Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, wanita berusia 58 tahun mendakwa wang itu dikatakan sebagai bayaran reman bagi membatalkan waran tangkap.
Mangsa mendakwa dihubungi suspek lelaki pada pukul 10 pagi, 14 Julai lepas kononnya wakil dari bank dan mendakwa dia mempunyai tunggakan bayaran pinjaman.
"Mangsa yang menafikan ada mempunyai akaun bank itu tapi mula mempercayai helah mangsa apabila menerima panggilan daripada suspek kedua dan ketiga kononnya mereka adalah polis masing-masing berpangkat Sarjan dan Inspektor.
"Mereka mendakwa akaun itu terlibat dalam siasatan kes dadah dan mangsa perlu memberikan semua maklumat perbankan peribadinya untuk siasatan dan membayar reman," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd. Wazir berkata, mangsa yang bimbang ditangkap segera menuruti arahan suspek termasuk membuat transaksi pemindahan wang di dua bank di bandar Jerantut pada sebelah petang.
Mangsa bagaimanapun mengesyaki dirinya mungkin ditipu selepas 'anggota polis' itu memintanya untuk memaklumkan pergerakannya setiap dua jam menerusi aplikasi WhatsApp.
Mangsa yang pada mulanya tidak membuat laporan polis berubah fikiran selepas berasa diganggu menerusi pelbagai pesanan WhatsApp setelah enggan menuruti permintaan suspek supaya menyerahkan lebih banyak wang.
Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Jerantut petang semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. – Bernama