KUALA LUMPUR - Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengharapkan agar peminat sentiasa bersikap terbuka dan tidak terus membanding artis kegemaran mereka dengan penyanyi lain.
Siti, 40, berkata, setiap penyanyi mempunyai kelebihan dan setiap persembahan yang diberikan, terutama konsert adalah mengikut stail muzik artis itu sendiri.
“Kalau boleh janganlah banding-bandingkan persembahan artis sedia ada. Jika anda pergi ke konsert artis yang berbeza, sudah tentu pengalaman hiburannya berbeza.
“Saya berharap agar peminat tidak emosi. Kalau artis boleh bersahabat sesama artis, kenapa peminat tidak boleh berbuat perkara yang sama?” katanya kepada Kosmo! Online.
Penyanyi lagu Anta Permana itu mengulas mengenai perdebatan netizen di laman sosial yang mengatakan gaya interaksi Dayang Nurfaizah menerusi Konsert Dayang Dua Dekad yang berlangsung di Istana Budaya baru-baru ini sebagai lebih baik daripada gaya komunikasi Siti pada konsert jelajahnya, Siti On Tour yang lalu.
Siti menambah, lokasi penganjuran konsert juga memainkan peranan dalam mempengaruhi gaya komunikasi seseorang penyanyi itu ketika mengadakan konsert.
“Suasana dewan atau lokasi juga memainkan peranan. Berinteraksi dengan 15 ribu penonton di lokasi yang besar juga jauh berbeza jika dibandingkan dengan jumlah penonton dalam dewan yang kecil.
“Rasanya, tiada pertikaian di situ kerana setiap penyanyi mempunyai cara yang berbeza,” katanya lagi. - K! ONLINE
Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ
0 comments:
Post a Comment