Kontroversi ‘Pucuk Hijau’ Sepanjang Tahun 2012


Kontroversi 'Pucuk Hijau' Sepanjang Tahun 2012
Menjejakkan kaki di pentas glamor bukan satu perkara mudah seperti yang disangka. Apa saja perkara yang dilakukan pasti menjadi perhatian ramai malah kisah peribadi mereka juga akan dikorek untuk tatapan umum. Setiap individu yang memilih jalan glamor ini juga tahu bahawa itulah harga yang perlu dibayar oleh mereka saat bergelar artis.
Artis muda atau pucuk hijau merupakan antara individu yang sering dihimpit dan tidak boleh lari dari kontroversi. Bukan itu saja, gosip, fitnah dan isu panas merupakan antara perkara yang sering memburu mangsanya lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak pandai membawa diri dalam industri seni penuh liku ini. Berikut merupakan antara tiga artis pucuk hijau yang boleh dikatakan agak panas bak pisang goreng dengan kisah kontroversi masing-masing sepanjang tahun 2012.
Tasha Shilla
5572321795_397400d537
Pemilik nama sebenar Natasha Sheila Abd. Razak ini tidak pernah surut dari kontroversi. Tasha mula dihimpit kontroversi pada tahun ini apabila kemenangannya untuk anugerah Artis Baru Wanita Popular di ABPBH 2011 dipertikaikan. Aktres muda ini dikatakan mendapat tajaan dari Datuk J untuk ‘membeli’ peminat agar mengundinya.
Tidak cukup dengan itu, Tasha dikatakan mengusung trofi kemenangannya itu ke sana sini untuk ditayang kepada kawan-kawannya. Gosip ditaja dengan Datuk K tidak terhenti begitu saja, pelakon drama ‘Gemilang’ ini sekali lagi dikatakan ditaja oleh lelaki tersebut apabila memakai kereta mewah jenis BMW.
Ramai yang mempertikaikan mengenai kereta tersebut apatah lagi Tasha baru empat tahun bergelar artis. Terbaru, kereta jenis Audi A5 Cabriolet dengan no plat TAS 114 juga menjadi bualan hangat apabila ia dikatakan hasil dari perhubungannya dengan lelaki VIP tersebut.
Selain itu, Tasha juga pernah digosipkan menari tarian ghairah di disko serta berparti sakan dengan Datuk J. Menafikan sekeras-kerasnya menerima penajaan dari Datuk J apatah lagi menjalinkan hubungan dengan lelaki itu, Tasha mengakui tidak mengenali lelaki yang dikaitkan dengannya itu dan berharap masyarakat memberhentikan spekulasi yang tidak berasas itu.
Hanez Suraya
hanez
Pelakon Hanez Suraya juga tidak terlepas dari dihimpit kontroversi. Nama beliau mula hangat diperkatakan apabila digosipkan bercinta dengan penyanyi, Awi Rafael. Walau bagaimanapun, pelakon berusia 27 tahun ini menafikan perkara tersebut dan mengakui hubungan mereka hanya sekadar sahabat.
Tidak lama kemudian, Hanez akhirnya mengaku sudah bercinta selama tiga bulan dengan pelantun lagu ‘Asalkan Aku OK’ itu selepas terlibat dalam video klip lagu tersebut. Menurut Hanez, bukan niat beliau untuk menyorok mengenai hubungan cinta mereka namun sebagai seorang wanita, dia lebih selesa jika Awi yang bercerita dahulu mengenai kisah cinta mereka.
Ketika tempoh percintaan mereka, pasangan ini juga tidak lari dari diuji apabila gambar peluknya dengan beberapa orang lelaki tersebar luas di internet. Menurut Hanez, gambar tersebut pernah tersebar lima tahun lepas dan percaya isu ini dibangkitkan semula kerana ada pihak yang tidak senang dengan perhubungan cinta mereka berdua.
Selain itu, pelakon drama ‘Suri’ ini turut dilanda kontroversi apabila otai rock tanah air, Amy Search menulis di Twitter dengan mengatakan seolah-olah Hanez seorang yang sombong kerana tidak mahu senyum kepadanya ketika di majlis Anugerah Blokbuster 2012. Menafikan dirinya sombong, Hanez dengan rendah diri memohon maaf kepada lagenda rock itu.
Kemelut antara Hanez dan Amy tidak berhenti begitu saja apabila perang siri kedua pula berlaku antara Hanez dan isteri Amy, Nourish apabila mereka mula berperang di laman Instagram dengan kata-kata berbaur amarah. Semuanya tercetus apabila Nourish dikatakan telah membuat kecoh di sebuah bank tempat adik Hanez bekerja. Hanez bagaimanapun mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri kerana enggan memanjangkan lagi isu berkenaan.
Neelofa
5614344023_c9392413b0_b
Boleh dikatakan nama Neelofa merupakan antara nama paling hangat diperkatakan sepanjang tahun 2012. Satu persatu kontroversi menjengah diri pemilik nama Noor Neelofa Mohd Noor ini namun tidak ada satu pun yang mematahkan semangatnya dari terus berada di persada seni tanah air ini.
Antara kontroversi yang masih segar di ingatan kita semestinya kemelut beliau dengan rakan seperjuangannya, Anzalna Nasir. Sedikit info, ini bukan kali pertama beliau dikaitkan ‘berperang’ dengan rakan artis, di mana sebelum ini Neelofa dikatakan pernah mempunyai masalah dengan Tasha Shilla gara-gara ABPBH 2011 selain digosipkan berperang dengan Fasha Sandha dan Fazura pada tahun lepas.
Berbalik pada isunya dengan Anzalna, kontroversi dua pucuk muda ini mula tercetus apabila sebuah akhbar sisipan mingguan menulis kononnya Anzalna mendakwa Neelofa mempunyai niat dan hasad dengki terhadap beliau sejak di pertandingan Dewi Remaja 2010/2011 lagi.
Ekoran kenyatan tersebut, Neelofa merancang untuk mengambil tindakan undang-undang andai pelakon Indera Joned itu tidak membuat permohonan maaf secara terbuka. Akhirnya, pada 2 Julai 2012, satu sidang media khas telah diadakan dan Anzalna telah memohon maaf kepada Neelofa.
Selain isu dengan Anzalna, Neelofa turut dikaitkan dengan kontroversi apabila dikatakan bercinta dengan Hans Isaac. Hubungan mereka mula hangat diperkatakan apatah lagi Hans membela serta mempertahankan pelakon filem Azura 2012 itu ketika isunya dengan Anzalna hangat diperkatakan.
Gosip hubungannya dengan Hans menjadi semakin panas apabila mereka dikatakan bercuti bersama di Thailand walhal sebenarnya Hans pergi bercuti di Koh Samui bersama dengan keluarga dan teman-temannya, manakala Neelofa pula di Phuket pada waktu yang sama. Ekoran gosip tersebut, Neelofa mengambil keputusan untuk tidak bercakap lagi mengenai hubungannya dengan Hans kerana tidak mahu ada pihak yang salah faham dengan menganggap mereka hanya mahu mencari publisiti murahan.
Gara-gara tidak hadir mempromosikan filem S.A.M, duta King Koil ini juga pernah ditegur oleh Datuk Yusuf Haslam supaya tidak lupa diri. Selain itu, Neelofa juga turut dikutuk kerana beraksi gedik dalam program ‘Meletop’. Boleh dikatakan, apa saja yang dilakukan oleh aktres cantik ini pasti tidak disukai ramai. GUA harap, tahun 2013 akan membuka lembaran baru buat pucuk muda ini untuk lebih sukses lagi dalam karier seninya dengan dikenali kerana bakat dan bukan kontroversi semata-mata. – gua.com.my

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story