Tiada Nama ‘Dog’, ‘Beer’ Elak Keliru Isu Sijil Halal Jakim

Tiada Nama 'Dog', 'Beer' Elak Keliru Isu Sijil Halal Jakim

KUALA LUMPUR – Demi mengelakkan sebarang konflik ketika permohonan sijil halal, beberapa nama hidangan dalam menu restoran makanan segera A&W di Malaysia sudah diubah namanya.

Antara contohnya ialah Coney Dog telah dinamakan semula kepada Chicken Coney atau Beef Coney, manakala minuman terkenal restoran itu, Root Beer malah dikenali sebagai RB, lapor portal Free Malaysia Today (FMT).
“Kita perlu tukar lain sebab nama asal itu ada konflik kalau hendak memohon sijil halal daripada pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim),” kata penolong pengurus jaminan kualiti dan halal A&W, Shahidah Wahid.
Beliau dipetik laman berita tersebut sebagai mengesahkan bahawa nama-nama makanan dan minuman berkenaan telah diubah sejak dua tahun lalu, namun sebahagian besar pelanggan restoran itu mungkin tidak menyedarinya.
Keputusan menukar nama menu popular itu dibuat susulan garis panduan pemberian sijil halal oleh Jakim, dengan antara lain melarang penggunaan istilah yang agak sinonim kepada sesuatu tidak halal dari segi hukum syarak.

aw-menu
GAMBAR HIASAN

Dokumen yang dikeluarkan dua tahun lalu itu, lapor FMT, menyatakan perkataan ham, bak kut teh, bacon, beer, rum, hot dog dan charsiew antara beberapa istilah yang menurut Jakim boleh ‘mengelirukan’ umat Islam sendiri.
Sementara itu menurut FMT, tinjauannya mendapati minuman tin A&W yang cukup popular seperti Ginger Beer dan Root Beer telah lama dijenamakan semula kepada Ginger Ale dan Sarsaparilla dalam senarai rasmi menu.
Isu kontroversi itu timbul ekoran terdedah viral menerusi media sosial menyatakan rangkaian kedai roti popular Amerika Syarikat (AS), Auntie Anne’s tidak pernah mendapat sijil perakuan halal daripada pihak Jakim selama ini.
Bagaimanapun pihak Auntie Anne’s dilaporkan memberi alasan bahawa pihaknya sukar mendapatkan sijil halal di Malaysia dan salah satu puncanya ialah nama menu Pretzel Dogs yang digunakan dianggap sebagai mengelirukan.
Isu itu mendapat perhatian luas banyak pihak dan terbaharu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ketika menjawab di Parlimen hari ini menjelaskan, permohonan premis tersebut sedang dikaji.

auntie
GAMBAR HIASAN

Dalam pada itu, agensi berita MediaCorp Singapura melaporkan, Pengarah Hab Halal Jakim, Sirajuddin Suhaimee mengesahkan bahawa penggunaan nama Pretzel Dogs tersebut ada menimbulkan ‘keprihatinan’ kepada pihaknya.
Beliau memberitahu, panel Jakim tidak dapat mempertimbangkan perkataan dog atau anjing kerana ia jelas merujuk kepada haiwan najis mughallazah tersebut dan menyarankan perubahan kepada nama yang lain pula.
“Lebih baik jika mereka dapat memakai nama misalnya ‘sosej pretzel’,” kata beliau. Apabila ditanya tentang francais seperti A&W yang jual Coney Dog, Sirajuddin memberitahu bahawa Jakim “akan tangani secara bertahap-tahap”.
Alasan Jakim itu dikritik Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz semalam yang terkejut mengetahui langkah tidak memberikan sijil halal kepada Auntie Anne’s gara-gara perkataan hot dog.
Kata beliau kepada para wartawan: “Hot dog dikenali sebagai makanan Barat. Ia datang daripada bahasa Inggeris. Ia hanya makanan Barat. Tolong jangan buat kita kelihatan bodoh dan kuno.” – Agensi/Mynewshub.cc/HAA




Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story