Kase Mulakan Operasi Kaunter Aduan Rakyat


Kase Mulakan Operasi Kaunter Aduan Rakyat
KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) mula membuka Kaunter Aduan Rakyat yang kononnya bertujuan membela pengguna jalan raya yang dikenakan saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) hari ini.
Pengerusi Kase, Datuk Mahfuz Omar berkata, kaunter penerimaan saman AES itu mula dibuka pada pukul 12 tengah hari hingga 1.30 petang ini di Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut di sini.
“Kita menyeru orang yang kena saman untuk hadir ke kaunter ini untuk bertemu dengan peguam dengan membawa surat saman AES tersebut,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, Kase bersedia memberi khidmat guaman percuma termasuk kepada pemandu kenderaan persendirian, lori, bas, kereta sewa serta kenderaan agensi kerajaan.
Pada 8 November lalu, mynewshub.my melaporkan Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Malaysia (Juham) mengadakan kerjasama dengan Kase kononnya untuk membela mereka yang dikenakan saman AES.
Ketua Unit Media dan Penerangan Juham, Noorazmir Zakaria dipetik mendakwa, kerjasama itu termasuk pembukaan Kaunter Aduan Rakyat dua minggu sekali di Pejabat Agung PAS di ibu negara.
Dakwa beliau, kaunter itu antara lain akan memberi nasihat serta khidmat guaman secara percuma sekiranya pengguna jalan raya yang dikenakan saman AES memilih untuk tidak ke mahkamah.
Dakwanya lagi, peguam Juham akan turut mewakili orang kena saman di mahkamah dengan memohon mitigasi untuk mengurangkan kadar denda jika memilih mengaku bersalah dan mewakili secara percuma jika memilih tidak mengaku bersalah.
Noorazmir juga dilapor mendakwa, resolusi itu juga memberi jaminan Juham akan memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar kutipan saman oleh pihak kerajaan dengan syarikat swasta yang mengendalikan sistem AES.

0 comments:

Post a Comment

Loading...

 
Design by BeritaHangat™ | Bloggerized by BeritaHangat™ - Premium Blogger Themes | BeritaHangat™ Hot Story