Selepas beberapa hari mendiamkan diri, pengasas produk kecantikan Qu Puteh, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman mengakui tertekan selepas terpalit kontroversi gagal membayar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) hingga dihadapkan ke mahkamah, Khamis lalu.
Namun, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata beliau dapat mengatasi tekanan itu selepas mendapat sokongan pelbagai pihak terutama di kalangan peminatnya.
“Selepas perbicaraan tempoh hari, saya sakit kepala dan rasa amat tertekan. Kes itu membawa satu lagi episod hitam dalam hidup saya.
“Saya tidak update apa-apa di Instagram selama empat hari. Namun sepanjang tempoh itu, saya terima pelbagai mesej positif dari rakan-rakan dan juga peminat.
“Ia membuatkan saya sebak dan terfikir masih ramai di luar sana yang sayangkan saya. Terima kasih kepada anda semua kerana turut mendoakan saya,” katanya kepada mStar Online.
Susulan itu, Vida mahu melupakan pengalaman pahit itu dan berazam untuk bangkit memperkukuhkan jenama produk kecantikan dan kesihatan keluaran syarikatnya, Vida Beauty Sdn. Bhd.
“Saya kena kuat bagi memastikan produk saya terus mendapat tempat di hati masyarakat. Kalau saya lemah ia akan memberi kesan kepada perniagaan saya,” katanya.
Jelas ibu kepada empat anak itu, beliau yakin dirinya berada di jalan yang benar.
“Saya tahu saya di jalan yang benar tapi kadang-kadang emosi kita tak boleh nak lawan juga. Dalam tempoh tiga, empat jam itu saya berdiri gagah berkat sokongan anda semua,” katanya.
Pada Khamis lalu, usahawan dari Machang itu didakwa di Mahkamah Sesyen di Ipoh atas 32 pertuduhan di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014.
Berdasarkan kertas pertuduhan, pemilik dan pengasas Vida Beauty Sdn. Bhd. itu didakwa gagal mengemukakan penyata dan gagal membayar cukai GST membabitkan jumlah kira-kira RM4.2 juta sejak April 2015 hingga Julai 2016.
Vida bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Murtazadi Amran.
Meskipun terpalit dengan 32 pertuduhan oleh mahkamah, celoteh Vida ketika adegan ‘merampas’ mikrofon semasa konsert sulung musim ketiga Gegar Vaganza (GV) malam Ahad lalu hangat diperkatakan netizen.
Ada di kalangan mereka beranggapan Vida kelihatan ceria dan tidak nampak tertekan dengan kes yang menyelubungi dirinya.
“Di luar orang nampak saya ceria, bersahaja tapi dalam hati siapa tahu. Saya tak nak terbawa-bawa emosi tersebut. Kita kena berfikiran ke hadapan kerana hidup perlu diteruskan,” katanya. – mStar Online
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment