Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, siasatan awal mendapati pelakon terbabit telah datang ke rumah bekas tunangnya sebelum memaksa mangsa masuk ke dalam kereta dipandunya.
“Suspek yang berusia 27 tahun itu kemudian telah mengeluarkan kata-kata kesat selepas mangsa memintanya untuk tidak meneruskan hubungan dengan seorang rakannya.
“Suspek yang marah kemudian telah mencekik, menumbuk muka dan mulut mangsa sehingga berdarah dan kejadian ini telah berlaku berulang kali sebelum suspek bertindak memutuskan pertunangan di antara mereka pada Ahad lalu,” katanya ketika dihubungi kosmo! di sini hari ini.
Mengulas lanjut, mangsa yang berusia 23 tahun itu telah membuat laporan polis kerana ingin menyelesaikan secara baik namun suspek bertindak secara berlebihan.
“Mangsa juga telah dirujuk ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan lanjut namun tiada kesan kecederaan ditemui kerana ia telah lama berlaku.
“Suspek telah ditahan polis selepas menyerah diri di Balai Polis Bandar Kinrara selepas mengaku mencederakan mangsa. Suspek bagaimanapun telah dilepaskan dengan jaminan polis sebaik rakaman percakapan diambil,” jelasnya.
Siasatan lanjut akan diteruskan mengikut Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 323 kanun yang sama kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan. -K! ONLINE