Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tan Sri  Affendi Buang berkata, masalah mekanikal yang dikesan pada peringkat awal berlaku pada bahagian rotor kipas helikopter berkenaan.
Menurutnya, rotor kipas dipercayai tidak dapat mengekalkan kelajuannya sekaligus menyebabkan pesawat kekurangan tenaga untuk terbang lebih tinggi.
"Buat masa ini kita masih belum mengetahui punca sebenar kejadian ini dan kita jangkakan akan dapat selepas siasatan terperinci dijalankan.
"Namun pada siasatan awal pihak kita, juruterbang memberitahu masalah mekanikal bahagian kipas rotor helicopter Nuri tidak dapat berfungsi dengan baik ketika melakukan penugasan misi ulang bekal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas tamat Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) ke-38 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.
Affendi berkata, TUDM mengantung tugas helikopter Nuri buat sementara waktu sehingga keputusan siasatan punca sebenar diperolehi.
Kosmo! semalam melaporkan seramai empat kru dan 11 anggota Tentera Darat cedera
ringan selepas helikopter Nuri yang mereka naiki terhempas ketika melakukan pendaratan cemas di Kem Gubir, Sik, Kedah semalam.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam kenyataan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, helikopter berpangkalan di Pangkalan Udara Butterworth itu sedang melaksanakan penerbangan untuk misi ulang bekal. - K! ONLINE