Malaysia Beraksi Hambar Menentang Bangladesh


Malaysia Beraksi Hambar Menentang Bangladesh
KUALA LUMPUR – Keupayaan skuad bola sepak kebangsaan untuk mempertahankan Piala AFF Suzuki yang bermula Sabtu ini, terus menjadi persoalan apabila sekadar seri 1-1 dengan Bangladesh pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil Selasa malam.
Ini kali kedua skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal itu mencatat keputusan seri bulan ini. Pada 14 Nov lepas Harimau Malaya seri 1-1 dengan Hong Kong ketika bertemu di Stadium Shah Alam.
Harimau Malaya memulakan asakan ke kubu pasukan ke-171 dunia itu sebaik wisel permainan ditiup pengadil Nagor Noor Amir Noor Mohamed.
Hasilnya mereka mendahului pada minit ke-21 menerusi tandukan kencang Mohd Khyrill Muhymeen Zambri yang menerima sepakan sudut daripada ketua pasukan Safiq Rahim.
Bangladesh di bawah bimbingan jurulatih A.K.M Saiful Bari Titu yang sekali-sekala melakukan asakan mengejutkan tuan rumah dengan gol penyamaan pada minit ke-82 hasil sepakan penalti yang disempurnakan Md Jahid Hasan Ameli.
Skuad Harimau Malaya yang diundi dalam Kumpulan B pada edisi Piala AFF Suzuki kali ini bakal menentang Singapura pada 25 Nov ini, berdepan Laos pada 28 Nov sebelum menamatkan aksi kumpulan dengan menentang naib juara edisi lepas iaitu Indonesia pada 1 Dis ini.
Kesemua perlawanan akan berlangsung di stadium yang sama.- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story