'Bawa ular bersiar suatu aktiviti seronok' - Datin Karen Rahman
ULAR adalah antara haiwan reptilia yang menggelikan bagi sesetengah pihak. Tubuhnya yang lembik dan sifat ular yang menjalar itu menyebabkan ramai takut dengan haiwan tersebut.
Ular sawa walaupun tidak berbisa, keupayaannya untuk membelit sehingga menyebabkan yang dibelit itu kehilangan nyawa, turut menakutkan.
Katalah apa-apa sahaja, bagi Datin Karen Rahman, 40, ular sawa ialah haiwan peliharaannya yang amat disayangi.
Diberi nama Solo, ular sawa rona hitam coklat keemasan ini sangat disayangi dan diberi perhatian bagaikan menatang minyak yang penuh.
Membela ular sawa mula menjadi hobi Karen apabila beliau terlihat seorang wanita bersiar-siar sambil membawa ular sawa di tangan. Justeru timbul keinginan memiliki ular sawa sendiri.
Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, beliau berpeluang memiliki ular sawa apabila seorang teman menjual ular tersebut kepadanya kerana hendak berpindah ke Sabah lapan tahun lalu.
“Ular sawa jantan ini saya berikan nama Solo kerana ia tiada pasangan. Hidupnya solo. Jadi sesuailah nama itu untuknya. Saya jaga ular sawa ini dengan rapi. Akhirnya, membela ular sawa menjadi hobi saya pada usia sekarang,” katanya mengenai Solo yang bercorak batik ini.
Tikus jadi habuan
Umum mengetahui tikus sememangnya menjadi makanan ular. Justeru, Karen ‘menyajikan’ tikus sebagai makanan untuk ular sawa peliharaannya. Ular bukannya diberi makan setiap hari seperti mana haiwan peliharaan lain.
Seseorang yang ingin membela ular hendaklah tahu ‘gaya hidup’ ular itu sendiri. Menurut Karen, seseorang itu perlu tahu waktu ular akan bersalin kulit. Keadaan ular pada ketika itu lemah dan tubuhnya sakit. Selepas ular bersalin kulit, haiwan itu akan lapar dan akan makan untuk kelangsungan hidupnya.
“Solo akan bertukar kulit sebulan sekali. Saya tahu Solo akan bertukar kulit apabila warna tubuhnya bertukar. Apabila kulitnya tanggal, biasanya keadaannya agak lemah. Ketika ini Solo akan lapar dan saya akan memberinya makan.
Selalunya saya akan berikan tiga ekor tikus kepada Solo. Andainya Solo masih lapar, saya akan tambah seekor lagi tikus untuknya. Seekor tikus dibeli pada harga RM6 di Great Eastern Mall,” ujar Karen tentang ular sawa kesayangannya ini.
Bawa Solo bersiar-siar
Kita pernah melihat individu membawa kucing bermain di padang. Namun pernahkah kita melihat individu membawa ular sawa bersiar-siar? Bagi Karen, membawa Solo bersiar-siar adalah salah satu daripada aktiviti yang menyeronokkan.
“Saya selalu bawa Solo berjalan-jalan. Kadangkala di tempat awam. Solo ni jinak. Solo tak akan merayap tak tentu hala,” kata wanita anggun yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan ini.
Ditanya sama ada pernah atau tidak orang terperanjat apabila ternampak beliau bersama Solo, sambil tertawa wanita ini menjawab, “Ya, pernah juga ada orang yang terperanjat apabila ternampak saya bersama Solo. Maklumlah bukan semua orang suka dengan ular. Ada yang geli, ada yang takut.”
Karen juga memberitahu penulis bahawa Solo mempunyai habit suka berendam. Selalunya Solo akan berendam selama sejam hingga dua jam. Air rendaman Solo akan diberikan ubat untuk mencantikkan kulitnya. Solo adalah dari jenis Ball Pyton yang akan bergulung bulat seperti bola apabila berasa dirinya dalam ancaman.
“Solo suka berenang. Tapi saya tak akan lepaskan ia dalam kolam renang. Risau pula kalau ia hilang dalam lubang-lubang yang ada. Jadi, jalan selamat ialah biarkan Solo berendam dalam besen. Kadangkala, kita tak boleh terpedaya dengan sifat ular sawa yang nampak ‘baik’ ni. Dalam sangkar memang nampak baik, tapi apabila dilepaskan, entah ke mana-mana nanti ular ni pergi,” katanya lagi yang kadangkala meminta jasa baik teman baiknya, Calvin Thoo untuk menjaga Solo apabila beliau perlu berada di luar kawasan.
Ekstra! Mengenai ular
• Ular tidak kerdipkan mata kerana tiada kelopak mata.
• Ular tiada telinga dan mengesan bunyi melalui getaran.
• Ular tidak mengunyah sebaliknya menelan makanan.
• Ular mengesan bau menggunakan lidah sebab itulah lidahnya kerap terjelir.
• Badan ular tidak basah dan berlendir sebagaimana mata kita sangka. Sebaliknya kering dan sejuk.
• Ular bersalin kulit mulai dari kepala ke ekor.
• Ular Anaconda merupakan ular terberat.
• Ular senduk boleh mematuk sebaik sahaja menetas.
• Pakar ular dipanggil herpetologi atau ophiologist.
0 comments:
Post a Comment