Nurul Izzah Saman Utusan Malaysia


Nurul Izzah Saman Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR – Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, hari ini menyaman Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Aziz Ishak dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berhubung kenyataannya dalam satu forum mengenai kebebasan beragama untuk orang Melayu yang didakwa diputar-belitkan.
Nurul Izzah memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutannya itu melalui Tetuan Mohamed Hanipa & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, selaku plaintif.
Beliau menamakan Aziz sebagai defendan pertama dan Utusan Melayu sebagai defendan kedua.
Dalam pernyataannya, Nurul Izzah berkata empat artikel yang mengandungi perkataan fitnah terhadapnya diterbitkan oleh akhbar tersebut pada 6 Nov dan 7 Nov lalu.
Beliau berkata, kata-kata fitnah tesebut jika difahamkan dalam maksud semulajadi antaranya bermaksud beliau (Nurul Izzah) menganjurkan orang Melayu untuk murtad dari agama Islam dan menggalakkan orang Melayu untuk tidak beramal dengan cara Islam.
Plaintif berkata ia bermaksud, beliau dikatakan berpendirian bahawa orang Melayu adalah bebas untuk memilih agama lain selain Islam sebagai agama mereka, selain beliau dikatakan seorang pemimpin yang hipokrit dan tidak boleh dipercayai.
Sehubungan itu, beliau yang diwakili peguam Mohamed Hanifa Maidin memohon perintah supaya kedua-dua defendan mengemukakan minta maaf dan menarik balik tuduhan fitnah ke atasnya yang hendaklah dibuat dalam masa 24 jam dari tarikh perintah tersebut.
Nurul Izzah juga menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau dan kos yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Selain itu, anggota Parlimen Lembah Pantai itu juga berkata, tindakan defendan menerbitkan kata-kata fitnah tersebut bertujuan untuk mensensasikan berita dengan tujuan keuntungan semata-mata tanpa mengambil berat reputasi, maruah dan harga dirinya.
Ketika ditemui pemberita, Nurul Izzah berkata beliau bersedia untuk menghadap Sultan Selangor bagi memberi penjelasan mengenai isu tersebut. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Loading...

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story