanda negara sejak beberapa minggu lalu mengakibatkan penggunaan alat penghawa dingin dalam kalangan rakyat Malaysia meningkat secara mendadak sejak kebelakangan ini.
Sehubungan itu Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihati orang ramai supaya menggunakan penghawa dingin secara bijak bagi mengelakkan mereka terpaksa menanggung bil elektrik yang tinggi pada setiap penghujung bulan.
“Penghawa dingin mewakili sebahagian besar penggunaan elektrik sebilangan pengguna kami. Mereka berkemungkinan memperolehi bil elektrik yang tinggi ekoran cuaca panas yang berpanjangan kerana lebih selesa duduk di dalam rumah sambil memasang penghawa dingin dengan suhu yang paling rendah,” kata Pengurus Besar Kanan (Perkhidmatan Pengguna) TNB, Ir. Kamaliah Abdul Kadir dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru, Kamaliah menggariskan beberapa tip bagi membantu pengguna alat penghawa dingin untuk menjimatkan tenaga elektrik iaitu dengan melaraskan suhu sistem penghawa dingin antara 23 ke 25 darjah celsius.
Beliau bagaimanapun mengingatkan orang ramai setiap satu darjah penurunan darjah celsius boleh meningkatkan kos penggunaan elektrik alat penghawa dingin sehingga 10 peratus.
Pengguna turut dinasihatikan menukar atau membersihkan penapis alat penghawa dingin dengan kerap untuk memaksimumkan potensi penyejukan kerana penapis yang kotor menghalang edaran udara dan mengurangkan kecekapan penghawa dingin.
Selain itu, katanya, penyelenggaraan secara kerap juga boleh membantu penghawa dingin beroperasi pada tahap optimum.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menutup langsir dan bidai apabila cahaya matahari masuk melalui tingkap serta menutup semua pintu dan tingkap serta lubang edaran udara untuk memastikan udara sejuk tidak keluar dari bilik
Pada waktu malam pula orang ramai diminta menggunakan selimut yang nipis, membuka buka kipas dan menetapkan masa penghawa dingin untuk ditutup, katanya.
“Selalunya suhu bilik akan mencecah tahap yang selesa selepas beberapa jam penghawa dingin dipasang. Tambahan, penggunaan kipas adalah lebih murah dan membantu pengedaran udara di dalam bilik,” kata Kamaliah.
Beliau dalam kenyataan sama turut menyarankan orang ramai supaya menggantikan alat penghawa dingin yang berusia lebih 10 tahun kerana alat tersebut tidak lagi cekap setelah bertahun-tahun digunakan.
Manakala mereka yang berhasrat membeli penghawa dingin baharu dinasihatkan supaya memilih penghawa dingin yang mempunyai bintang kecekapan tenaga paling tinggi berdasarkan saiz dan jenis penghawa dingin yang tepat.
“Penghawa dingin yang terlebih besar bukan sahaja lebih mahal untuk dibeli dan dipasang, malah ia juga akan menyebabkan bil elektrik yang lebih tinggi kerana kompresor penghawa dingin perlu berputar dan berhenti secara berulang-ulang,” tambahnya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai cara-cara menjimatkan penggunaan tenaga elektrik dengan melayari laman web www.tnb.com.my. – mynewshub.my
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment