SPR: Dakwat Kekal Terus Diguna Pada PRU 14

Dakwat Kekal

KUALA LUPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meneruskan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dengan melaksanakan beberapa penambahbaikan terutama dari segi kualiti dakwat.
Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata penggunaan dakwat kekal itu akan tetap dilaksanakan kerana ia diputuskan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen dan dimaktubkan dalam undang-undang pilihan raya.
“Kami akan kaji ramuan dakwat itu, serta meletakkan satu standard terhadap kualiti dakwat itu,” katanya kepada pemberita selepas rancangan bual bicara Hello Malaysia yang dikelolakan Bernama TV, malam tadi.
Beliau berkata tindakan sesetengah pihak yang cuba memperbesarkan isu penggunaan dakwat kekal yang didakwa mudah luntur selepas dicalit tidak lebih kepada motif politik semata-mata.
Wan Ahmad berkata penggunaan dakwat itu hanyalah untuk menghalang pengundi mengundi dua kali, namun jika dakwat di jari mereka hilang, ia tidak bermakna mereka dapat mengundi sekali lagi kerana asas utama yang dilihat oleh SPR ialah nama pengundi dalam daftar pemilih.
“Masyarakat perlu faham kami (SPR) baru pertama kali menggunakan dakwat kekal dan sudah tentu terdapat sedikit kelemahan…kami telah lantik satu syarikat terkenal untuk menghasilkan dakwat untuk PRU13 yang mana syarikat itu turut menghasilkan dakwat kekal di negara-negara lain. Mungkin ada kelemahan daripada syarikat itu sendiri yang menyimpan dakwat terlalu lama.
“Kami telah tempah 250,000 botol dakwat kekal pada PRU ini dan dua bulan sebelum pilihan raya umum diadakan kami simpan di lokap-lokap balai polis daerah untuk memastikan ia selamat.
“Mungkin akibat disimpan terlalu lama kandungan dakwat telah menurun dan menjadi cair,” katanya.
Beliau turut mengkritik sesetengah pihak yang membasuh dakwat kekal dengan menggunakan bahan peluntur dan seterusnya memuat naik di laman sosial bagi tujuan menjatuhkan kredibiliti SPR.
Mengenai gangguan bekalan elektrik semasa proses pengiraan undi, Wan Ahmad berkata tiada insiden sedemikian berlaku kerana beliau telah mengesahkan dengan semua Pegawai Pengurus (RO).
“Bila saya dapat maklumat ada pihak mengatakan berlaku masalah bekalan elektrik, saya terus telefon semua RO setiap negeri untuk pengesahan maklumat,” katanya.
Semalam Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut menjelaskan tiada gangguan bekalan elektrik berlaku semasa proses pengiraan undi pada PRU13 Ahad lepas. – BERNAMA


Like FanPage BeritaHangat™ di https://www.facebook.com/beritahangat , dan Join https://www.facebook.com/groups/promoteblog/ untuk promote blog korang.. TQ

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story